Apa kaitan kerbau dan beruang dalam pasaran saham?

Maskot Bursa Malaysia

Bullish market, bearish market…ini istilah popular bagi pelabur saham. Metafora ini sering digunakan untuk menunjukkan trend pasaran saham.

Biasa tengok patung kerbau gergasi di luar bangunan Wall Street dalam mana-mana filem Hollywood? Di luar bangunan Bursa Malaysia juga ada patung-patung ini.

Bullish market

Apa Itu Pasaran Bullish?

Pasaran saham yang sedang bullish, bermaksud trend yang menaik. Pada masa ini, ekonomi berada di dalam keadaan yang sangat baik, kadar pengangguran yang rendah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menaik, dan kebanyakan harga saham meningkat.

Pendek kata semuanya kelihatan baik-baik belaka, dan memilih saham yang berpotensi meningkat naik amat mudah sekali. Ramai orang akan tersenyum pada tempoh waktu ini dan membuat keuntungan yang banyak.

Jadi Kenapa Kerbau?

Kerbau mempunyai tanduk dan apabila ia berasa terancam – kerbau akan menanduk dengan menujah ke atas. Dan disebabkan tujahan ke atas ini lah, ia sering dikaitkan dengan trend pasaran saham yang menaik. Banyak harga akan ‘pecah siling’ dan harga resistance sesuatu saham itu pecah ke paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Apa Pula Pasaran Bearish?

Apa yang naik, pasti akan turun. Begitu juga dengan pasaran yang bearish, ia adalah terbalik daripada pasaran yang bullish. Pada tempoh masa ini, keadaan ekonomi adalah tidak berapa baik (gawat) dan harga-harga saham sedang trend menurun.

Semuanya seperti akan menjadi lebih teruk lagi, dan sangat sukar untuk pelabur memilih saham yang boleh mendatangkan keuntungan. Salah satu strategi adalah dengan memantau sahaja, dan apabila keadaan seperti akan naik – baru anda masuk membeli harga yang sedang berada di tahap diskaun.

Kenapa Pula Beruang?

Tahu tak beruang apabila terancam, ia akan berdiri bagi menunjukkan badannya yang besar? Apabila sampai masa untuk menyerang, ia akan menerkam ke bawah seolah-olah ingin membenam mangsanya. Dan apabila mangsa sudah terbaring, beruang akan teruskan menghentak mangsanya sehingga terbenam ke dalam tanah bagi memastikan mangsanya tidak lagi berupaya untuk melawan.

‘Hentakan’ ini akan menyebabkan harga support sesuatu saham itu akan pecah dan harga akan terus menjunam ke paras baru. Ini akan menyebabkan pelabur lain menjadi panik dan harga saham tersebut akan semakin jatuh dah jatuh.

Pasaran Bullish atau Bearish Ke, Masih Boleh Untung Dan Rugi

Eh, siapa kata semasa pasaran bullish, anda tidak boleh rugi? Begitu juga semasa pasaran sedang bearish, siapa kata anda tidak boleh untung?

Akan ada peluang untuk buat untung semasa pasaran bullish jika tahu caranya, dan akan ada ruang untuk rugi semasa pasaran bearish jika anda tidak berhati-hati.

Dengan ilmu Fundamental Analysis dan Technical Analysis yang kukuh, tidak kira apa trend pasaran sekalipun – peluang anda untuk buat untung di pasaran saham pasti lebih cerah.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.