Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi 2025

Tahun 2025 bukanlah tahun yang mudah untuk semua pelabur saham. Dalam keadaan pasaran yang masih berdepan tekanan kos, permintaan global yang perlahan serta sentimen pasca-kitaran luar biasa sebelum ini, ada saham yang melonjak tinggi dan ada juga yang jatuh teruk.

Menariknya, kejatuhan ini turut melibatkan saham-saham patuh Syariah yang suatu ketika dahulu menjadi kegemaran ramai pelabur.

Ramai Yang Tersadung

Tahun 2025 menyaksikan beberapa pasaran ekuiti utama dunia seperti Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat bergerak lebih agresif, disokong oleh sentimen teknologi, AI dan pemulihan ekonomi terpilih. Namun, situasi di Bursa Malaysia agak berbeza.

Pada penutupan dagangan terakhir tahun 2025, indeks FBM KLCI bergerak dalam julat yang sempit dan ditutup hampir tidak berubah berbanding awal tahun. Jumlah dagangan pula kekal sederhana, dengan pasaran seolah-olah kekurangan pemangkin baharu yang benar-benar mampu mengubah sentimen pelabur.

Dari sudut pandang pelabur runcit, pasaran saham tempatan kelihatan sunyi, perlahan dan kurang menarik. Hakikatnya, keadaan ini menyembunyikan satu realiti yang lebih perit iaitu bukan semua saham sekadar bergerak perlahan, ada yang jatuh dengan sangat dalam.

Pasaran Tidak Jatuh, Tetapi Pelabur Boleh Rugi

Walaupun indeks utama tidak menunjukkan kejatuhan besar, ramai pelabur sebenarnya mencatatkan kerugian ketara pada tahun 2025. Ini kerana indeks FBM KLCI banyak dipengaruhi oleh saham-saham besar seperti bank dan utiliti yang pergerakannya agak stabil.

Sebaliknya, kejatuhan sebenar berlaku di luar radar indeks yang melibatkan saham-saham tertentu yang mengalami tekanan hebat akibat perubahan kitaran industri, lebihan kapasiti, kelembapan permintaan dan pembetulan penilaian.

10 Saham Patuh Syariah Ini Mencatatkan Kejatuhan Ketara Pada 2025

Walaupun Bursa Malaysia secara keseluruhan kelihatan stabil, terdapat saham patuh Syariah yang mencatatkan penyusutan harga sehingga melebihi 50% dalam tempoh setahun.

Senarai di bawah menunjukkan 10 saham patuh syariah yang mencatatkan prestasi paling lemah sepanjang 2025, berdasarkan harga pasaran setakat 31 Disember 2025.

Melihat angka kejatuhan ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa 2025 menjadi tahun yang mencabar bagi sebahagian pelabur saham patuh Syariah.

Apa Yang Boleh Kita Belajar Daripada Senarai Ini?

Beberapa pemerhatian penting boleh dibuat daripada senarai saham paling rugi ini:

i) Sebahagian besar saham yang jatuh teruk datang daripada sektor yang melalui fasa pembetulan kitaran seperti sarung tangan, teknologi dan pembuatan.

ii) Banyak daripadanya pernah menjadi saham popular dan menerima perhatian tinggi pelabur runcit.
Kejatuhan besar tidak semestinya bermaksud syarikat akan gagal, tetapi menunjukkan risiko apabila harga bergerak terlalu jauh daripada asas perniagaan.

iii) Saham patuh Syariah tetap terdedah kepada risiko pasaran dan tidak terkecuali daripada kejatuhan harga.

Fokus Utama Adalah Lindungi Modal

Dalam keadaan pasaran seperti ini, fokus utama pelabur sepatutnya bukan mengejar cerita panas atau harapan rebound semata-mata, tetapi melindungi modal dan mengurus risiko.

Pasaran sentiasa bergerak mengikut kitaran. Akan ada fasa kenaikan dan juga fasa pembetulan. Pelabur yang bertahan lama biasanya bukan yang paling agresif, tetapi yang paling berdisiplin.

Ingat! Risiko Sentiasa Wujud

Pelaburan saham tidak pernah bebas risiko.

Harga saham boleh jatuh walaupun syarikat masih beroperasi. Kerugian boleh berlaku jika keputusan dibuat tanpa memahami kitaran industri dan kedudukan sebenar syarikat. Tiada senarai, analisis atau cadangan yang mampu menjamin keuntungan.

Elakkan melabur menggunakan wang keperluan harian. Pastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan pemahaman, bukan emosi atau pengaruh orang lain.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Previous ArticleNext Article

Menuju Titik Singulariti: CGS International Merangka Laluan Pasaran Modal Ke Arah Negara Bernilai Tinggi Dan Pintar AI

KUALA LUMPUR – CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (“CGS MY”) hari ini memulakan Hari Korporat Malaysia Tahunan ke-18 2026 bertemakan “Racing Towards Singularity”. Acara ini menghimpunkan pemimpin korporat, pemain pasaran modal, pengurus dana serta wakil kerajaan bagi membincangkan pembaharuan struktur dan perkembangan utama yang membentuk landskap ekonomi dan pelaburan Malaysia, sejajar dengan keutamaan peralihan tenaga ASEAN serta penerapan kecerdasan buatan (AI).

Ketika Malaysia melangkah ke tahun peralihan kritikal selepas memegang Pengerusi ASEAN pada 2025, persidangan ini mengupas konsep singulariti ekonomi – titik di mana kemajuan teknologi, khususnya AI, menjadi pemacu asas dan tidak dapat dipatahkan kepada produktiviti, daya saing serta peruntukan modal. Bagi Malaysia, tahun 2026 menandakan fasa pelaksanaan yang menentukan apabila dasar nasional beralih daripada perancangan kepada pelaksanaan, selaras dengan rangka kerja Negara AI di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030).

Persidangan ini turut menampilkan ucaptama bertajuk “Racing Towards Singularity, Investing in Future Intelligence” oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, Pengerusi Axiata Group Berhad dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif CGS MY. Sesi panel dan pembentangan merangkumi topik pengukuhan ringgit, cukai karbon, pusat data serta Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS), melibatkan pasukan penyelidikan CGS MY yang memenangi anugerah, syarikat tersenarai dan pakar industri daripada sektor teknologi, tenaga dan perkhidmatan.

Dalam ucaptamanya, YBhg. Tan Sri Shahril Ridza berkata, “Teknologi hari ini bukan sekadar meningkatkan cara kita bekerja; ia mentakrifkan semula bagaimana nilai dicipta. Kecerdasan buatan (AI) muncul sebagai pengganda produktiviti dan pertumbuhan ekonomi seterusnya. Dalam pasaran modal, kita melihat bagaimana pelabur menilai dan memberi ganjaran kepada organisasi yang bersedia masa depan – daripada keupayaan menunjukkan kecerdasan boleh skala, keanjalan operasi, infrastruktur digital yang kukuh, proses dipacu AI serta kapasiti inovasi jangka panjang.

Namun yang lebih penting, AI bukan tentang menggantikan manusia, tetapi memperkasa keupayaan insan untuk mewujudkan pekerjaan dan kemahiran baharu. Ia membolehkan mobiliti, daya tahan dan penyertaan yang lebih luas dalam ekonomi yang pesat berubah. Manusia ialah tonggak kritikal dalam strategi AI; ini bermakna memperkasa tenaga kerja dengan alat pintar agar mereka memahami bukan sahaja cara AI berfungsi, malah implikasinya terhadap tadbir urus, risiko dan prestasi jangka panjang demi kelestarian penyertaan, daya saing dan nilai.

Di peringkat nasional, ia menuntut dasar berpandangan jauh, kerjasama awam-swasta serta pelaburan strategik dalam infrastruktur digital untuk menaikkan rantaian nilai, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mengukuhkan daya saing serantau. Ketika Malaysia memposisikan diri dalam transformasi serantau, pelaburan dalam kecerdasan – pada manusia, data dan teknologi – mesti diterjemahkan kepada nilai jangka panjang yang mampan untuk pelanggan, pemegang saham dan pekerja.”

Sementara itu, Khairi Shahrin Arief bin Baki, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CGS MY berkata, “‘Racing Towards Singularity’ mencerminkan perubahan asas dalam evolusi ekonomi, industri dan pasaran modal. CGS MY juga sedang bertransformasi. Aspirasi kami untuk menjadi rumah pelaburan global Asia menyaksikan peralihan daripada broker saham tradisional kepada penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu merangkumi perbankan pelaburan, pengurusan kekayaan persendirian dan aset, dengan keupayaan nasihat yang lebih mendalam, kepakaran sektor yang kukuh serta jaringan serantau yang lebih luas. Kami memberi tumpuan kepada penyediaan akses dan pandangan untuk menavigasi peralihan struktur dalam teknologi, kemampanan dan industri bernilai tinggi – sama ada dari perspektif G2G, B2G atau runcit. Disokong warisan langsung China serta rangkaian ASEAN dan global yang meluas, CGS MY berada pada kedudukan unik sebagai rakan dipercayai yang menghubungkan modal dengan peluang, mengaitkan perniagaan dengan pasaran, dan menyokong pihak berkepentingan merentas spektrum keperluan pelaburan dan pembiayaan di Malaysia dan rantau ini.”

CGS MY turut menyatakan bahawa meskipun ketidaktentuan global masih wujud, prospek Malaysia disokong oleh pembaharuan struktur, peningkatan kualiti pelaburan dan hala tuju dasar yang jelas ke arah pertumbuhan dipacu inovasi. Ketika negara menuju ke arah singulariti ekonomi, kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan pasaran modal adalah penting bagi menterjemahkan kemajuan teknologi kepada penciptaan nilai yang mampan.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dan perkhidmatan CGS MY, layari www.cgsi.com.my