Waqf ETF, Pertama Di Dunia Disenaraikan Di Bursa Malaysia


KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Kenanga Investors Bhd, Eq8 Capital Sdn Bhd dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) hari ini melancarkan dana dagangan bursa (ETF) berciri wakaf pertama di dunia.

Eq8 FTSE Malaysia Enhanced Dividend Waqf ETF (EQ8WAQF) disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, pada premium dua sen melebihi harga terbitannya RM1.00 dengan 4,000 saham didagangkan.

Pengarah Eksekutif Eq8 Syed Umar Abdul Rahman Alhadad berkata Waqf ETF menyasarkan untuk mengagihkan pendapatan setiap tahun dengan separuh diperuntukkan sebagai aset Wakaf dan separuh lagi dibayar kepada pemegang unit.

Beliau berkata Waqf ETF menawarkan peluang kepada pelabur untuk mencapai matlamat pelaburan dwi impak.

“EQ8WAQF menampilkan skim diterajui indeks yang menjana dividen daripada indeks direka dengan teliti, menggabungkan strategi berfokuskan pendapatan dengan pendekatan berasaskan momentum.

“Ia terbuka kepada semua agama dan negara yang mempunyai akses kepada Bursa Malaysia. Ini adalah pembezaan utama Waqf ETF ini berbanding dana Wakaf lain di pasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian itu.

Majlis itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kenanga Investors Datuk Ismitz Matthew de Alwis dan CEO YWM  Dr Ridzwan Bakar.

Sementara itu, Dr Ridzwan menegaskan Wakaf bukan eksklusif untuk umat Islam tetapi merupakan konsep universal dan bahagian penting dalam kewangan Islam dan kewangan sosial yang harus diperjuangkan.

“Malaysia mempunyai keupayaan untuk memperjuangkan kewangan Islam dan kami percaya..kami juga boleh menjadi peneraju kewangan sosial Islam melalui Wakaf,” katanya.

Waqf ETF adalah produk kelima kepada ETF Eq8, menjadikannya pengeluar ETF terbesar di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Trend Menurun Terhenti

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami lantunan teknikal pada Jumaat lalu apabila menokok MYR11 untuk ditutup pada harga MYR4,568. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,557. Ia kemudiannya terjemurus ke paras terendah sesi hari tersebut bernilai MYR4,551 sebelum dipacu oleh sentimen menaik ke paras tertinggi berjumlah MYR4,632. Akhirnya, ia menutup dagangan pada paras MYR4,568, dengan membentuk corak lilin menaik yang menamatkan fasa penurunan harga yang berlaku selama dua hari. Pergerakan harga yang positif ini dilihat sebagai lantunan harga yang melawan arus trend.

RSI terus berada di bawah paras 50% dan hal ini menunjukkan bahawa FCPO sekarang berada dalam zon jualan berlebihan. Walaupun mengalami kenaikan, komoditi ini masih lagi berada di bawah paras MYR4,700, lalu mengesahkan bahawa struktur menurun secara amnya masih menguasai pasaran. Sehubungan dengan itu, kami menjangkakan tekanan jualan akan bersambung semula dan mengheret FCPO ke arah paras sokongan terdekat MYR4,500. Buat masa sekarang, kami terus berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,500 yang diikuti oleh paras MYR4,390. Paras rintangan pertama pula kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.