Pelabur Asing Catat Belian RM510 Juta Di Bursa, Aliran Masuk Dana Bagi Minggu Ketiga — MBSB

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Kalangan pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bagi minggu ketiga berturut-turut pada minggu lepas dengan aliran masuk asing bersih sebanyak RM510 juta, demikian menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB).

Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 23 Jan, 2026, bank pelaburan itu menyatakan penyusutan dari segi perbandingan minggu ke minggu itu adalah penyederhanaan daripada minggu sebelumnya sebanyak RM 716.1 juta.

Namun, aliran masuk berkenaan kekal memberi sokongan ke atas mudah tunai pasaran secara menyeluruh dan pelabur asing kekal memberi sumbangan bersih yang positif walaupun penyertaan pelabur domestik sebaliknya bercampur-campur.

“Kalangan pelabur asing kebanyakannya merupakan pembeli bersih pada minggu itu dengan aliran masuk terbesar pada Rabu lepas yang berjumlah RM215.4 juta dan diikuti pada Khamis (RM167.8 juta), Jumaat (RM132.8 juta), Isnin (RM12.4 juta) manakala jualan bersih pada Selasa (-RM17.5 juta),” katanya.

MBSB berkata tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih adalah perkhidmatan kewangan sebanyak RM407.5 juta dan seterusnya produk dan perkhidmatan perindustrian (RM148.6 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM87.8 juta).

“Sebaliknya tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi merupakan penjagaan kesihatan (-RM141.8 juta), pembinaan (-RM40.9 juta) serta utilit (-RM19.5 juta),” katanya.

Dalam pada itu, MBSB berkata institusi tempatan kembali melakukan aktiviti pembelian bersih dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM 853.0 juta berbanding jualan bersih RM588.2 juta pada minggu sebelumnya.

“Pelabur runcit tempatan pula menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk bersih sebanyak RM853.0 juta yang berbeza daripada jualan bersih RM588.2 juta pada minggu sebelumnya,” katanya.

Selain itu, jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat peningkatan secara menyeluruh yang menyaksikan peruncit tempatan meningkat sebanyak 18.4 peratus manakala institusi tempatan naik 0.3 peratus dan pelabur asing turun 12.2 peratus.

Di peringkat serantau, MBSB berkata pelabur asing di lapan pasaran Asia menyaksikan penjualan asing bersih yang meningkat bagi minggu kedua berturut-turut dengan jumlah aliran keluar bersih juga bertambah kepada US$2.76 bilion (US$1 = RM3.99) bagi minggu di bawah kajian berbanding US$954.6 juta pada minggu berakhir pada 16 Jan, 2026.

Penurunan secara agregat itu didorong terutamanya oleh peningkatan ketara aktiviti jualan dari India yang mengatasi pembelian berterusan di kebanyakan rantau ASEAN.

“Kecuali India dan Vietnam, kesemua pasaran lain yang ditinjau mencatatkan alian masuk dana asing bersih sepanjang tempoh di bawah kajian itu,” kata MBSB.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.