BNM Digesa Siasat, Kaji Semula Notis Premium Insurans – Sim


KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) digesa menyiasat dan mengkaji semula tindakan syarikat insurans yang mengeluarkan notis kenaikan premium insurans, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin. 

Beliau yang mewakili beberapa Ahli Parlimen berkata BNM tidak harus membiarkan perkara ini dengan alasan ia merupakan keputusan perniagaan oleh syarikat.

“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh melaksanakan siasatan pengambilan keuntungan berlebihan (excessive profiteering) ke atas kenaikan 10 sen sebiji telur, kenapa BNM tidak boleh membuat siasatan ke atas kenaikan berpuluh sehingga beratus peratus kenaikan premium? 

“Kenapa pihak berkuasa tidak boleh menyiasat adakah kenaikan caj hospital swasta sebagai pengambilan keuntungan berlebihan?,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini. 

Sim berkata beliau membangkitkan isu kenaikan caj hospital swasta dan kenaikan premium insurans kesihatan dalam sesi perbahasan peringkat jawatan kuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kesihatan pada Selasa.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkifli Ahmad bahawa beliau akan mengadakan konsultasi bersama hospital swasta untuk mencapai pendirian penjagaan kesihatan berasaskan nilai. 

“Saya menaruh harapan menteri boleh berjaya,”  katanya.

Beliau juga berasa kesal dengan kenyataan media oleh Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan antara 40 hingga 70 peratus sebagai tidak sangsi dan berpatutan.

Katanya, kenyataan Kuljit berkaitan premium insurans kesihatan amat dikesali kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah.

“Umum diketahui, kenaikan premium insurans kesihatan berkait rapat secara langsung dan tidak langsung berhubung kenaikan caj hospital swasta yang melambung tinggi serta tidak terkawal.

“Caj hospital swasta yang melonjak sudah menjadi bebanan yang tinggi kepada syarikat insurans dan kini mereka melepaskan kos kepada pencarum insurans daripada golongan M40 ke atas,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kenapa Ejen Insurans & Takaful Banyak Sangat ‘Award’?

Pernah tak anda tengah sedap melayan TikTok atau Instagram Reels, tiba-tiba lalu video rakan anda yang bergelar ejen insurans atau takaful? Video bukan biasa-biasa ya. Siap ada suntingan transisi slow-motion, berjalan penuh gaya atas permaidani merah pakai tuxedo atau gaun labuh, pegang trofi berkilat sebesar lengan dan diiringi muzik latar belakang jenis yang menaikkan bulu roma.

Bagi orang luar, situasi ini kadangkala menimbulkan persoalan: “Eh, bulan lepas rasa dah menang award, bulan ni ada award lagi? Bukan ke syarikat atau agensi mereka sendiri yang buat anugerah tu?”

Jangan salah faham. Di sebalik budaya yang nampak seperti “puji diri sendiri” atau acah-acah selebriti ini, sebenarnya ada strategi psikologi perniagaan yang sangat mendalam. Jom kita bedah kenapa industri ini dipenuhi dengan anugerah yang luar biasa.

1. Produk ‘Ghaib’ yang Sukar Dijual

Tidak seperti ejen hartanah yang menjual rumah, atau peniaga gajet yang menjual barang yang boleh disentuh, penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful berdepan dengan cabaran yang jauh lebih getir. Mereka sebenarnya sedang menjual satu produk yang bersifat intangible iaitu janji, ketenangan minda (peace of mind) dan perlindungan risiko masa hadapan.

  • Manusia secara psikologinya berat membelanjakan wang untuk sesuatu yang mereka harap tidak akan guna (seperti musibah atau kematian).
  • Disebabkan cabaran jualan (rejection rate) yang sangat tinggi, tahap tekanan dalam industri ini amat luar biasa. Anugerah yang kerap inilah yang menjadi ‘talian hayat’ untuk mengekalkan momentum dan membakar semangat mereka.

2. Budaya ‘Self-Reward’ untuk Menggantikan Gaji Tetap

Berbeza dengan pekerja makan gaji di sektor korporat biasa, majoriti ejen insurans dan takaful beroperasi atas dasar komisen penuh. Di sebalik gaya hidup mewah yang sering ditonjolkan, realitinya mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan (safety net) seperti pekerja biasa:

Tiada Slip Gaji Tetap: Pendapatan mereka pada bulan itu adalah cerminan terus kepada usaha dan jualan mereka pada bulan tersebut. Jika tiada jualan, maka tiada lah pendapatan.

Tiada Bonus Tahunan Automatik: Pekerja makan gaji biasanya menanti bonus hujung tahun berdasarkan prestasi syarikat. Bagi ejen, ‘bonus’ mereka perlulah diusahakan sendiri melalui pencapaian KPI jualan tertentu yang telah ditetapkan.

Tiada Kenaikan Pangkat Tradisional: Dalam struktur pejabat biasa, anda bekerja keras untuk naik pangkat daripada Eksekutif ke Pengurus berdasarkan kekosongan jawatan. Dalam industri ini, kenaikan pangkat (contohnya menjadi Group Agency Manager) ditentukan sepenuhnya oleh berapa ramai ejen baru yang mereka bawa masuk dan berapa besar jumlah jualan kumpulan.

Memandangkan agensi mereka beroperasi seperti sebuah perniagaan sendiri, mereka mencipta sistem ganjaran dalaman untuk menghargai usaha setiap ejen, dari sekecil-kecil pencapaian bulanan sehinggalah anugerah global seperti MDRT (Million Dollar Round Table).

3. Pemasaran Media Sosial (Personal Branding)

Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat ejen memuat naik video berjalan di permaidani merah dengan suntingan video video ala selebriti, diiringi muzik latar yang penuh dramatik, serta berkongsi ucapan motivasi yang panjang lebar. Namun, dalam dunia perniagaan moden, ini bukan sekadar suka-suka tetapi adalah strategi penjenamaan diri (personal branding).

Dalam industri kewangan, prinsip asasnya mudah: “Orang tidak membeli produk, orang membeli siapa penjualnya.” Di sinilah mengapa elemen video gempak dan ucapan motivasi itu mainkan peranan besar.

Apabila seorang ejen menonjolkan diri mereka menerima anugerah, secara tidak langsung ia memberi isyarat kepada bakal pelanggan bahawa: “Aku ejen yang aktif, berprestasi tinggi, dan tak akan ‘hilang’ bila korang nak buat tuntutan (claim) nanti.” Video gempak itu adalah marketing tool untuk menarik pelanggan dan juga rekrut baru.


Budaya bersorak, memberi ucapan motivasi dan meraikan satu sama lain mungkin kelihatan agak ‘over-the-top’ bagi orang luar. Namun bagi warga industri kewangan, itulah bahan api yang memastikan mereka kekal bertahan dalam industri yang penuh dengan penolakan demi mencari rezeki.

Sama ada kita suka atau tidak dengan pendekatan pemasaran mereka, satu perkara yang pasti: strategi psikologi ini terbukti berkesan memacu industri ini untuk terus berkembang saban tahun.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anugerah seseorang ejen itu penting bagi anda sebelum mengambil polisi takaful?