Etiqa Lancar Pelan Takaful Dalam Talian Untuk Orang Kurang Upaya

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Etiqa Family Takaful Bhd melancarkan i-Care OKU, pelan Takaful dalam talian pertama yang menyediakan perlindungan setahun untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Pegawai Eksekutif Zafri Ab Halim berkata melindungi mereka yang cacat penglihatan, pendengaran, pertuturan dan/atau fizikal, i-Care OKU juga direka khas untuk memudahkan permohonan dibuat dan tanpa pemeriksaan kesihatan diperlukan. 

“Dengan i-Care OKU, pemohon tidak perlu mengemukakan laporan perubatan. Sebaliknya, mereka perlu menjadi pemegang kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sumbangan untuk pelan ini adalah berpatutan bermula daripada serendah RM0.33 sehari untuk perlindungan sehingga RM40,000 dan mereka perlu memperbaharui pelan itu setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas pelancaran i-Care OKU hari ini.

Program itu dilancarkan oleh Ahli Dewan Negara Malaysia dan Pengasas OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Zafri berkata manfaat lain termasuklah elaun hospital harian sehingga RM55 sehari selepas dimasukkan ke hospital, manfaat kematian yang akan menampung perbelanjaan pengebumian dan faedah pembayaran balik perubatan sehingga RM400 untuk rawatan perubatan akibat kemalangan.

Selain itu, pemegang sijil takaful akan menerima wang tunai  jika didiagnosis denggi, COVID-19 atau sebarang penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin mengikut undang-undang di Malaysia, di bawah Special Care Benefit.

Katanya pemohon dengan lebih daripada satu ketidakupayaan juga layak membuat permohonan untuk pelan tersebut kerana i-Care OKU membolehkan golongan OKU dengan maksimum dua ketidakupayaan untuk menyertainya.

Bagaimanapun, ketidakupayaan mereka perlu merupakan gabungan kecacatan fizikal dan sama ada kecacatan pendengaran, penglihatan atau pertuturan.

Sementara itu, Ras Adiba berkata berdasarkan kiraan populasi, terdapat 4.9 juta OKU di negara ini namun hanya 619,273 yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

“Antara perkara paling sukar bagi golongan seperti kami adalah untuk mendapatkan insurans khususnya bagi kemasukan wad dan pembedahan, tidak seperti orang bukan OKU.

“Alhamdulillah, produk yang diperkenalkan pada hari ini adalah satu usaha ke arah itu. Selama bertahun-tahun, saya bersama rakan-rakan aktivis telah cuba sedaya-upaya untuk membuka minda syarikat insurans supaya memikirkan sedikit tentang kami,” katanya. 

Ras Adiba berkata pelan yang melindungi beberapa kategori OKU itu diharap dapat dicontohi oleh syarikat insurans lain dalam memberi kemudahan atau manfaat kepada golongan OKU.

“Mungkin tidak semua mampu untuk ambil insurans tetapi saya sarankan sahabat-sahabat di luar sana untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Etiqa kerana yuran yang dikenakan bagi pelan ini tidak mahal dan bayaran sekali setahun sahaja,” katanya.

i-Care OKU by Etiqa boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web Etiqa mulai hari ini. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Penjagaan Kesihatan: Program Rintis MediAsas Bakal Bermula Akhir Julai

Saranan WAJARAN TINGGI kekal

Program perintis untuk MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai. Walaupun senarai hospital yang menyertai program ini masih belum diumumkan, kami menjangka pengendalipengendali fasiliti perubatan yang kami kaji akan menyertainya, walaupun secara pilihan. Premium bulanan indikatif berlingkungan antara MYR60 dan MYR550, manakala harga muktamad akan ditetapkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Apa itu MediAsas?

Ia merupakan produk asas MHIT yang direka untuk menambah baik tahap kemampuan sambil bertindak sebagai batu loncatan ke arah pelaksanaan berperingkat sistem bayaran mengikut diagnosis pesakit (DRG). Dua produknya iaitu Medi Asas Teras (pelan biasa) dan MediAsas Fleksi (pelan tambahan), akan dilancarkan secara rintis di Lembah Klang sepanjang tempoh tiga bulan sehingga Okt 2026.

Program rintis ini melibatkan enam syarikat insurans dan takaful, iaitu AIA, Allianz Malaysia (ALLZ MK, BELI, TP: MYR23.90), Great Eastern Malaysia, Prudential BSN Takaful, Etiqa, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga (STMB MK, NEUTRAL, TP: MYR3.60), dan hospital-hospital terpilih. Premium bulanan indikatif dijangka berlingkungan antara MYR60 dan MYR550 untuk individu yang menyertai pelan tersebut sehingga usia 70, dengan liputan dilanjutkan sehingga usia 85. Harga akhir akan disahkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Ciri-ciri utama dan bakal implikasi.

Kertas Putih untuk pelan MHIT Asas yang diterbitkan sebelum ini menggariskan potongan MYR500 di samping mekanisme bayaran bersama (co-payment) dua tahap, dengan tiada bayaran bersama untuk hospital Tahap 1 (rangkaian dalaman) dan bayaran bersama sebanyak 20% (terhad padaMYR3,000 bagi setiap kecacatan) untuk hospital Tahap 2 (luar rangkaian).

Dua kesan penting:

i) Hospital yang tidak terpilih sebagai hospital panel pilihan mungkin akan mengalami tekanan terhadap bilangan pesakit (kesan terhadap pengendali premium seharusnya kecil memandangkan tumpuan mereka pada kes-kes yang lebih serius

ii) penetapan harga yang dibandingkan dengan hospital swasta bertahap lebih rendah hingga sederhana mungkin memerlukan pengendali premium untuk menawarkan pakej yang lebih seragam dan cekap kos, sekali gus membataskan keupayaan mereka untuk mengewangkan nilai jenama premium untuk segmen M40.

Menyentuh hal tersebut, kami berpendapat bahawa KPJ Healthcare berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pelaksanaan MHIT dan DRG kelak, khususnya menerusi rangkaian luas hospital sekunder/komuniti miliknya yang beroperasi dengan asas kos yang lebih rendah, dengan ruang untuk menampung lebih banyak bilangan pesakit dan seterusnya mungkin memelihara margin bawah struktur pembayaran balik berasaskan DRG.

Risiko-risiko negatif utama, kos mengurus lebih mahal daripada anggaran, kunjungan pesakit dan pertumbuhan intensiti hasil lebih rendah berbanding jangkaan, dan perubahan dasar yang buruk. Sekiranya nilai USD melemah dengan ketara, IHH Healthcare mungkin mengalami kesan FX yang buruk terhadap perolehannya di luar negara manakala Duopharma mungkin meraih manfaat daripada pelepasan kos terhadap bahan farmaseutikal aktif (API) diimport.