Pelaburan: Nak Belajar Sendiri Atau Pergi Kursus?

Terdapat pelbagai instrumen pelaburan di Malaysia seperti pelaburan saham di Bursa Malaysia, Futures Crude Palm Oil (FCPO) di Bursa Malaysia Derivatives, Unit Trust, ASB, Wahed Invest dan pelbagai lagi instrumen yang lain.

Persoalannya, bagaimana cara belajar yang sesuai untuk orang yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan pelaburan? Adakah belajar secara kendiri atau berguru dengan sifu saham? Di sini, kami akan kongsikan perbezaan belajar secara kendiri dan mengikut kursus pelaburan.

Pembelajaran Secara Kendiri

Bolehkah seorang trader baharu atau newbie belajar melabur secara kendiri? Jawapannya adalah boleh. Seseorang itu boleh sahaja belajar secara kendiri kerana terlalu banyak informasi yang boleh didapati secara percuma melalui media sosial seperti Facebook, Youtube, Google dan lain-lain. Pelabur juga boleh belajar dengan pembacaan buku fizikal atau e-book untuk mempelajari pelaburan.

Antara cadangan lain untuk seorang pelabur belajar secara kendiri adalah pelabur semestinya bijak dan tidak sewenang-wenangnya  mengikut buy call daripada kawan-kawan atau ‘sifu’ saham. Pelabur tersebut mestilah membuat kajian sendiri tentang sesuatu saham atau instrumen yang ingin dimasuki olehnya.

Satu lagi tips bagi pelabur yang belajar secara kendiri adalah tidak menggunakan wang sebenar untuk membeli saham atau instrumen pada permulaan melabur. Sebaiknya melabur menggunakan wang olok-olok sebagai permulaan untuk tidak terdedahkan diri daripada risiko kehilangan duit modal daripada kesilapan melabur dalam saham atau instrumen lain.

Walaupun pembelajaran secara kendiri tidak perlu mengeluarkan kos, ia mengambil masa yang lama untuk seseorang itu mahir dalam pelaburan. Jika anda ingin mahir dalam bidang pelaburan dengan cepat, tidak ada cara yang lebih baik selain daripada mengikuti kursus atau kelas pelaburan. Ini akan menyelamatkan anda daripada melakukan banyak kesilapan dalam pelaburan.

Bahkan itu, dengan mengenali metodologi dan kefahaman yang kukuh tentang pelaburan, anda dapat menjimatkan lebih banyak wang dalam jangka panjang melebihi daripada kos kursus pelaburan yang anda bayar untuk menyertai kursus pelaburan. Oleh itu, anda tidak seharusnya melihat kos itu sebagai perbelanjaan tetapi sebagai satu pelaburan.

Pembelajaran Melalui Kursus Pelaburan

Terdapat banyak perkara yang anda boleh dapat dari kursus pelaburan. Pertama sekali, kursus dan bengkel pelaburan semestinya akan dikendalikan oleh pelabur-pelabur yang telah lama menceburkan diri dan mahir dalam bidang pelaburan. Ini akan memberi peluang kepada pelabur baru untuk berhubung secara terus dengan mereka yang pakar untuk bertanyakan soalan tentang pelaburan.

Pelabur mahir akan sentiasa memberikan anda pengetahuan mendalam tentang pelaburan kerana mereka dianggap pakar dalam bidang pelaburan. Ini adalah kelebihan belajar melalui kursus pelaburan yang tidak ada pada pembelajaran sendiri atau pembelajaran melalui Internet.

Selain itu, kursus pelaburan membolehkan pelabur baru mendapatkan alatan dan bahan pembelajaran dengan cepat dan mudah daripada mencari satu per satu bahan di Internet. Kebiasaannya, peralatan pelaburan telah disediakan bagi mereka yang menyertai kursus seperti perisian pelaburan, manual, bahan rujukan dan sebagainya. Ini akan membantu pelabur baru untuk berlatih secara langsung dengan alatan yang sedia ada.

Kursus pelaburan juga akan menjimatkan kos anda buat jangka masa panjang. Jurulatih profesional akan mengenakan bayaran untuk menyertai kursus yang dianjurkan bagi membantu dalam melabur, jadi pembayaran yuran hanya perlu dilakukan sekali sahaja untuk pendapatan seumur hidup.

Bagi mereka yang belajar sendiri, pengeluaran kos adalah berkali-kali kerana mereka perlu menjalani proses “trial and error” dalam memilih strategi yang betul. Ramai orang yang memilih untuk mendapat kerugian dalam pelaburan tetapi tidak mahu untuk membayar yuran untuk belajar melabur dengan mereka yang mahir dalam pelaburan.

Tidak ada jawapan yang betul dan salah dalam cara belajar melabur. Ia adalah persepsi dan pilihan individu itu sendiri sama ada untuk meneruskan pembelajaran kendiri atau menghadiri kelas pelaburan. Anda sememangnya boleh melakukan pembelajaran secara kendiri tetapi ia mungkin memerlukan anda bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mahir dalam pelaburan.

Penulis boleh dihubungi di:

Muhammad Mujahid bin Haron ([email protected])
Ahmad Akma Razin Bin Ahmad Daud ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi Dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

RUJUKAN:

  1. S. (2021, November 30). Can You Learn to Trade by Yourself Without a Course? (With Steps). THE ROBUST TRADER. https://therobusttrader.com/learn-to-trade/
  2. A. (2019, January 2). How to learn trading in stock market? Self-learning vs learning from professional –. Sway Charts. https://swaycharts.com/how-to-learn-trading-in-stock-market-self-learning-vs-learning-from-professional/
Previous ArticleNext Article

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global (China, Hong Kong, Singapura, Indonesia)

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.