Webull Kini Tersenarai di Nasdaq Selepas Gabungan Strategik

FLORIDA, 16 April – Webull Corporation, pemilik platform pelaburan digital terkenal Webull, kini rasmi disenaraikan di pasaran saham Nasdaq di bawah simbol ticker “BULL”, selepas berjaya menamatkan proses gabungan perniagaan dengan SK Growth Opportunities Corporation (SK Growth).

Gabungan ini telah diluluskan oleh pemegang saham SK Growth pada 30 Mac 2025 dan berkuat kuasa secara rasmi pada 11 April 2025. Kini, SK Growth menjadi anak syarikat milik penuh Webull, dan saham mereka telah ditukar kepada saham Webull. Dengan ini, saham Webull — termasuk waran dan waran insentif — mula didagangkan di Nasdaq dengan simbol BULL, BULLW, dan BULLZ.

Meraikan Langkah Besar

Untuk menandakan detik bersejarah ini, Webull telah membunyikan loceng pembukaan dagangan di Nasdaq, satu simbolik penting bagi mana-mana syarikat yang baru disenaraikan.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Webull AS, Anthony Denier, menyatakan bahawa langkah ini merupakan pencapaian besar dan akan mengukuhkan lagi kedudukan Webull sebagai rakan dagangan utama kepada pelabur runcit yang mahir teknologi dan semakin canggih.

Platform Global, Akses 24/7

Dilancarkan di Amerika Syarikat pada 2018, Webull kini menawarkan perkhidmatan di 14 pasaran utama termasuk Asia Pasifik, Eropah, dan Amerika Latin. Aplikasi Webull telah dimuat turun lebih daripada 50 juta kali, dengan lebih 23 juta pengguna berdaftar di seluruh dunia.

Webull menyediakan akses pelaburan 24 jam sehari kepada produk seperti saham, ETF, niaga hadapan dan saham pecahan. Lengkap dengan data pasaran, alat analisis lanjutan, komuniti pelabur, dan kandungan pendidikan yang bersepadu.

Kenapa SPAC dan Bukan IPO?

Menariknya, Webull tidak melalui proses IPO tradisional. Sebaliknya, mereka memilih gabungan dengan syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) iaitu SK Growth, iaitu satu kaedah alternatif untuk menjadi syarikat awam yang lebih cepat dan efisien.

Dengan penyenaraian ini, Webull kini bersedia untuk terus memperkasakan pelabur runcit global dan melangkah lebih jauh dalam dunia pelaburan digital.

Maklumat tentang Webull dan sekuritinya juga boleh diakses melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) di http://www.sec.gov, yang Webull akan memfailkan laporan, termasuk laporan pada Borang 6-K dan laporan tahunan pada Borang 20-F.

Webull Malaysia kini telah menawarkan pilihan deposit ke akaun Islamik untuk kemudahan pengguna Muslim di Malaysia. Sebelum ini, semua deposit akan diletakkan dalam bank; JP Morgan Malaysia. Dengan pilihan perbankan Islam, deposit pengguna akan diletakkan dalam HSBC Amanah.

Baca lagi : Nak Buka Akaun Saham Online Dengan Webull? Dapat Antara Caj Terendah Di Pasaran

Rebut Peluang Belajar Melabur Saham Di Pasaran Saham Amerika Syarikat

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk mula melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street hari ini!

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters