Nak Jadi Seorang Trader? Hadamkan 3M Ini Terlebih Dahulu

Tahukah anda, tidak semua trader dapat bertahan dalam dunia pelaburan ini? Dan ada juga yang tertanya-tanya kenapa diri ini masih belum berjaya sedangkan trader yang masuk dalam dunia pelaburan bersama mereka sudah berjaya?

Kita sudah fahami cara membaca pelbagai jenis indikator, waktu yang sesuai untuk jual dan beli, menentukan downtrend atau uptrend dan sebagainya. Namun kita tak dapat nak bertahan dalam dunia pelaburan.

Ini kerana, ramai trader anggap mereka sudah mencukupi pelbagai aspek dalam pelaburan tetapi sebenarnya mereka terlepas pandang dengan konsep 3M iaitu Mind, Money Management dan Method.

Ketiga-tiga M ini adalah sangat penting, dan kita boleh menganggapnya sebagai tiga tonggak dan tulang belakang dalam pelaburan. Jika tiada salah satu daripadanya, mungkin kita tidak akan dapat bertahan, dan tidak akan mudah untuk berjaya. Oleh itu, apakah yang perlu kita fahami tentang konsep 3M ini?

1. Mind (Minda/Fikiran)

Minda merupakan komponen yang paling penting dan utama daripada yang lain. Hal ini kerana kita tidak dapat menjana wang secara berterusan jika tidak mempunyai mindset trading yang betul. Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mencapai mindset  dunia pelaburan yang betul.

Kawalan diri sangatlah penting bagi trader dalam membuat trading. Setiap trader perlu mempunyai objektif dan target mereka tersendiri seperti meletakkan had keuntungan atau kerugian yang mereka mahukan atau mampu tanggung.

Sekiranya trader tidak mampu untuk mengawal diri dalam menghadapi godaan dalam membuat trading dengan membeli saham secara tidak terkawal, kemungkinan besar mereka akan mudah putus asa dalam membuat trading.  

Trading merupakan satu risiko tinggi di mana trader perlu bijak dalam mengendalikan diri dan mempunyai kemampuan yang dimulai dengan pemahaman mental tentang apakah yang mereka mahu lakukan dan apakah risiko yang mereka akan ambil.

Disebabkan itu, kita perlu memikirkan lebih banyak mengenai hakikat bahawa sangat mudah kehilangan wang dalam trading, dan bukannya fakta bahawa mungkin kita boleh memperoleh keuntungan besar pada setiap trading yang kita lakukan. Oleh itu, trader dinasihati supaya berhati-hati dalam membuat trading seperti tidak membeli saham secara berlebihan kerana ini boleh mempengaruhi minda trader sekiranya kerugian berlaku.

Contohnya, jangkaan trader bagi harga saham syarikat A akan meningkat, jadi trader akan trade dengan jumlah yang banyak pada syarikat A, akan tetapi harga saham syarikat A menurun dengan banyak selepas beberapa bulan dan ini menyebabkan trader meperolehi kerugian yang besar.

2. Money Management (Pengurusan Wang)

Sebagai seorang trader yang bijak, pengurusan wang amat penting bagi memastikan kita tidak kehilangan keseluruhan modal pelaburan. Kita dinasihatkan, jangan meletakkan semua wang kita ke dalam satu saham sahaja.

Seperti pepatah Bahasa Inggeris yang berbunyi “Don’t put all your eggs in one basket” kalau diterjemahkan dalam Bahasa Melayu, ianya bermaksud jangan letakkan kesemua telur yang ada ke dalam satu bakul. Cuba bayangkan sekiranya kita meletakkan semua telur di dalam satu bakul dan secara tiba-tiba bakul tersebut jatuh.

Maka tinggilah kebarangkalian untuk kesemua telur tersebut untuk pecah. Sama juga seperti trading ni, dimana risikonya adalah tinggi sekiranya kita hanya trade pada satu saham sahaja.

Secara ringkasnya, berikut merupakan cara pengurusan wang yang boleh digunakan:

  • Kita perlu sentiasa memikirkan risiko sebelum mendapat untung atau kerugian.
  • Kita perlu tahu berapa jumlah risiko per pelaburan dan jangan melebihi daripada jumlah yang kita sudah tetapkan. Jumlah wang ini adalah jumlah yang kita sanggup hilang bila berlakunya penurunan harga saham dalam trading. Kadang-kadang, minda dan mental kita boleh terganggu kalau kita tak bersedia untuk hadapi risiko kerugian yang besar.
  • Kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang bagaimana meletakkan sasaran keuntungan.
  • Kita perlu memahami cara mengira risiko dan pulangan (risk and reward ratio) pada pelaburan dan ini bermakna kita juga perlu tahu samada dagangan itu berbaloi untuk diambil atau tidak dan adakah risikonya tinggi atau rendah?

Sekiranya kita tidak mempunyai pengurusan wang yang betul, mindset yang telah kita tetapkan akan mudah bercelaru atau hilang. Kaedah kita juga akan menjadi kurang atau tidak relevan sekiranya kita tidak dapat menguruskan wang dengan bijak.

Oleh itu, lebih mudah untuk kita fokus dalam menguruskan wang kita, terutamanya risiko kerugian. Ketahuilah bahawa pemeliharaan modal adalah kunci utama pengurusan wang. Pemeliharaan modal bermaksud menguruskan modal pelaburan kita supaya kita tidak menggunakannya terlalu banyak atau secara berlebihan.

3. Method (Cara)

Merupakan pendekatan atau kaedah yang pelabur gunakan untuk menganalisis atau mengkaji harga, menentukan harga beli, cut loss, harga sasaran (target price) dan sebagainya. Sebelum masuk ke dalam pasaran saham, kita perlu tahu dan mesti mempunyai kaedah pelaburan yang berkesan.

Contohnya, kita perlu tahu sebab mengapa kita beli sesuatu saham? Adakah kerana fundamentalnya baik? Atau munculnya signal beli pada carta?

Oleh itu, kita perlulah menilai sama ada kaedah pelaburan yang digunakan oleh kita, adakah ia berkesan atau tidak? Sebagai trader yang baharu dalam dunia saham, kita boleh cuba melakukan paper trading selama beberapa bulan dan melihat hasil yang kita perolehi.

Paper trade boleh dilakukan dengan cuba bermain game pelaburan yang telah disediakan seperti di atau Bursa Marketplace.  Satu peringatan, pastikan kita mengikuti kaedah seperti yang diajar.

Contohnya, menggunakan beberapa indikator sebagai panduan beli dan jual dalam pelaburan seperti Moving Average (MA), Exponential Moving Average (EMA), Simple Moving Average (SMA) dan sebagainya.

Seperti rajah di atas, garisan biru merupakan garisan indikator Moving Average (MA) dan garisan hitam merupakan harga pasaran (price). Dengan mengguna indikator tersebut iaitu Moving Average,  kita sudah boleh dapati pada waktu bilakah yang sesuai untuk kita beli (Buy) atau jual (Sell) saham kita.

Kesimpulan

Jika kita nak melakukan sesuatu perkara, kita perlu tahu caranya sebelum nak buat sesuatu. Kalau kita tak tahu cara, kita boleh dapat kerugian yang besar dan akan menyesal satu hari nanti. Sebab tu penting untuk kita tahu konsep 3M ini.

Yang mana 3M (Mind, Money Management and Method) ini perlu untuk kita sentiasa ingat sebelum membuat sesuatu trade. Oleh itu, sekiranya kita gabungkan 3M ini dan praktik dalam dunia trading kita, pasti kita akan dapat bertahan lama dan berjaya dalam dunia trading ini.

Penulis boleh dihubungi di:

Nur ‘Afifa Binti Abdul Kamal ([email protected])
Nursyamimi Husna Binti Yahya ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Kami ada menawarkan solusi kepada dilema ini.

Topik-topik yang bakal kami kongsikan

1. Mindset Power
2. Teknik Compounding
3. Jenis Chart
4. 11 Jenis Reversal Candlestick
5. Market Phase
6. Breakout Downtrend Line
7. Kajian Saham
8. Kenali Top 4 Sell Signal
9. Pemilihan Winning Stock
10. Setup Trading Platform Yang Mudahkan Jual Beli

…Dan banyak lagi …

Haa. Ramai yang puas hati dengan Webinar Swing Trading sebelum ini. Ramai kata mudah faham. Nak tahu apa kata alumni Webinar Swing Trading sebelum ini? Jom tengok video yang disediakan!

https://www.facebook.com/watch/?v=1322166808601507

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Di Sebalik Status Patuh Syariah: Bagaimana SC Menilai Sesebuah Syarikat?

Bagi pelabur Muslim di Malaysia, memilih saham patuh Syariah bukan sekadar memenuhi keperluan pelaburan, tetapi juga memastikan setiap keputusan pelaburan selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Hari ini, lebih 70% daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia diklasifikasikan sebagai patuh Syariah. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana sesuatu syarikat boleh mendapat status tersebut? Adakah ia hanya bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan atau terdapat proses penilaian yang lebih menyeluruh?

Hakikatnya, status patuh Syariah tidak diberikan secara automatik. Setiap syarikat yang tersenarai akan melalui proses saringan yang sistematik oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggunakan metodologi yang telah ditetapkan. Semakan ini bukan sahaja menilai aktiviti perniagaan syarikat, malah turut melihat kedudukan kewangan dan beberapa aspek kualitatif yang lain.

Dalam artikel ini, kita akan memahami bagaimana proses saringan tersebut dijalankan dan mengapa ia penting kepada setiap pelabur.

Siapa Yang Menentukan Status Patuh Syariah?

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menentukan status patuh Syariah bagi syarikat yang tersenarai ialah Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

MPS terdiri daripada pakar dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan pasaran modal yang bertanggungjawab memastikan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai patuh Syariah memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Senarai sekuriti patuh Syariah akan dikemas kini dua kali setahun, lazimnya pada bulan Mei dan November, berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini syarikat. Ini bermakna status sesebuah saham boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Mengapa Perlu Ada Proses Saringan?

Tidak semua syarikat menjalankan aktiviti yang sepenuhnya patuh Syariah. Sebagai contoh, terdapat syarikat yang:

  • memperoleh sebahagian kecil pendapatan daripada faedah konvensional,
  • menyewakan premis kepada perniagaan yang tidak patuh Syariah,
  • atau mempunyai hutang berasaskan faedah.

Jika tiada proses saringan, pelabur akan sukar menentukan sama ada sesuatu saham benar-benar sesuai untuk dilaburkan.

Oleh itu, MPS menggunakan metodologi yang mengambil kira bukan sahaja aktiviti utama syarikat, tetapi juga sumbangan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh Syariah dan struktur kewangan syarikat.

Secara umum, metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibahagikan kepada tiga komponen utama:

  1. Penilaian aktiviti perniagaan.
  2. Penilaian nisbah kewangan.
  3. Penilaian kualitatif.

Ketiga-tiga komponen ini saling melengkapi bagi memastikan syarikat benar-benar memenuhi prinsip Syariah.

1. Penilaian Aktiviti Perniagaan

Langkah pertama ialah melihat sumber pendapatan syarikat. Jika aktiviti utama syarikat jelas bercanggah dengan Syariah, syarikat tersebut tidak akan diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.

Antara aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk:

  • perbankan konvensional,
  • insurans konvensional,
  • perjudian,
  • arak dan aktiviti berkaitan,
  • produk berasaskan khinzir,
  • makanan dan minuman yang tidak halal,
  • hiburan yang bercanggah dengan Syariah,
  • tembakau dan rokok,
  • serta aktiviti lain yang diputuskan tidak mematuhi prinsip Syariah oleh MPS.

Walau bagaimanapun, terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang patuh Syariah tetapi mempunyai sedikit pendapatan daripada aktiviti sampingan yang tidak patuh. Dalam keadaan ini, MPS akan menggunakan penanda aras tertentu bagi menentukan sama ada sumbangan tersebut masih berada dalam had yang dibenarkan.

Penanda Aras 5%

Aktiviti yang dianggap jelas bercanggah dengan Syariah tertakluk kepada penanda aras 5%. Ini bermaksud sumbangan pendapatan daripada aktiviti tersebut mestilah kurang daripada 5% daripada jumlah pendapatan kumpulan.

Sebagai contoh:

Sebuah syarikat memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM500 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta datang daripada faedah bank konvensional.

Pengiraannya ialah:

RM10 juta ÷ RM500 juta × 100%

= 2%

Oleh kerana jumlah tersebut berada di bawah penanda aras 5%, syarikat masih boleh dipertimbangkan sebagai patuh Syariah, tertakluk kepada syarat-syarat lain.

2. Penilaian Nisbah Kewangan

Selain melihat aktiviti perniagaan, MPS turut menilai struktur kewangan syarikat. Tujuannya ialah memastikan syarikat tidak terlalu bergantung kepada unsur riba dalam operasi kewangannya.

Dua nisbah utama yang dinilai ialah:

a) Tunai Konvensional Berbanding Jumlah Aset

Pengiraan ini hanya mengambil kira tunai yang disimpan dalam akaun atau instrumen konvensional. Tunai yang ditempatkan dalam instrumen Islam tidak diambil kira. Nisbah ini mestilah kurang daripada 33%.

b) Hutang Berfaedah Berbanding Jumlah Aset

Nisbah kedua melihat jumlah hutang yang dikenakan faedah berbanding keseluruhan aset syarikat. Pembiayaan Islam dan sukuk tidak termasuk dalam pengiraan ini. Sekiranya hutang berfaedah melebihi had yang ditetapkan, syarikat mungkin gagal memenuhi syarat patuh Syariah. Penanda aras yang digunakan juga ialah kurang daripada 33%.

3. Penilaian Kualitatif

Walaupun sesebuah syarikat memenuhi syarat dari segi angka, MPS turut menilai aspek kualitatif.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah:

  • imej syarikat,
  • persepsi umum terhadap aktiviti syarikat,
  • sama ada operasi syarikat bercanggah dengan nilai dan prinsip Islam,
  • serta unsur yang boleh menimbulkan keraguan kepada pelabur Muslim.

Ini menunjukkan bahawa penilaian patuh Syariah bukan sekadar bergantung kepada formula matematik, tetapi turut mengambil kira maqasid dan semangat Syariah.

Contoh Situasi

Bayangkan terdapat dua syarikat.

Syarikat A menghasilkan makanan halal dan memperoleh hampir keseluruhan pendapatan daripada jualan produknya. Namun, sebahagian kecil wang tunainya disimpan dalam akaun konvensional dan jumlahnya masih berada di bawah had yang ditetapkan.

Syarikat B pula menjalankan perniagaan utama yang sama, tetapi sebahagian besar pendapatannya datang daripada aktiviti yang tidak patuh Syariah.

Walaupun kedua-duanya menjual produk yang hampir sama, keputusan saringan mungkin berbeza kerana sumber pendapatan dan struktur kewangan mereka tidak serupa.

Inilah sebabnya pelabur tidak boleh menilai status patuh Syariah hanya berdasarkan nama atau jenis perniagaan sesebuah syarikat.

Mengapa Status Patuh Syariah Boleh Berubah?

Ada pelabur yang terkejut apabila mendapati saham yang dibeli sebelum ini tidak lagi berada dalam senarai patuh Syariah.

Perkara ini boleh berlaku kerana:

  • perubahan model perniagaan,
  • peningkatan pendapatan daripada aktiviti tidak patuh,
  • perubahan struktur hutang,
  • atau perubahan kedudukan kewangan syarikat.

Oleh sebab itu, pelabur disarankan menyemak senarai terkini yang diterbitkan oleh SC setiap kali kemas kini diumumkan.

Adakah Saham Patuh Syariah Menjamin Keuntungan?

Jawapannya ialah tidak. Status patuh Syariah hanya menunjukkan bahawa syarikat memenuhi garis panduan Syariah yang ditetapkan oleh MPS.

Ia bukan petunjuk bahawa harga saham akan meningkat atau syarikat pasti mencatat keuntungan. Sebelum membuat keputusan pelaburan, pelabur masih perlu melakukan analisis fundamental, analisis teknikal (jika berkaitan) serta menilai prospek industri dan tahap risiko syarikat. Patuh Syariah dan prestasi pelaburan ialah dua perkara yang berbeza.

Bagaimana Pelabur Menyemak Status Patuh Syariah?

Pelabur boleh menyemak status sesuatu saham melalui senarai rasmi yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Senarai ini dikemas kini dua kali setahun dan menjadi rujukan utama kepada pelabur individu, pengurus dana Islam, syarikat broker Islam serta institusi kewangan Islam.

Kesimpulan

Metodologi saringan saham patuh Syariah di Malaysia dibangunkan bagi memastikan pelabur Muslim mempunyai panduan yang jelas dalam memilih sekuriti yang mematuhi prinsip Syariah. Proses ini bukan sahaja menilai jenis aktiviti perniagaan syarikat, malah turut mengambil kira struktur kewangan dan aspek kualitatif bagi memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh.

Sebagai pelabur, memahami bagaimana sesuatu saham diklasifikasikan sebagai patuh Syariah akan membantu anda membuat keputusan pelaburan dengan lebih yakin dan berinformasi. Pada masa yang sama, jangan menganggap status patuh Syariah sebagai satu-satunya faktor dalam memilih saham. Analisis terhadap prestasi kewangan, prospek syarikat, pengurusan dan risiko pelaburan tetap perlu dilakukan.

Akhir sekali, sentiasalah menyemak senarai terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kerana status patuh Syariah boleh berubah mengikut perkembangan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat. Dengan gabungan ilmu Syariah dan ilmu pelaburan, anda bukan sahaja berpeluang membina kekayaan, malah dapat melabur dengan lebih tenang dan bertanggungjawab.