Solarvest Perjelas Kedudukan Di Tengah Kenaikan Kos Panel Solar

Kuala Lumpur, 5 Februari 2026Solarvest Holdings Berhad (“Solarvest”) mengambil maklum laporan berita terkini yang membincangkan kenaikan kos panel solar serta potensi kesannya terhadap syarikat. Walaupun laporan tersebut menekankan tekanan kos di peringkat industri susulan pemansuhan rebat cukai eksport sebanyak 9% oleh China, ia tidak mencerminkan sepenuhnya kedudukan pasaran Solarvest mahupun langkah mitigasi risiko yang telah diambil oleh syarikat.

Sebagai penjelasan, Solarvest telah memperoleh pesanan pukal (blanket order) berjumlah 2GW dengan pembekal pada harga yang telah dikunci pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HCY2025), sebelum pengumuman terkini oleh kerajaan China. Pengaturan perolehan awal ini memastikan keperluan projek Solarvest dilindungi untuk tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang. Kontrak-kontrak ini turut disokong oleh deposit boleh pulang dan jaminan bank, sekali gus memberikan perlindungan kukuh terhadap risiko kegagalan prestasi pembekal.

Hasil hubungan jangka panjang yang kukuh dengan pembekal-pembekal mapan yang dibina selama bertahun-tahun, Solarvest tidak menjangkakan sebarang risiko pelaksanaan atau penghantaran susulan pergerakan harga terkini. Sekiranya berlaku kegagalan prestasi yang tidak dijangka, perlindungan kontrak yang tersedia membolehkan Solarvest mendapatkan semula deposit dan menguatkuasakan jaminan bank berkaitan.

Walaupun harga modul solar telah meningkat di peringkat global, strategi perolehan Solarvest, digabungkan dengan sokongan mata wang daripada pengukuhan Ringgit, memastikan kesan bersih terhadap margin kekal terhad. Penganalisis bebas turut mengesahkan bahawa tekanan margin yang dihadapi Solarvest masih boleh diurus, dan asas jangka panjang syarikat kekal kukuh, dengan penarafan “Beli” dan “Mengatasi Pasaran” (Outperform) terus dikekalkan.

Solarvest akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan yang berdaya tahan, disokong oleh perniagaan EPCC, pemilikan aset, pemerolehan strategik serta saluran projek serantau yang kukuh. Syarikat kekal yakin dengan keupayaannya untuk mengharungi persekitaran kos yang berubah-ubah, menyampaikan nilai mampan kepada para pemegang kepentingan, serta menyokong peralihan tenaga bersih Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.