Pelabur Asing Jual Ekuiti Bernilai RM1.10 Bilion Minggu Lepas


KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) — Pelabur asing melepaskan pegangan ekuiti di Bursa Malaysia pada minggu lepas dengan nilai jualan bersih RM1.10 bilion, tertinggi dalam tempoh 18 minggu, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam laporan aliran dana bagi minggu yang berakhir pada 4 Okt, 2024, MIDF berkata pelabur asing melakukan aktiviti jualan setiap hari bagi tempoh 10 hari berturut-turut.

Jualan bersih paling ketara dicatatkan pada Jumaat lepas dengan nilai RM321.8 juta.

Sektor yang menyaksikan jualan bersih adalah masing-masing perkhidmatan kewangan (RM553.3 juta), utiliti (RM159.5 juta) dan produk serta perkhidmatan pengguna (RM132.3 juta).

“Sektor yang mencatat aliran masuk bersih pula adalah perladangan (RM27.5 juta) hartanah (RM20.9 juta) dan tenaga (RM10.0 juta),” katanya.

Dalam pada itu, institusi tempatan mencatat belian bersih bagi minggu keempat berturut-turut yang bernilai RM1.02 billion.

“Berbeza dengan pelabur asing, institusi tempatan melakukan belian bersih bagi tempoh 10 hari berturut-turut. Peruncit tempatan juga terus memainkan peranan dalam menyokong pasaran menerusi aktiviti belian bersih untuk minggu kedua yang bernilai RM79.8 juta),” katanya.

Selain itu, purata jumlah dagangan harian (ADTV) susut dan merentasi semua kelas pelabur pada minggu lepas merangkumi pelabur asing yang merosot sebanyak 14.0 peratus manakala pelabur runcit tempatan dan pelabur institusi tempatan mencatat penurunan sebanyak 9.6 peratus dan 6.5 peratus.

Di peringkat serantau, bank pelaburan itu berkata aliran keluar dana asing juga ketara di peringkat Asia minggu lepas apabila pelabur asing melakukan jualan bersih di enam daripada lapan pasaran yang ditinjau oleh MIDF.

“Jumlah aliran keluar dana asing bersih di paras tertinggi dalam tempoh 24 minggu adalah US$7.31 bilion berikutan aliran masuk dana ke China. Hanya Filipina dan Vietnam menyaksikan aliran masuk bersih pada minggu lepas,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Perdagangan Edaran Malaysia Dijangka Cecah 6.1 Peratus Tahun Ini — Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Pertumbuhan perdagangan edaran Malaysia diunjur pada 6.1 peratus dalam 2026 berbanding 5.6 peratus pada 2025 susulan prestasi lebih kukuh tahun ini yang mengatasi jangkaan awal.

Prestasi itu dipacu oleh usaha seperti pengumpulan stok borong, peningkatan harga berkaitan petroleum serta pemulihan dalam jualan kenderaan motor, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu menyatakan pertumbuhan perdagangan edaran turut meningkat kepada 9.4 peratus daripada 7.5 peratus bagi tempoh Januari-Mac.

“Ini merujuk kepada permintaan awal di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan tekanan kos serta ketidaktentuan bekalan.

“Bagaimanapun, prestasi sektor runcit yang lebih sederhana mungkin menandakan momentum asas perbelanjaan pengguna yang mulai kembali normal selepas disokong oleh peningkatan perbelanjaan sempena musim perayaan sebelum ini,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bank pelaburan itu memaklumkan lonjakan harga tenaga, ketegangan geopolitik yang ketara serta gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan, berpotensi memberi tekanan ke atas aktiviti penggunaan serta perniagaan dalam separuh kedua 2026.

“Pengukuhan pada masa ini berkemungkinan bersifat sementara dan mungkin tidak lagi mampan dalam bulan-bulan akan datang” katanya.

Selain itu, Kenanga IB mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada kadar 4.5 peratus bagi 2026 berbanding pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025, sekali gus mencerminkan prospek ekonomi yang berhati-hati namun masih kekal optimis.

Petunjuk bulanan termasuk prestasi perdagangan pengedaran lebih kukuh serta pertumbuhan pengeluaran perindustrian pada April yang mengatasi jangkaan menunjukkan aktiviti ekonomi domestik kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026.

“Pemulihan dalam aktiviti motor dan jualan borong hanya menunjukkan sokongan peningkatan kepada pertumbuhan jangka masa terdekat, terutama dalam sektor berkaitan perkhidmatan.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran bahawa momentum pertumbuhan akan mengukuh dalam suku kedua sebelum menyederhana dalam separuh kedua jika ketegangan geopolitik terus wujud dan menjejaskan rantaian bekalan.”

— BERNAMA