Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi September 2024

Benarkah pelabur dan pengurus dana sering menjauhi bulan September? Pernah dengar September Effect?

“September Effect” merujuk kepada pulangan pasaran saham yang secara sejarahnya lemah yang diperhatikan sepanjang bulan September. Malah, secara purata, September telah menjadi bulan dengan prestasi terburuk, merujuk kepada data hampir satu abad yang lalu.

Ia hanyalah sebuah teori yang sering disebut dan digunapakai di pasaran Amerika. Di Malaysia pula?

Mari kita lihat prestasi indeks FBM KLCI bagi bulan September 2024.

Prestasi FBM KLCI

FBM KLCI dibuka pada 1,680.36 mata pada hari pertama dagangan bagi bulan September 2024. Ia ditutup pada 1,648.91. Turun sebanyak 31.45 mata dalam tempoh sebulan.

Mari kita lihat 10 saham patuh syariah paling rugi bagi bulan September 2024.

Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi September 2024

1. APB Resources Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Saham APB Resources Berhad menjadi saham patuh syariah paling rugi pada bulan September 2024. Saham ini berada pada harga RM1.25 pada awal bulan dan ditutup pada harga serendah RM0.505 pada hujung bulan September 2024. APB susut sebanyak 59.60%.

APB Resources Berhad merupakan salah satu pemegang saham utama dalam Gtronic yang turut mengalami kejatuhan besar. Setelah beberapa siri kejatuhan Gtronic, APB turut mengalami kejatuhan yang sama.

Sumber: malaysiastock.biz

2. ECA Integrated Solution Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Di kedudukan kedua saham patuh syariah paling rugi September 2024, ECA Integrated Solution Berhad pula susut sebanyak RM0.110 atau 36.67%. 

3. Annum Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Annum yang terjerumus ke dalam PN17 kerana juruaudit luarnya menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2023. 

Annum Berhad telah jatuh sebanyak RM0.025 atau 31.25%.

4. Warisan TC Holdings Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Saham di atas RM1, Warisan TC dibuka pada RM1.58 sebelum ditutup pada RM1.14 pada 30 September 2024. Saham ini telah susut sebanyak 27.85%.

5. Perdana Petroleum Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Syarikat dari sektor minyak & gas, Perdana Petroleum juga berada dalam senarai ini setelah jatuh sebanyak 25.68%. 

6. Globetronics Technology Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Saham Gtronics telah mula jatuh sejak bulan Jun 2024 lagi ketika harganya RM1.58. Kini (4 Oktober 2024) harganya hanya RM0.605.

Jika dilihat pada bulan September 2024, modal pasaran (market cap) saham ini semakin mengecil setelah harganya turun sebanyak RM0.21. 

Dalam tempoh sebulan, Gtronic telah jatuh sebanyak 24.28%. Kejatuhan saham Gtronic dikaitkan dengan perletakan jawatan auditornya iaitu KPMG.

7. Techna-X Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Saham paling rugi Ogos 2024 iaitu Techna-X Berhad sekali lagi berada dalam senarai ini. Bulan September 2024, Techna-X jatuh sebanyak 2.5 sen sahaja. Namun kerana harganya yang murah, ia telah menyebabkan saham ini susut sebanyak 16.67%.

8. Tuju Setia Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Tuju Setia dibuka pada RM0.240 pada awal bulan September 2024 dan ditutup pada RM0.205 pada penghujung bulan September 2024. Saham ini susut RM0.035 atau 14.58% pada bulan tersebut.

9. Petronas Dagangan Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Jangan disangka saham yang mahal tidak boleh jatuh besar kerana Petronas Dagangan Berhad telah mengalami kejatuhan sebanyak 14.22%. Dalam nilai ringgit, harga saham Petronas susut RM2.960 pada bulan September.

10. Bintai Kinden Corporation Berhad

Sumber: Bursa Marketplace

Melengkapi senarai ini adalah Bintai Kinden Corporation Berhad dengan kejatuhan sebanyak RM0.015 cukup untuk menyebabkan saham ini jatuh sebanyak 13.64%.

Kesimpulan

Bulan September secara lazimnya menjadi bulan yang agak bearish bagi para pelabur. Semoga anda semua tidak mengalah dan terus mencari peluang dalam pasaran saham pada bulan Oktober.

Ramai sangat give up dalam saham. Kawan-kawan kami pun ramai dah give up.

Tapi kenapa give up?

Sebab kita sibuk mencari rahsia, teknik, indikator dan terlalu cepat nak kaya.

Bila dah rugi, mulalah salahkan cikgu, mentor, sifu yang ajar kita.

Hidup ni tak perlu complicated sangat.

Dan tak perlu pun tengok saham ni setiap masa. Yang penting kita tahu caranya dan aplikasikan dengan betul.

Kami suka kongsikan kaedah Swing ini sebab:

  • Kita tak perlu melekat di screen
  • Kita boleh bekerja seperti biasa
  • Kurang risiko untuk rugi
  • Set siap-siap bila nak jual saham tu
  • Kurang stress

Insya-Allah berbaloi……
Sesi baharu BAKAL dibuka!! Pra-daftar dahulu untuk dapat diskaun Early-Bird dan jadi terawal yang dapat info.

Previous ArticleNext Article

5 Rutin Harian Yang Membantu Pelabur Membuat Keputusan Lebih Bijak

Ramai orang melihat hasil yang diperoleh oleh pelabur atau pedagang saham yang berjaya, tetapi tidak ramai yang melihat apa yang mereka lakukan setiap hari.

Ada yang menganggap kejayaan mereka datang kerana pandai memilih saham atau mempunyai “orang dalam” yang berkongsi maklumat. Hakikatnya, kebanyakan pelabur yang konsisten memperoleh keuntungan mempunyai satu persamaan, iaitu mereka mengamalkan rutin harian yang tersusun.

Mereka tidak membuat keputusan secara terburu-buru atau membeli saham hanya kerana melihat harga sedang meningkat. Sebaliknya, setiap keputusan dibuat selepas menilai keadaan pasaran, membaca laporan syarikat dan mengikuti perkembangan semasa.

Rutin ini mungkin kelihatan ringkas, tetapi apabila diamalkan secara konsisten, ia membantu pelabur membuat keputusan yang lebih rasional dan mengurangkan risiko membuat kesilapan akibat emosi.

Mengapa Rutin Harian Penting?

Pasaran saham berubah setiap hari. Harga saham dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keputusan kewangan syarikat, berita korporat, keadaan ekonomi, kadar faedah, harga komoditi dan sentimen global.

Jika pelabur hanya membuka aplikasi dagangan untuk melihat harga saham tanpa memahami apa yang berlaku di sebaliknya, mereka mudah membuat keputusan berdasarkan panik atau FOMO.

Rutin harian membantu pelabur untuk:

  • memahami keadaan pasaran sebelum berdagang,
  • mengenal pasti peluang lebih awal,
  • mengurus risiko dengan lebih baik,
  • dan mengelakkan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa.

1. Semak Laporan Kewangan Syarikat

Selepas Bursa Malaysia ditutup, antara perkara pertama yang dilakukan oleh ramai pelabur ialah menyemak laporan kewangan syarikat yang baru diumumkan.

Semua syarikat tersenarai diwajibkan mengeluarkan laporan kewangan setiap suku tahun. Daripada laporan ini, pelabur boleh melihat sama ada prestasi syarikat semakin baik atau sebaliknya.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

  • pertumbuhan hasil (revenue),
  • keuntungan bersih,
  • margin keuntungan,
  • aliran tunai,
  • dan kedudukan hutang syarikat.

Contoh Situasi

Sebuah syarikat teknologi mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 35% berbanding suku tahun sebelumnya.

Keputusan ini mungkin menarik perhatian pelabur institusi dan seterusnya meningkatkan minat terhadap saham syarikat tersebut.

Namun, pelabur yang membaca laporan lebih awal mempunyai masa untuk membuat penilaian sebelum pasaran dibuka pada keesokan harinya.

2. Pantau Pengumuman Dividen

Selain prestasi kewangan, ramai pelabur turut memberi perhatian kepada pengumuman dividen. Dividen merupakan sebahagian daripada keuntungan syarikat yang diagihkan kepada pemegang saham.

Dalam pengumuman dividen, terdapat beberapa tarikh penting seperti:

  • Ex-Date – tarikh terakhir untuk membeli saham bagi melayakkan diri menerima dividen.
  • Entitlement Date – tarikh syarikat menentukan senarai pemegang saham yang layak menerima dividen.

Contoh

Jika sebuah syarikat mengumumkan dividen sebanyak 5 sen sesaham, pelabur yang memiliki 10,000 unit saham berpotensi menerima dividen sebanyak:

10,000 × RM0.05 = RM500

Walaupun dividen bukan satu-satunya sebab membeli saham, ia boleh menjadi petunjuk bahawa syarikat mempunyai kedudukan kewangan yang baik.

3. Ikuti Pengumuman Bonus Issue dan Rights Issue

Selain dividen, syarikat juga kadangkala mengumumkan:

  • Bonus Issue
  • Rights Issue

Bonus Issue bermaksud syarikat memberikan saham tambahan kepada pemegang saham tanpa bayaran berdasarkan nisbah tertentu. Sebagai contoh, bonus 1:2 bermaksud bagi setiap dua saham yang dimiliki, pelabur akan menerima satu saham tambahan.

Rights Issue pula memberi peluang kepada pemegang saham sedia ada membeli saham baharu pada harga yang telah ditetapkan. Walaupun kedua-dua tindakan korporat ini tidak semestinya menjadikan saham lebih menarik, ia tetap penting untuk difahami kerana boleh memberi kesan kepada jumlah pegangan dan strategi pelaburan.

4. Ikuti Berita Korporat dan Pasaran

Pelabur yang berpengalaman tidak hanya melihat nombor. Mereka juga membaca berita. Berita korporat boleh memberi gambaran awal tentang perkara yang mungkin mempengaruhi harga saham.

Antaranya ialah:

  • kontrak baharu,
  • pengambilalihan syarikat,
  • perubahan pengurusan,
  • projek kerajaan,
  • perubahan dasar,
  • dan perkembangan ekonomi global.

Sebagai contoh, jika sebuah syarikat memperoleh kontrak bernilai ratusan juta ringgit, berita tersebut boleh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek syarikat.

Namun begitu, pelabur juga perlu berhati-hati kerana tidak semua berita akan memberi kesan jangka panjang terhadap harga saham.

5. Fahami Sentimen Pasaran Global

Bursa Malaysia tidak bergerak secara bersendirian. Prestasi pasaran luar negara turut mempengaruhi sentimen pelabur tempatan.

Sebab itu ramai pelabur akan melihat:

  • prestasi indeks utama Amerika Syarikat,
  • pergerakan pasaran Asia,
  • harga minyak mentah,
  • harga emas,
  • dan perkembangan geopolitik.

Jika kebanyakan pasaran global ditutup rendah akibat kebimbangan ekonomi, sentimen negatif tersebut mungkin turut memberi kesan kepada Bursa Malaysia pada keesokan harinya.

Namun begitu, ini bukan bermaksud semua saham akan jatuh. Ada kalanya saham yang mempunyai asas perniagaan kukuh masih mampu bertahan walaupun pasaran keseluruhan lemah.

Jangan Terlalu Taksub Mengejar Saham Yang Sedang Melonjak

Antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelabur baharu ialah membeli saham hanya kerana melihat kenaikan harga yang mendadak. Mereka takut terlepas peluang atau lebih dikenali sebagai Fear of Missing Out (FOMO).

Hakikatnya, saham yang naik terlalu cepat juga berpotensi mengalami pembetulan harga yang pantas. Sebab itu pelabur yang berpengalaman lebih mengutamakan pengurusan risiko. Mereka tidak terlalu tamak dan sentiasa mempunyai pelan untuk mengambil keuntungan apabila sasaran telah dicapai.

Seperti kata pelabur terkenal Warren Buffett:

“Be fearful when others are greedy, and be greedy when others are fearful.”

Prinsip ini mengingatkan kita supaya tidak mudah dipengaruhi emosi pasaran.

Contoh Rutin Harian Seorang Pelabur

Bayangkan Hafiz bekerja sepenuh masa sebagai jurutera. Beliau tidak mempunyai masa untuk melihat harga saham sepanjang hari.

Namun setiap malam selepas pulang bekerja, beliau memperuntukkan kira-kira 30 minit untuk:

  • membaca laporan kewangan yang baru diumumkan,
  • menyemak pengumuman dividen atau bonus,
  • membaca berita korporat,
  • melihat prestasi pasaran global,
  • dan mengemas kini senarai saham yang sedang dipantau.

Apabila pasaran dibuka keesokan harinya, beliau sudah mempunyai pelan tindakan. Ini jauh lebih baik daripada membeli saham secara spontan hanya kerana melihat harga sedang meningkat.

Rutin Yang Konsisten Lebih Penting Daripada Ramalan Yang Tepat

Ramai orang menghabiskan masa mencari “saham yang pasti naik”. Sedangkan pelabur yang berjaya lebih banyak menghabiskan masa membina disiplin.

Mereka memahami bahawa tiada siapa mampu meramal pasaran dengan tepat setiap masa. Apa yang boleh dikawal ialah proses membuat keputusan.

Semakin konsisten rutin yang diamalkan, semakin banyak maklumat yang dimiliki dan semakin baik keputusan yang boleh dibuat.

Kesimpulan

Kejayaan dalam pelaburan saham bukan hanya bergantung kepada kebolehan memilih saham yang berpotensi memberikan pulangan tinggi. Sebaliknya, ia bermula dengan disiplin membina rutin harian yang membantu pelabur memahami keadaan pasaran sebelum membuat sebarang keputusan.

Menyemak laporan kewangan, mengikuti pengumuman dividen dan tindakan korporat, membaca berita pasaran serta memantau sentimen global mungkin kelihatan seperti rutin yang kecil. Namun apabila dilakukan secara konsisten, semua ini membantu pelabur membuat keputusan yang lebih berasaskan fakta dan bukannya emosi.

Akhir sekali, ingatlah bahawa pelaburan bukan tentang siapa yang paling pantas membeli saham, tetapi siapa yang paling bersedia apabila peluang muncul. Dengan rutin yang betul, anda bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan dalam membuat keputusan, malah berpeluang menjadi pelabur yang lebih berdisiplin dan konsisten dalam jangka panjang.