Memahami ASB: Pelaburan, Kepatuhan Syariah, dan Manfaat kepada Masyarakat Islam

Faktor awal penubuhan Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Amanah Saham Bumiputera atau lebih dikenali sebagai ASB bukanlah satu perkara asing bagi masyarakat Malaysia, terutamanya yang majoritinya beragama Islam. Penubuhannya bermula pada era 1980-an ketika kerajaan berhasrat untuk melibatkan diri dalam bidang pelaburan secara serius. Pada peringkat awal, Amanah Saham Nasional (ASN) diperkenalkan dan diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pelancaran ASN memberi impak positif dalam pertumbuhan industri pelaburan di Malaysia walaupun hanya terdapat 11 dana unit amanah yang diperkenalkan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari 1980 hingga 1990. Dalam tempoh itu juga, banyak syarikat pengurusan unit amanah muncul, terutamanya institusi kewangan seperti bank yang memudahkan pemasaran dan pengagihan unit amanah melalui jaringan cawangan di seluruh negara.

Secara ringkasnya, penubuhan ASB bertujuan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui pelaburan berstruktur berisiko rendah. Namun, persoalan tentang sejauh mana skim ini menepati kehendak syariah sentiasa menjadi perhatian utama, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

Apakah itu ASB?

Sebelum membincangkan lebih lanjut mengenai kepatuhan syariah dalam ASB, penting untuk memahami konsep asas ASB. Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah dana unit amanah harga tetap yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh PNB. ASB menawarkan pelaburan jangka panjang dengan pulangan dividen yang stabil serta risiko kerugian minimum.

Antara syarat utama untuk melabur di ASB ialah individu mestilah Bumiputera. Namun, bagi bukan Bumiputera, peluang pelaburan masih terbuka melalui akaun Amanah Saham Nasional (ASN) dengan syarat warganegara Malaysia. Pelaburan awal di ASB sangat rendah, serendah RM10, menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua golongan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan ini, timbul persoalan kepatuhan syariah ASB yang menjadi keutamaan bagi masyarakat Islam di Malaysia. Adakah ASB benar-benar menepati prinsip syariah?

Mengapa pelaburan ASB popular dalam kalangan masyarakat Islam?

ASB menjadi pilihan popular dalam kalangan pelabur Bumiputera kerana ia menawarkan risiko yang rendah dan pulangan yang stabil berbanding instrumen pelaburan lain. Nilai unit dalam ASB adalah tetap pada RM1, yang bermaksud pelabur tidak berdepan risiko kehilangan modal walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

Selain itu, ASB diuruskan oleh PNB, sebuah institusi pelaburan yang kukuh dan dipercayai, memastikan dana diuruskan secara profesional dan berhati-hati. Pulangan dividen dan bonus yang konsisten sejak penubuhannya menjadikan ASB lebih menarik, terutama dalam situasi ekonomi yang tidak stabil. Tambahan pula, pelaburan ASB mempunyai kecairan tinggi, di mana pelabur boleh mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa tanpa dikenakan caj penalti.

Dengan modal permulaan serendah RM10, ASB terbuka kepada semua golongan, termasuk mereka yang berpendapatan sederhana, menjadikannya instrumen pelaburan yang mudah, selamat, dan berbaloi untuk jangka panjang. Namun begitu, trend dividen ASB dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini menunjukkan penurunan yang ketara.

Pada tahun 2013, jumlah dividen dan bonus adalah 8.70 sen (7.70 sen dividen + 1.00 sen bonus), tetapi menurun kepada 5.25 sen pada tahun 2023 (4.25 sen dividen + 1.00 sen bonus). Penurunan ini dipercayai berpunca daripada keadaan ekonomi global yang mencabar dan pulangan pelaburan yang rendah. Tahun 2022 mencatatkan kadar terendah dalam tempoh 10 tahun, iaitu 4.60 sen, sebelum meningkat sedikit kepada 5.25 sen pada 2023. Walaupun begitu, ASB masih mampu memberikan pulangan yang stabil dan terus menjadi pilihan utama pelabur Bumiputera untuk simpanan jangka panjang.

Adakah ASB memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pelabur Islam ?

Setelah mengetahui kelebihan pelaburan ASB, tidak dapat disangkal lagi bahawa ramai masyarakat dari kalangan Bumiputera, khususnya masyarakat Islam, memilih untuk terlibat dalam pelaburan ini. Hal ini disebabkan oleh manfaat yang diberikan, terutamanya dalam membantu mereka mengembangkan aset. Namun, persoalan yang lebih besar adalah, adakah ASB turut memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan pelabur Islam yang lain?

1. Pertumbuhan Pelaburan Patuh Syariah

Kajian yang dijalankan melalui jurnal “Demographic Determinant of Amanah Saham Bumiputera (ASB) Investment Choices Among Muslim Investors in Kelantan, Malaysia” menunjukkan peningkatan ketara dalam pertumbuhan pelaburan patuh syariah. Kajian ini mencatatkan nilai aset pelaburan ASB meningkat daripada RM107.32 bilion pada tahun 2019 kepada RM174.9 bilion pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 62.96%.

Pertumbuhan ini membuktikan keutamaan yang semakin meningkat terhadap pelaburan patuh syariah dalam kalangan masyarakat Islam, mencadangkan bahawa pelaburan ASB semakin menarik perhatian pelabur Muslim. Oleh hal yang demikian, pertambahan penglibatan pelabur masyarakat Islam dalam pelaburan ASB secara tidak langsung telah mempengaruhi masyarakat yang lain malah ianya juga telah membuka mata terutamanya kepada institusi kewangan tentang kepentingan konsep islam yang berlandaskan patuh syariah  seperti bank unutk menawarkan perkhidmatan atau produk seperti mudharabah dan murabahah. Kesannya, pertumbuhan kegiatan ekonomi Islam semakin rancak dijalankan oleh kerana peningkatan dalam pelaburan patuh syariah.

2. Peranan Wakaf ASNB dalam Menyokong Komuniti

Selain memberikan manfaat kewangan kepada pelabur, ASB juga memainkan peranan dalam menyokong komuniti Islam melalui inisiatif seperti Wakaf ASNB. Perkhidmatan ini menggabungkan konsep wakaf muabbad yang merangkumi pelaburan dunia dan akhirat. Dengan adanya perkhidmatan ini, pemegang unit ASNB boleh mewakafkan unit amanah mereka kepada sektor-sektor yang memerlukan bantuan kewangan, seperti sektor kesihatan dan pendidikan. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan komuniti, tetapi juga memastikan modal pelaburan digunakan untuk tujuan yang bermanfaat dan memenuhi keperluan maqasid syariah.

3. Kesan kepada Sektor Ekonomi Islam

Peningkatan jumlah pelabur Muslim dalam ASB secara tidak langsung mengukuhkan ekonomi umat Islam. Modal yang disalurkan melalui pelaburan ini memberi manfaat kepada sektor ekonomi Islam, terutamanya kepada perniagaan dan projek-projek yang memerlukan peruntukan modal tinggi. Dengan pelaburan yang diselaraskan untuk menjaga kemaslahatan umat, ASB membantu merangsang aktiviti ekonomi, memperkukuhkan kestabilan kewangan, dan memberikan peluang kepada sektor-sektor ekonomi Islam untuk berkembang dengan lebih pesat.

Secara amnya, pelaburan ASB bukan sahaja memberikan pulangan kepada pelabur individu, malah turut menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Islam dan kesejahteraan komuniti Muslim secara kolektif. Oleh itu, pelaburan ini jelas memberi impak yang positif khususnya kepada pelabur Islam .

Pandangan Ulama dan Fatwa

Pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sering menjadi topik perbincangan hangat di kalangan umat Islam di Malaysia. Isu ini bukan sahaja melibatkan aspek keuntungan kewangan, tetapi juga soal pematuhan terhadap prinsip syariah. Dengan pelbagai pandangan dan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti, ramai pelabur Muslim tertanya-tanya tentang hukum pelaburan ini dan kesannya terhadap ekonomi Bumiputera. Setelah mengetahui tentang sejarah penubuhan dan juga mengetahui tentang faktor ASB menjadi pilihan utama dalam kalangan masyarakat untuk melabur berbanding pelaburan lain di atas, semestinya akan timbul persoalan tentang adakah pelaburan ASB merupakan patuh syariah dan apakah hukumnya di fikiran pembaca. Namun, bagaimana kita sebagai umat Islam boleh memastikan pelaburan ini selari dengan prinsip syariah, dan adakah manfaatnya benar-benar melebihi mudaratnya? 

Berdasarkan portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, mesyuarat jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang telah bersidang pada 14 sehingga 15 Ogos 2017 telah memutuskan bahawa pelaburan dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan juga Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen dan bonus yang diterima adalah harus.

Hal ini kerana mesyuarat jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang mendapati bahawa objektif Permodelan Nasional Berhad  (PNB) adalah untuk meningkatkan ekonomi masyarakat bumiputera di Malaysia yang majoritinya beragama Islam. Ianya juga dikaitkan untuk menjaga  maqasid syariah yang merangkumi 5 elemen iaitu memelihara agama,nyawa,akal,keturunan dan juga harta. Hasil daripada pelaburan ASB yang dilabur oleh masyarakat orang Islam dapat memelihara salah satu daripada lima mashalah utama yang syarak yang dikenali sebagai daruriyyat yang lima dari maqasid syariah.  

Selain itu, dengan adanya pelaburan ASB, ianya dapat menjaga kepentingan negara Islam seperti kestabilan politik dan merancakkan ekonomi masyarakat Islam dengan membantu perniagaan atau syarikat yang berstatus Islam dengan menawarkan modal kepada entiti tersebut. Oleh hal yang demikikian, hasil dari keuntungan pelaburan saham tersebut (dividen) juga memberikan peluang kepada bumiputera yang majoritinya beragama Islam untuk mengembangkan asset sekali gus juga dapat merancakkan kegiatan jual beli dalam ekonomi Malaysia.  

Dari pandangan pihak yang lain, pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga telah mendapat perhatian serius dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Pada tahun 2008 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa pelaburan dalam ASB adalah harus berdasarkan prinsip maslahah dan menjaga kesejahteraan umat Islam. Keputusan ini diambil untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih besar serta untuk memperkukuh penguasaan ekonomi Bumiputera.

Selain itu, ASB juga dianggap penting dalam menyokong maqasid syariah, terutama dalam menjaga harta umat Islam daripada disalahgunakan atau terdedah kepada risiko yang tidak halal. Walaupun terdapat unsur pelaburan yang tidak patuh syariah, majoriti pelaburan dalam ASB adalah dalam sektor yang halal dan memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat. 

Beberapa negeri turut mengambil pendekatan serupa dalam mengharuskan pelaburan ASB berdasarkan prinsip maslahah. Wilayah Persekutuan, Kelantan, dan Sarawak adalah antara negeri yang menyokong keputusan ini, dengan menekankan kepentingan menjaga kepentingan umat Islam serta memastikan pelaburan yang dilakukan memberikan keseimbangan antara manfaat dan kerugian yang dibenarkan dalam konteks syariah. Setelah diperjelaskan di atas, secara kesimpulannya hukum pelaburan ASB adalah harus disebabkan mempunyai manfaat terhadap masyarakat Islam dan juga secara tidak langsung dapat membantu pertumbuhan ekonomi Islam.

Kesimpulan 

Pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) terus menjadi subjek perbincangan yang popular dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Dari sudut ekonomi, ASB memberikan pelabagai kelebihan seperti pulangan yang stabil, risiko yang rendah, dan peranan penting dalam memperkukuhkan penguasaan ekonomi Bumiputera. Namun, dari perspektif syariah, pandangan para ulama dan fatwa yang dikeluarkan menunjukkan variasi pandangan berdasarkan penilaian terhadap unsur-unsur pelaburan dalam ASB.

Di samping itu, kita dapat  lihat bahawa pelaburan ASB bukan sahaja memberi  kelebihan kepada pelabur itu sendiri, malah ianya juga memberi kesan yang positif terhadap ekonomi dan pelabur Islam yang lain. Peningkatan dalam pertumbuhan pelaburan shariah telah membuktikan bahawa masyarakat Islam sangat mementingkan soal pelaburan untuk masa depan malah menjaga menitikberatkan kemaslahatan maqasid syariah antaranya ialah menjaga harta.

Terdapat juga pihak yang memainkan peranan yang penting untuk membantu ekonomi masyarakat Islam dengan mewujudkan saluran perkhidmatan yang dipercayai dan memudahkan pelabur ASB untuk memberi wakaf kepada golongan yang memerlukan. Hasil dari perkhidmatan ini secara tidak langsung telah mengukuhkan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi Islam malah masyarakat Islam juga turut menikmatit pulangan modal yang berisiko rendah untuk mengalami kerugian.

Malah, fatwa yang mengharuskan pelaburan ASB menekankan prinsip maslahah dan maqasid syariah yang melindungi kepentingan umat Islam, manakala pandangan yang mengharamkan lebih cenderung kepada ketelitian terhadap unsur-unsur percampuran halal dan haram dalam pelaburan

Sebagai umat Islam, tanggungjawab kita adalah memastikan pelaburan yang dilakukan bukan sahaja memberikan keuntungan dunia, tetapi juga selari dengan prinsip syarak. Oleh itu, pelabur perlu sentiasa peka terhadap perkembangan fatwa dan memastikan keputusan pelaburan dibuat berdasarkan maklumat yang jelas, diiringi dengan niat yang ikhlas dan disusuli dengan kewajipan seperti membayar zakat apabila memenuhi syarat. Dengan pendekatan ini, pelaburan dalam ASB dapat memberikan manfaat yang maksimum kepada ekonomi umat Islam dan membawa keberkatan dalam kehidupan.

Artikel sumbangan:
Nursofiana binti Ahmad Zawawi
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Previous ArticleNext Article

Bagaimana Caranya Untuk Tidak Terciduk Dalam Unit Trust?

Pelaburan Unit Trust adalah sah sebagai medium pelaburan kerana Syarikat Pengurusan Unit Trust dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Dapatkan senarai syarikat dan dana di laman web SC.

Adakah anda percaya bahawa pelaburan dalam Unit Trust mampu memberikan kadar keuntungan yang tinggi?

Jika jawapan anda YA, anda perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati. Tidak semua dana daripada unit trust mampu memberikan pulangan yang tinggi. Ada sesetengahnya yang telah melabur bertahun-tahun tetapi masih belum nampak sinarnya.

Hari ini, pasaran Unit Trust di Malaysia sangat luas.
Ada lebih kurang 40 syarikat pengurusan dana dan ratusan dana yang ditawarkan kepada pelabur.

Setiap dana mempunyai:

  • fokus pelaburan yang berbeza,
  • tahap risiko yang berbeza,
  • strategi pengurusan yang berbeza dan kos yang berbeza.

Contohnya, ada dana yang fokus dalam Malaysia, ada yang melabur dalam pasaran global.
Ada yang agresif, ada yang konservatif.
Ada yang patuh syariah, ada yang konvensional.

Pendek kata:

Dana tak sama. Pengurus dana tak sama. Prestasi pun mestilah tak sama.

3 Sebab Kenapa Ramai Masuk Melabur Dalam Unit Trust.

1. Consultant tu kakak cantik atau abang sado
2. Terpesona dengan janji % % % %
3. Tak perlu keluar cash, ada pilihan untuk guna duit KWSP

Jangan marah, kami gurau saja.

Tapi rasanya sebab #3 tu paling kuat.

Bagaimana caranya untuk anda tidak terciduk teruk dalam pelaburan Unit Trust?

1. Fahami Konsep Unit Trust

Sebelum anda mengambil tindakan untuk melabur dalam Unit Trust, pastikan anda telah fahami segala konsepnya. Baca lagi Apa Itu Unit Trust.

Dalam Unit Trust, kita melabur dalam bentuk unit, dan harga unit ini tidak tetap, ada masa turun, ada masa naik. Jadi, kalau naik, untunglah, kalau turun, rugilah.

Maka fahamlah kita bahawa Unit Trust juga terdedah dengan kerugian.

“Dekat mana Unit Trust tu laburkan duit kita?”

Contoh : Apabila kita kita beli dana Unit Trust yang berasaskan ekuiti, sebenarnya duit kita dilaburkan ke dalam pasaran saham (Bursa Malaysia atau pasaran saham global). Cuma yang tolong jual beli saham tu adalah Fund Manager yang dilantik oleh Syarikat Pengurusan Unit Amanah (Unit Trust Management Company, UTMC).

Baca juga 4 Tanda Seorang Pengurus Dana (Fund Manager) Yang Hebat

Mindset nak untung besar dan cepat ini akan buat anda kecewa dengan Unit Trust. Meskipun ada dana yang YTD dah cecah lebih 20%, tak semestinya dana lain mempunyai prestasi yang sama.

2. Fahami Caj-Caj Terlibat

Semua pelaburan di Malaysia ada caj-caj yang perlu dibayar. Baik saham, hartanah, mahu pun Unit Trust. Caj-caj ini akan digunakan untuk membiayai kos-kos operasi pelaburan.

Secara asasnya caj-caj ini dalam pelaburan unit amanah ni boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu caj yang dikenakan secara langsung dan caj yang dikenakan secara tidak langsung. Contoh caj langsung adalah:

  • Caj belian (Sales Charge)
  • Caj penjualan (Redemption/Exit Charge)
  • Caj pertukaran dana (Switching Charge)
  • Caj pengurusan tahunan (Management Fee) dan caj prestasi jika ada

Baca juga 6 Caj Berbeza Yang Terdapat Dalam Unit Trust

3. Survey Beberapa Dana Daripada Syarikat Berbeza

Apabila anda telah fahami konsep Unit Trust, anda boleh terus memulakan langkah yang seterusnya dengan survey dana-dana yang ada.

Terdapat banyak senarai dana yang pelbagai jenis. Ianya bergantung kepada risiko yang rendah, risiko pertengahan dan juga risiko yang tinggi. Paling penting, pilih dana yang PATUH SYARIAH.

Kunci kejayaan dalam pelaburan ialah asset allocation dan fund management. Kalau modal lebihan kita banyak, pecahkan mengikut syarikat, kelas aset, market cap dan geografi. Tetapi jangan pula semuanya dana Malaysia market. letaklah dalam dana global sikit (China, USA).

4. Baca Dokumen – Fact Sheet & Laporan Prestasi

Hari ini anda perlu jadi “pelabur pintar” bukan hanya ikut nasihat ejen: Pastikan fund manager menyatakan visi, strategi, dan risiko supaya anda tahu apa yang anda beli.

Baca Fund Fact Sheet: jenis aset, negara, sektor, risk rating. Semak prestasi 1 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan banding dengan kategori sepadan (benchmark).

Dalam pelaburan Unit Trust, sama macam saham, tiada apa yang pasti. Prestasi semasa tidak menjamin prestasi pada masa akan datang. Namun begitu, jangan membabi buta memilih dana, dapatkan juga past performance data – berapakah pulangan sepanjang 3 / 5 / 10 tahun lepas.

Selalunya ramai akan percaya saja cakap ejen tetapi tak buat homework sendiri.

5. Padankan Matlamat Dengan Dana

Pelaburan anda harus selari dengan matlamat dan tempoh masa anda:

  • Jika anda perlukan akses dalam 1-2 tahun → pilih risiko rendah, mungkin dana bon atau seimbang.
  • Jika anda belanja untuk 10-20 tahun → boleh ambil risiko tinggi, dana ekuiti atau dana global.

Dalam pelaburan, tiada tempoh masa jangka pendek jika anda ingin lihat kadar keuntungannya. Ini kerana, pelaburan sentiasa ada turun dan naiknya. Pertimbangkan juga “Dollar-Cost Averaging” (DCA) iaitu melabur secara konsisten bulanan supaya tidak terlalu terdedah kepada pilihan masa yang salah.

6. Timing

Bila sudah jumpa dana yang nampak bagus, anda kena tahu juga bila masa paling sesuai nak masuk melabur. Logiknya waktu harga murah paling sesuai. Kalau harga unit dah tinggi boleh labur juga ke? Boleh, tapi lambat sikitlah nak untungnya.

“Memilih dana unit amanah bukan semata-mata ikut ejen, tetapi faham konsep, faham kos, faham matlamat dan buat kajian sendiri.”

Pelaburan unit trust boleh jadi salah satu batu loncatan ke arah kekayaan, tetapi bukan tiket pantas untuk kaya secara sekelip mata. Dengan pendekatan yang tepat, anda boleh melabur dengan lebih yakin, mengelak “terciduk” dan berpotensi mengejar pulangan yang sihat dalam jangka panjang.

7. Ejen Yang Bagus

Ejen yang bagus akan banyak bertanya, bukan banyak menjual. Soalan-saolan yang patut dia tanya:

  • Berapa umur?
  • Ada komitmen apa?
  • Tujuan pelaburan ni untuk apa?
  • Matlamat kewangan ni untuk siapa? (Diri sendiri, anak, ibu bapa)
  • Anggaran jumlah sasaran? (contoh: nak kumpul RM30,000 dalam 5 tahun)
  • Ada keperluan tertentu? (contoh: anak masuk universiti)
  • Tempoh pelaburan berapa lama?
  • Toleransi risiko macam mana?
  • Dah ada emergency fund belum?
  • Berapa kerap anda nak review portfolio? (3 bulan / 6 bulan / setahun)

Kalau dia terus cakap: “Bang pilih dana ni, memang confirm naik ni…” Baik cabut lari.
Itu bukan penasihat. Itu salesman.

Buat ujian ringkas (nak tahu ejen tu betul-betul faham atau tidak):

Tanya dia:

“Siapa Top 10 holdings dana ni?”
“Dana ni fokus sektor apa?”

Kalau dia blur dan jawab:

“Saya check sekejap ya…”

Tu tandanya ejen cuma hafal skrip. Bukan faham pun pasal dana tu.

Ramai orang cari unit trust terbaik sebab nak pilih yang memberikan pulangan baik, stabil, patuh syariah dan sesuai dengan matlamat hidup masing-masing. Tapi realitinya, tiada satu dana yang terbaik untuk semua orang. Yang ada ialah dana yang paling sesuai dengan profil risiko dan objektif anda.

Berikut merupakan senarai Syarikat Pengurusan Dana/Unit Trust yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysiasetakat 31 Ogos 2025:

Senarai Syarikat Pengurusan Unit Trust di Malaysia

  1. Abrdn Islamic Malaysia Sdn. Bhd.
  2. AHAM Asset Management Berhad
  3. AIIMAN Asset Management Sdn. Bhd.
  4. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)
  5. Amanah Saham Sarawak Berhad
  6. AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd.
  7. AmFunds Management Berhad
  8. Areca Capital Sdn. Bhd.
  9. Astute Fund Management Berhad (dahulu Apex Investment Services)
  10. BIMB Investment Management Berhad
  11. BOS Wealth Management Malaysia Berhad
  12. Berjaya Mutual Sdn. Bhd. (dahulu Inter-Pacific Asset Management)
  13. Eastspring Investments Berhad
  14. Eq8 Capital Sdn. Bhd.* (dahulu i-VCAP Management)
  15. Franklin Templeton GSC Asset Management Sdn. Bhd.
  16. Hong Leong Asset Management Berhad
  17. KAF Investment Funds Berhad
  18. Kedah Islamic Asset Management Berhad
  19. Kenanga Investors Berhad
  20. Manulife Investment Management (M) Berhad
  21. Maybank Asset Management Sdn. Bhd.
  22. MIDF Amanah Asset Management Berhad
  23. Muamalat Invest Sdn. Bhd.
  24. Nomura Asset Management Malaysia Sdn. Bhd.
  25. Opus Asset Management Sdn. Bhd.
  26. Pengurusan KUMIPA Berhad
  27. Permodalan BSN Berhad
  28. PHB Asset Management Berhad
  29. Pheim Unit Trusts Berhad
  30. Phillip Mutual Berhad
  31. PMB Investment Berhad
  32. Principal Asset Management Berhad
  33. PTB Unit Trust Berhad
  34. Public Mutual Berhad
  35. RHB Asset Management Sdn. Bhd.
  36. RHB Islamic International Asset Management Berhad
  37. Saham Sabah Berhad
  38. Saturna Sdn. Bhd.
  39. TA Investment Management Berhad
  40. UOB Asset Management (Malaysia) Berhad
  41. M & A Value Partners Asset Management Malaysia Sdn. Bhd.*

* Nota: entiti bertanda asterisk dalam dokumen SC ditanda “currently managing exchange-traded funds (ETF) only.”