Melangkaui Transaksi: Pembayaran Sebagai Infrastruktur Pertumbuhan Malaysia

Bagi ramai pemilik perniagaan di Malaysia, pertumbuhan bukanlah satu konsep abstrak atau cita-cita yang jauh. Ia adalah usaha harian untuk memastikan kelangsungan perniagaan, diukur melalui aliran tunai yang stabil dan keyakinan untuk meneruskan operasi pada keesokan hari.

Dalam konteks ini, sistem pembayaran bukan sekadar ciri teknikal yang berfungsi di belakang tabir. Ia merupakan asas kritikal kepada operasi harian perniagaan. Namun begitu, pembayaran masih sering dilihat sebagai sesuatu yang hanya perlu “berfungsi”. Setelah transaksi selesai, perhatian segera beralih ke perkara lain. Perspektif ini mengabaikan pengaruh mendalam reka bentuk sistem pembayaran terhadap kesihatan kewangan dan potensi pertumbuhan jangka panjang sesebuah perniagaan.

Ketika Malaysia memasuki fasa pelaksanaan yang lebih tegas di bawah inisiatif nasional seperti MyDIGITAL dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sudah tiba masanya untuk menilai semula cara pembayaran difahami. Pembayaran wajar dilihat bukan sekadar alat transaksi, tetapi sebagai infrastruktur pertumbuhan negara yang menyokong daya tahan ekonomi, produktiviti dan keterangkuman kewangan.

Di peringkat dasar, transformasi digital sering dibincangkan dari sudut platform, data dan inovasi. Namun di peringkat akar umbi, pemilik perniagaan merasai kesannya secara lebih praktikal. Penyelesaian bayaran yang lewat boleh menangguhkan pembelian stok dan mengganggu operasi harian. Caj transaksi yang terkumpul pula boleh menghakis margin keuntungan yang sedia nipis. Sistem pembayaran yang kompleks boleh mewujudkan kebergantungan, bukannya pemerkasaan. Apabila pendigitalan gagal menangani realiti ini, ia tidak memenuhi janji sebenar transformasi digital.

Oleh itu, pembayaran perlu bergerak melangkaui peranan sebagai fungsi latar belakang dan memainkan peranan yang lebih disengajakan dalam membina kestabilan serta keyakinan perniagaan. Perspektif inilah yang membentuk pendekatan Paydibs terhadap infrastruktur pembayaran di Malaysia. Daripada melihat transaksi secara terasing, fokus diberikan kepada pengurangan geseran dalam aliran pembayaran supaya perniagaan dapat mengawal semula tunai, kos dan operasi harian mereka.

Akses terus kepada landasan pembayaran nasional seperti FPX menghapuskan lapisan yang tidak perlu dalam ekosistem pembayaran. Bagi Paydibs, sambungan langsung ini merupakan langkah strategik untuk mengurangkan perantara, mempercepatkan kitaran penyelesaian dan memberikan peniaga keterlihatan yang lebih jelas terhadap dana mereka. Akses lebih pantas kepada hasil jualan meningkatkan kecairan, manakala kos pemprosesan yang lebih rendah membawa kepada penjimatan nyata. Penjimatan ini boleh dilaburkan semula ke dalam peralatan, pengembangan tenaga kerja atau sebagai penampan kewangan untuk menghadapi ketidaktentuan. Bagi pemilik perniagaan harian, inilah hasil yang benar-benar memberi makna.

Pertumbuhan hari ini juga melangkaui sempadan kejiranan. Perniagaan kecil sekalipun semakin melayani pelancong, pelanggan serantau dan pembeli rentas sempadan. Namun, kaedah pembayaran yang tidak dikenali dan integrasi yang rumit sering menghalang peniaga tempatan daripada memanfaatkan peluang ini sepenuhnya. Dengan membolehkan penerimaan dompet digital antarabangsa melalui kerjasama strategik seperti Alipay+, Paydibs membantu perniagaan menyambut pelanggan global tanpa menjejaskan operasi harian mereka. Pendekatan ini mengurangkan geseran di kaunter pembayaran dan membolehkan peniaga Malaysia bersaing di peringkat serantau dengan lebih yakin dan mudah.

Di titik jualan, pemilik perniagaan jelas tentang keutamaan mereka. Mereka mengutamakan kebolehpercayaan, ketelusan dan keselamatan berbanding kerumitan. Mereka tidak mahukan pelbagai peranti, sistem yang berpecah-belah atau pendedahan risiko penipuan yang lebih tinggi. Penyelesaian pembayaran bersepadu yang selamat secara reka bentuk memudahkan operasi harian dan mengurangkan kerentanan. Akses lebih pantas kepada dana turut meningkatkan aliran tunai dan mengurangkan tekanan akibat menunggu penyelesaian bayaran berhari-hari. Walaupun penambahbaikan ini kelihatan kecil, kesannya amat besar apabila margin perniagaan sempit dan tuntutan operasi berterusan.

Melangkah ke hadapan, potensi sebenar pembayaran terletak pada bagaimana data transaksi digunakan secara bertanggungjawab untuk membuka akses kepada peluang. Banyak perniagaan berkeupayaan masih kurang mendapat perkhidmatan kerana model pembiayaan tradisional gagal mencerminkan prestasi sebenar mereka. Pandangan jangka panjang ini turut membentuk cara Paydibs melihat fasa seterusnya infrastruktur pembayaran, di mana data transaksi boleh membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan berdasarkan aktiviti perniagaan yang terbukti, bukannya andaian kredit yang kaku. Apabila direka dengan teliti, pembiayaan terbina dalam (embedded financing) boleh menawarkan laluan yang lebih inklusif dan telus kepada modal kerja.

Untuk ekonomi digital Malaysia berjaya, infrastrukturnya mesti berkhidmat kepada pihak yang menjadi asas ekonomi negara. Pembayaran adalah antara sistem yang berinteraksi dengan setiap perniagaan, setiap hari. Apabila direka dengan niat yang jelas, ia bukan sekadar mengalihkan wang. Ia mengukuhkan daya tahan, menyokong pertumbuhan mampan dan memulihkan keyakinan.

Ketika negara bergerak daripada visi kepada pelaksanaan, ukuran kejayaan sebenar adalah sama ada pemilik perniagaan berasa lebih mengawal masa depan mereka. Pembayaran, apabila dianggap sebagai infrastruktur pertumbuhan dan bukannya sekadar komoditi, mempunyai kuasa untuk membawa perubahan tersebut.


Mengenai Paydibs

Paydibs ialah Penyedia Perkhidmatan Pembayaran berdaftar di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 Malaysia, yang membolehkan perniagaan daripada PKS hingga perusahaan besar menerima pembayaran digital yang selamat daripada pelanggan tempatan dan global melalui kad, perbankan dalam talian, e-dompet, pembayaran QR dan kaedah tempatan lain. Dibina berlandaskan prinsip keterangkuman dan akses kewangan, Paydibs memperkasa komuniti tidak berbank, kurang mendapat perkhidmatan dan yang bergantung kepada tunai untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi digital melalui infrastruktur pembayaran yang boleh diskala, selamat dan patuh peraturan. Komitmennya dalam menyediakan penyelesaian pembayaran yang boleh dipercayai dan inklusif telah diiktiraf menerusi Anugerah Best Payment Solution di Mobile Business Excellence Awards (MBEA) 2018 serta Anugerah Excellent Payment Solutions Provider di Lang International Corporate Titan Awards ke-6 pada tahun 2024.

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.