Syarikat e-Dompet Mohon Pengecualian SST Untuk Perkhidmatan Kewangan Digital Dilanjutkan


KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Persatuan Pengeluar E-Wang (AEMI) memohon kepada kerajaan supaya mempertimbangkan pelanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) semasa untuk perkhidmatan kewangan digital dalam Belanjawan 2025 bagi mengekalkan pertumbuhan industri.

AEMI berkata, pelanjutan itu juga penting untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai yang lebih meluas sejajar dengan usaha Malaysia bagi membina sistem kewangan yang inklusif dan progresif.

“Persatuan ini mengiktiraf usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai bagi pembangunan negara dan percaya inisiatif itu akan terus menyokong pengembangan perkhidmatan tanpa tunai.

“Pengecualian SST pada masa ini adalah penting dalam menjadikan perkhidmatan kewangan digital lebih mampu milik, terutamanya untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan AEMI berharap lanjutan pengecualian ini akan terus memupuk keterangkuman digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Persatuan itu berkata industri e-dompet telah memainkan peranan penting dalam memajukan keterangkuman kewangan dan transformasi digital di Malaysia.

Ia berkata ahli-ahli AEMI telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan kewangan digital kepada pangkalan pengguna yang pelbagai, termasuk kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Segmen-segmen ini adalah penting kepada ekonomi negara dan akan mendapat manfaat yang ketara daripada perkhidmatan tanpa tunai yang boleh diakses. Bagi mengekalkan momentum itu dan memastikan akses seluas-luasnya kepada penyelesaian kewangan digital, AEMI percaya adalah penting untuk mengekalkan dasar yang menggalakkan pertumbuhan dan keterangkuman,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaksanaan e-Invois Dilanjutkan Setahun Lagi Bagi Syarikat Dengan Nilai Jualan Tahunan RM1- RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) Kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan invois elektronik (e-invois) tanpa penalti selama setahun lagi bagi syarikat dengan nilai jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari, 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pelaksanaan tersebut dibuat kerana sebahagian syarikat belum bersedia susulan kos pelaksanaan e-invois yang tinggi.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan (pelaksanaan e-invois) tanpa penalti untuk satu tahun lagi kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi, ” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu kerajaan juga akan memperluaskan kemudahan e Invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Pelaksanaan e-invois bermula pada 1 Ogos 2024 dan kerajaan telahpun memulakan fasa keempat pelaksanaannya yang merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuhkan pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

E-invois yang diperkenalkan sebagai platform digital bagi memperkemaskan urusan invois dan pematuhan cukai memerlukan perniagaan (pembayar cukai) menjana dan menghantar invois secara elektronik, bagi meningkatkan pelaporan dan kecekapan kutipan cukai sambil mengurangkan kebocoran.
— BERNAMA