Tips Pengurusan Risiko Portfolio Pelaburan

Portfolio kewangan adalah aset kewangan dalam bentuk satu kumpulan yang dimiliki oleh pelabur, di mana terdapat saham, bon (bond) dan pelbagai instrumen kewangan di dalam portfolio tersebut. Bon adalah sekuriti pendapatan tetap yang dikeluarkan oleh syarikat atau kerajaan untuk mengumpul modal.

Pengeluar bon akan menggunakan duit bon (bond) yang telah dikumpul atau dipinjam dari para pemegang bon untuk aktiviti perniagaan atau penjanaan wang. Dalam masa yang sama, pengeluar akan membuat pembayaran tetap kepada para pemegang bon dengan kadar faedah tetap atau berubah dalam jangka masa yang ditentukan mengikut kontrak yang telah dipersetujui.

Setiap portfolio mempunyai risiko. Bagi setiap pelabur, risiko yang dihadapi adalah potensi kerugian wang. Dalam erti kata lain, wang dilabur boleh jadi mendapat pulangan yang menguntungkan atau mengalami kerugian yang tidak dijangka.

Maka, untuk menjadi seorang pelabur, anda perlu berani mengambil risiko serta belajar menguruskannya untuk mengejar keuntungan. Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya yang bermaksud tanpa usaha atau sikap tidak berani mengambil risiko tidak akan membuahkan keuntungan yang diidamkan.

Maka dengan itu, setiap pelabur perlu mengetahui cara-cara atau tips dalam menguruskan risiko bagi sebuah portfolio.

Mempunyai Trading Plan Sebelum Menekan Butang Beli

Punca kegagalan utama bagi setiap pelabur ketika membeli saham adalah tidak mengamalkan asas trading plan yang tepat. Ramai pelabur menganggap selepas mengkaji fundamental analysis dan technical analysis sudah cukup untuk menekan butang beli.

Walau bagaimanapun, trading plan harus dibuat kerana dari situ kita dapat mengetahui pada harga nak beli (entry price), sasaran keuntungan yang kita nak capai (target price) dan harga yang perlu dijual sekiranya telah mengalami kerugian besar yang tidak dijangka (stop loss).

Untuk mengetahui harga beli (entry price), setiap pelabur perlu mengenal pasti beberapa kriteria atau situasi pola harga turun naik bagi sesebuah saham. Antara contoh yang boleh kita ambil adalah (downtrend line breakout). Situasi ini berlaku apabila kita lihat pola harga penurunan yang mendadak (downtrend) sehingga mencapai titik paras bawah (support), kemudian naik semula mengatasi resistance. Terdapat juga pola (gap) di mana harga saham yang melonjak naik secara tiba-tiba mengatasi harga tutup (closing price) hari sebelumnya dan banyak lagi kriteria-kriteria untuk harga beli (entry price).

Downtrend Line Breakout

Seterusnya, setiap pelabur perlu meletakkan sasaran keuntungan (target price) bagi setiap saham. Setelah mencapai harga keuntungan (target price), pelabur mesti jual saham untuk mengelakkan sebarang kerugian. Manakala perkara ketiga yang perlu ada dalam trading plan adalah stop loss.

Biasanya situasi ini jarang berlaku sekiranya setiap pelabur mempunyai analisa yang baik, tetapi berlaku situasi di mana harga turun mencecah support iaitu melebihi 1-3 bid harga support, pelabur perlu menjual saham itu dan amat bahaya untuk menunggu harga naik semula. Jika tidak, pelabur akan mengalami kerugian yang lebih besar.

Stop Loss

Peruntukan Aset (Asset Allocation)

Modal yang banyak tidak menjamin seorang pelabur itu untuk mendapat pulangan yang tinggi. Jika tersilap dalam membuat penilaian dan keputusan ketika ingin memiliki pegangan dalam sesuatu instrumen pelaburan, boleh jadi lebih daripada separuh atau keseluruhan modal akan hangus begitu sahaja.

Peruntukan aset ini penting bagi mengimbangi di antara risiko dan ganjaran sesuatu pelaburan itu mengikut matlamat seseorang itu dan kadar toleransi mereka terhadap risiko dan dengan peruntukan aset yang bijak dapat menentukan hasil yang akan diperoleh kelak.

Pertama, seorang pelabur pastinya lebih mementingkan terlebih dahulu risiko yang datang berbanding pulangan yang akan diperoleh. Mereka akan meletakkan modal yang sedikit tinggi ke dalam pelaburan yang kurang risiko berbanding pelaburan berisiko tinggi walaupun menjanjikan pulangan yang lebih lumayan.

Contoh pelaburan yang kurang risiko adalah unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan akaun simpanan di bank. Hal ini kerana pelabur mahu mengelakkan terdedah kepada risiko yang lebih tinggi.

Antara pelaburan berisiko tinggi adalah pelaburan mata wang kripto disebabkan pola kenaikan dan penurunan harga aset itu sangat tidak menentu manakala pelaburan berisiko sederhana adalah seperti pelaburan hartanah. Pelabur boleh membahagikan modal mereka kepada pecahan seperti 50%, 30% dan 20% masing-masing untuk pelaburan berisiko rendah, sederhana dan tinggi.

Pada waktu yang sama, peruntukan aset boleh dibuat berdasarkan matlamat pelaburan seseorang itu sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek. Antara matlamat seseorang melabur adalah untuk membeli rumah, berumah tangga, persaraan dan banyak lagi.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah contoh pelaburan yang bertujuan untuk digunakan selepas persaraan seseorang. Peruntukan yang dibuat adalah bersesuaian dengan tempoh masa kehidupan seseorang dalam jangka hayatnya.

Peruntukan yang besar boleh diletakkan ke dalam pelaburan yang berisiko tinggi bagi mendapatkan pulangan yang tinggi. Ini sesuai kepada mereka yang mensasarkan matlamat jangka pendek, jadinya mereka mencuba jadi lebih berani dengan mengambil risiko yang lebih besar.

Secara tuntas, terdapat banyak lagi tips pengurusan risiko yang boleh didapati selain daripada yang disebut di dalam penulisan ini. Terpulang kepada pembaca sama ada untuk menggunakan tips yang dicadangkan ataupun sebaliknya. Tiada sebarang paksaan sama ada hendak menerima sepenuhnya penulisan ini dan menyematkannya dalam hati atau tidak.

Akhir kata lain orang lain caranya dalam menangani risiko yang muncul melibatkan berbagai jenis pelaburan. Setiap orang berbeza toleransinya terhadap setiap tahap risiko yang sedang dan akan mereka hadapi.

Penulis boleh dihubungi di:

Muhammad Amir bin Yahya ([email protected])
Abdul Qaader bin Hamid ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat Malaysia
Universiti Sains Islam Malaysia

Previous ArticleNext Article

Melabur Dalam Sektor Kesihatan Di Malaysia : Al-‘Aqar Healthcare REIT

Apakah Itu Al-‘Aqar Healthcare REIT dan Mengapa Ia Menarik Perhatian Pelabur?

Al-‘Aqar Healthcare REIT ialah salah satu Islamic Real Estate Investment Trust (i-REIT) terawal di Malaysia yang menumpukan pelaburan dalam sektor kesihatan, khususnya hospital dan fasiliti perubatan. Disenaraikan di Bursa Malaysia dan sepenuhnya patuh Syariah, ia menawarkan peluang pelaburan kepada pelabur Muslim yang ingin memperoleh pulangan kewangan tanpa terdedah kepada aktiviti yang tidak patuh Syariah.

Portfolio utamanya terdiri daripada hospital dan fasiliti perubatan yang beroperasi, kebanyakannya diuruskan oleh pengendali terkenal seperti KPJ Healthcare Berhad. Pelabur tidak perlu menjadi pesakit atau terlibat secara langsung; mereka memperoleh manfaat kewangan melalui pemilikan unit REIT yang menjana hasil daripada sewaan hospital. Dengan cara ini, kontrak sewaan jangka panjang yang dimiliki memastikan kestabilan pendapatan dan mengurangkan risiko turun naik pasaran. Strategi ini menjadikan Al-‘Aqar pilihan menarik bagi pelabur yang mencari pulangan konsisten sambil menyokong pembangunan sektor kesihatan di Malaysia.

Di Mana Al-‘Aqar Melabur dan Berapa Besar Skala Pelaburannya?

Setakat tahun kewangan 2024, Al-‘Aqar Healthcare REIT memiliki sebanyak 23 aset hartanah berkaitan kesihatan, merangkumi hospital swasta, pusat rawatan pakar dan fasiliti penjagaan kesihatan jangka panjang. Aset-aset ini terletak di lokasi strategik di Malaysia serta beberapa pelaburan terpilih di luar negara.

Dari sudut skala, Al-‘Aqar menguruskan jumlah aset keseluruhan sekitar RM1.83 bilion, manakala nilai hartanah pelaburan mencecah kira-kira RM1.65 bilion. Angka ini menunjukkan bahawa Al-‘Aqar bukan sekadar pelaburan berskala kecil, tetapi merupakan antara pemain utama dalam segmen i-REIT sektor kesihatan di Malaysia. Pelaburan dalam hospital juga dianggap lebih defensif kerana permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan lazimnya kekal stabil walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Bagaimanakah Al-‘Aqar Menjana Pendapatan dan Membayar Dividen?

Pendapatan Al-‘Aqar terutamanya diperoleh melalui sewaan jangka panjang yang dibayar oleh operator hospital dan penyedia perkhidmatan kesihatan. Struktur sewaan ini membantu mewujudkan aliran tunai yang lebih konsisten berbanding sektor hartanah lain yang lebih bergantung kepada permintaan bermusim. Dalam tempoh lima tahun berakhir dari 2020 hingga 2024, prestasi pengagihan pendapatan Al-‘Aqar menunjukkan kestabilan relatif. Prestasi dividen ini merupakan salah satu faktor utama yang menarik minat pelabur terhadap Al-‘Aqar. Berdasarkan laporan tahunan dan sumber platform, nilai agihan dividen (Distribution Per Unit, DPU) menunjukkan trend yang relatif stabil dalam tempoh lima tahun berakhir.

Ringkasan Dividen Tahunan:

TahunDistribution Per Unit (sen)Distribution Yield (%)
20206.815.20
20217.806.72
20228.106.64
20237.906.37
20247.275.35

Dalam tempoh lima tahun berakhir, prestasi distribution yield Al-‘Aqar Healthcare REIT menunjukkan tahap pulangan yang relatif stabil walaupun terdapat turun naik mengikut keadaan pasaran. Pada tahun 2020, distribution yield berada sekitar 5.20%, mencerminkan pulangan sederhana dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Prestasi ini bertambah baik pada tahun 2021 apabila distribution yield meningkat kepada 6.72%, menandakan pemulihan pendapatan yang lebih kukuh. Pada tahun 2022, distribution yield kekal stabil pada 6.64%, sebelum sedikit menurun kepada 6.37% pada tahun 2023 namun masih berada pada tahap kompetitif. Bagi tahun 2024, distribution yield menurun kepada sekitar 5.35%, sejajar dengan perubahan harga unit dan penurunan pendapatan boleh diagihkan. Secara keseluruhan, corak ini menunjukkan keupayaan Al-‘Aqar untuk mengekalkan pulangan yang konsisten dalam jangka sederhana.

Apakah Potensi dan Risiko Pelaburan Al-‘Aqar untuk Jangka Panjang?

Potensi utama Al-‘Aqar terletak pada pertumbuhan jangka panjang sektor kesihatan yang didorong oleh peningkatan populasi warga emas dan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan, menjadikan permintaan terhadap hospital dan fasiliti perubatan lebih stabil berbanding sektor hartanah lain. Model REIT membolehkan pelabur menikmati pendapatan pasif melalui sewaan tanpa perlu mengurus hartanah secara langsung. Namun, risiko wujud, terutamanya kebergantungan kepada penyewa utama seperti operator hospital besar.

Sekiranya mereka menghadapi masalah kewangan atau operasi, pendapatan Al-‘Aqar dan dividen pelabur boleh terjejas. Risiko lain termasuk ketidaktentuan ekonomi, perubahan dasar kerajaan dalam sektor kesihatan, serta aspek etika jika terdapat aktiviti tidak patuh Syariah di peringkat penyewa. Oleh itu, potensi pulangan jangka panjang perlu dinilai bersama tahap risiko untuk membuat keputusan pelaburan yang berinformasi.

Adakah Semua Pelaburan Hospital Secara Automatik Patuh Syariah?

Walaupun Al-‘Aqar diklasifikasikan sebagai REIT yang patuh Syariah, persoalan berkaitan pematuhan Syariah di peringkat operasi hospital tetap relevan. Sebuah hospital boleh menjadi tidak patuh Syariah sekiranya terlibat dengan aktiviti seperti penggunaan pembiayaan konvensional secara dominan atau pengurusan kewangan yang mengandungi unsur riba.

Dalam konteks ini, peranan penasihat Syariah adalah penting untuk memastikan aktiviti penyewa hospital tidak bercanggah dengan garis panduan Syariah. Namun, pemantauan ini bukan sekadar isu pematuhan teknikal, sebaliknya melibatkan pertimbangan etika dan nilai Islam secara lebih luas.

Bagaimanakah Orang Awam Boleh Menjadi Pelabur Al-‘Aqar?

Al-‘Aqar Healthcare REIT merupakan instrumen pelaburan yang didagangkan secara terbuka di Bursa Malaysia, sekali gus membolehkan penyertaan pelabur awam dengan cara yang mudah dan telus. Untuk melabur, seseorang hanya perlu memiliki akaun dagangan saham dengan syarikat broker berlesen bagi membolehkan pembelian dan penjualan unit Al-‘Aqar seperti saham syarikat tersenarai yang lain.

Penyertaan dalam pelaburan ini tidak memerlukan penglibatan secara langsung dalam sektor kesihatan, malah tidak bergantung kepada peranan sebagai pesakit atau pengusaha hospital. Pulangan pelabur dijana melalui agihan dividen tahunan yang berpunca daripada hasil sewaan hospital dan fasiliti perubatan yang membentuk portfolio REIT ini.

Bagi pelabur Muslim, Al-‘Aqar menawarkan pilihan pelaburan yang menggabungkan potensi pulangan kewangan dengan keyakinan terhadap pematuhan Syariah, di samping menyumbang secara tidak langsung kepada pembangunan infrastruktur kesihatan negara.

Adakah Pelaburan Patuh Syariah Menjamin Pelaburan Beretika?

Walaupun Al-‘Aqar Healthcare REIT memenuhi keperluan patuh Syariah dari segi struktur dan peraturan, persoalan sama ada pelaburan patuh Syariah secara automatik menjamin pelaburan yang beretika masih wajar dibincangkan.

Dalam Islam, pelaburan bukan sekadar dinilai berdasarkan pulangan kewangan, tetapi juga melibatkan keadilan, ketelusan dan kesan sosial. Kes Al-‘Aqar menunjukkan bahawa faktor seperti aktiviti penyewa, struktur kewangan hospital dan kebergantungan kepada pihak tertentu boleh menimbulkan pertimbangan etika walaupun sektor pelaburan selari dengan maqasid al-Shariah.

Oleh itu, pematuhan Syariah perlu difahami sebagai proses berterusan yang menuntut pemantauan dan kebertanggungjawaban, di mana pelabur Muslim berperanan menilai keselarasan pelaburan dengan nilai Islam secara menyeluruh.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Noor Amira Azlin Binti Mohd Zakaria dan Prof. Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali, Universiti Sains Islam Malaysia.