Bursa Malaysia Akan Mengklasifikasikan Semula Segmen Pelabur Bagi Memberikan Perincian Lebih Terperinci Terhadap Data Penyertaan Dagangan

Kuala Lumpur – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) akan menambah baik data segmen pelabur bagi menyediakan perincian yang lebih terperinci mengenai penyertaan dagangan dalam pasaran.

Penambahbaikan ini melibatkan pembezaan akaun penama (nominee) yang dipegang oleh pelabur institusi dan pelabur runcit, sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai tahap penyertaan dagangan setiap segmen pelabur.

Selain itu, aliran pelaburan syarikat milik asing yang diperbadankan di Malaysia akan diklasifikasikan semula berdasarkan sumber dana pelaburan dan bukannya struktur pemilikan, bagi mencerminkan aktiviti pelaburan domestik dengan lebih tepat.

Kategori pelabur yang dikemas kini ini akan dipaparkan dalam pakej data Bursa Malaysia bermula 6 April 2026. Selaras dengan amalan biasa Bursa, perubahan yang bakal dilaksanakan ini telah dimaklumkan kepada para pelanggan data Bursa Malaysia.

Inisiatif ini merupakan tindak balas terhadap peningkatan penggunaan struktur penama dan mencerminkan komitmen berterusan Bursa untuk memastikan maklumat yang disediakan kekal relevan, telus serta mencerminkan tingkah laku dagangan dan dinamik pasaran semasa.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.