Pemilik Kafe Perlu Nilai Semula Strategi Harga Biji Kopi Cecah Paras Tertinggi

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Pemilik kafe di Malaysia yang mengimport biji kopi dan menjual kopi istimewa kini berdepan dengan cabaran untuk memikirkan semula strategi penetapan harga mereka berikutan harga biji kopi mencecah paras tertinggi dalam sejarah.

Kos biji kopi, terutamanya daripada pembekal utama Brazil dan Vietnam, dijangka terus meningkat pada 2025 disebabkan keadaan cuaca buruk dan kekurangan bekalan yang didorong oleh permintaan global yang tinggi. 

Brazil, pengeksport kopi Arabica terbesar di dunia, mengalami satu daripada kemarau terburuk dalam sejarah, diikuti fros dan haba melampau, telah mengurangkan hasil tanaman dengan ketara.

Vietnam, pengeluar utama biji kopi Robusta, menghadapi kesukaran akibat kemarau berpanjangan dan hujan yang lebih lebat daripada biasa.

Harga biji kopi Arabica mencecah hampir US$3.50 satu paun pada Disember 2024, mencatatkan paras tertinggi sejak 1977, dengan kenaikan yang mengejutkan sebanyak 83 peratus pada 2024.

Biji kopi Robusta, yang kebanyakannya digunakan dalam kopi segera, turut mengalami lonjakan harga mendadak, meningkat sebanyak 73 peratus kepada US$5,885 satu tan pada November 2024 disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu. 

Bernama telah menemu bual tiga pemilik kafe di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Hijjaz Suhaimi, 24, pemilik Rendevu Coffee di Wangsa Maju berkata dengan harga biji kopi mentah yang melambung tinggi, perniagaan kini berdepan dengan keputusan yang sukar.

“Bagaimanapun, selagi perniagaan mengekalkan penjenamaan yang kukuh dan menyesuaikan dengan trend budaya, permintaan akan berterusan, walaupun dengan harga yang tinggi,” katanya.

Kafe Hijjaz mengimport biji kopi mentah dari Guatemala, Ethiopia, Brazil dan Mexico, memberi tumpuan kepada keseimbangan badan dan keasidan untuk menarik pelanggan yang menggemari aroma buah-buahan tanpa rasa yang terlalu berasid.

Bagi mengimbangi kenaikan kos membeli kopi panggang — sehingga RM100 sekilogram — Hijjaz berkata memanggang biji kopi mereka sendiri adalah penyelesaian yang lebih menjimatkan.

“Dengan memanggang biji kopi mentah sendiri, kami dapat menghasilkan kuantiti yang sama dengan hanya RM40,” katanya.

Walaupun sesetengah pelanggan mungkin beralih kepada membuat kopi di rumah, Hijjaz berkata Rendevu Coffee telah mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan dengan mendidik pengguna mengenai cara menyeduh biji kopi panggang mereka di rumah.

“Matlamat kami ialah memberi inspirasi kepada pelanggan untuk menikmati kopi istimewa kami sama ada di kafe atau di dapur mereka,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran, Hijjaz tetap optimis dan percaya bahawa “pengambilan kopi lebih daripada sekadar minuman, ia adalah gaya hidup”.

Pemilik Kampung Brew, Che Wan Sufian Che Wan Abdullah, 37, menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan harga biji kopi global, yang boleh mencecah sehingga 25 peratus, membimbangkan pemilik kedai kopi tempatan. 

“Kami belum menerima sebarang notis rasmi daripada pembekal tetapi kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan serta pelarasan gaji minimum baru-baru ini telah meningkatkan kos barangan seperti kopi, koko dan susu.

“Jika harga biji kopi naik, kebanyakan kafe terpaksa menaikkan harga mereka,” katanya kepada Bernama di premis yang terletak di Ampang baru-baru ini.

Bagaimanapun, Che Wan Sufian optimis pelanggan akan terus menyokong perniagaan tempatan walaupun harga meningkat.

Ellina Amin, 37, pemilik Whatever Works Coffee di Kampung Datuk Keramat berkata perniagaannya akan mengekalkan tawaran minumannya seperti biasa, buat masa ini.

Beliau berkata harga biji kopi semasa menawarkan fleksibiliti yang mencukupi untuk disesuaikan tanpa kenaikan mendadak.

“Kami menyasarkan untuk mengekalkan harga yang stabil. Jika kenaikan perlu dilakukan, kami akan memperkenalkannya sebagai pilihan kepada pelanggan,” katanya.

Mendapatkan biji kopi dari Ethiopia, Brazil dan Colombia serta pemanggang tempatan di Pulau Pinang, membolehkan beliau menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan, termasuk biji kopi premium.

“Contohnya, jika terdapat biji kopi istimewa dari negara lain yang lebih mahal, peminat kopi yang bersedia untuk membayar harga tersebut masih boleh menikmatinya,” katanya.

Bagaimanapun, apabila harga biji kopi terus meningkat, pemilik kafe dan pengguna mungkin sependapat bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk industri kopi Malaysia mencapai pengiktirafan yang lebih tinggi sebagai pengeluar kopi gred istimewa.

Ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada biji kopi import dan memperkukuh pasaran kopi tempatan.

Pemilik kafe perlu mempertimbangkan semula strategi penetapan harga dan kaedah pengeluaran mereka memandangkan kos bahan mentah dijangka meningkat dengan ketara.

Mereka boleh memilih sama ada memindahkan kos ini kepada pelanggan melalui harga yang lebih tinggi atau mencari cara untuk mengurangkan perbelanjaan overhed.

Sementara itu, mungkin sudah tiba masanya untuk duduk dan menikmati aroma kopi.

— BERNAMA

Artikel asal di laman TheKapital

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.” – National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.