Kesedaran Kepentingan Perlindungan Takaful Kian Meningkat Tahun Dalam Keadaan Ekonomi Yang Mencabar

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai kepentingan perlindungan takaful semakin meningkat tahun ini terutama dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed, pengenalan program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) sejak 2021 telah meningkatkan kesedaran pengguna terhadap perlindungan takaful walaupun program itu telah dihentikan.

“Meskipun inisiatif PTV telah dihentikan sejak Disember 2022, kita dapat melihat kesannya pada tahun ini, yang mana program itu telah meningkatkan kesedaran dan sentimen orang ramai terhadap perlindungan,” katanya kepada Bernama.

Program PTV, inisiatif nasional oleh kerajaan dengan kerjasama penyedia insurans dan takaful, telah dilancarkan pada 30 Sept 2021, dengan baucar bernilai RM75 untuk membantu mereka membeli pelan itu. Program ini tersedia dari September 2021 hingga Disember 2022.

Mohd Radzuan berkata penembusan bagi Perlindungan Tenang, pelan perlindungan takaful untuk golongan berpendapatan rendah mendapat sambutan memberangsangkan dengan 116,852 sijil  dikeluarkan dari Januari hingga Jun 2023 berbanding kurang daripada 18,000 sijil keseluruhan dikeluarkan pada 2021 sebelum program PTV diperkenalkan.

Beliau menambah kempen Takaful4All yang diperkenalkan oleh MTA tahun ini turut membantu meningkatkan kadar penembusan di Malaysia dengan penyertaan 18 pengendali takaful dan takaful semula dalam kempen itu, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai konsep dan faedah takaful serta mempromosikan celik kewangan melalui jerayawara, peraduan dan penglibatan merentasi pelbagai platform.

LIAM laksana empat agenda untuk perkasakan industri insurans

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) telah melaksanakan empat agenda utama tahun ini untuk memperkasa industri insurans dalam negara dan meningkatkan kesedaran insurans serta perlindungan kewangan di kalangan rakyat Malaysia.

Presiden LIAM Raymond Lew dilaporkan sebagai berkata empat teras itu ialah Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026, meningkatkan agenda pendidikan kewangan melalui perkongsian dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), meningkatkan perlindungan sosial komuniti B40 dan mengecilkan jurang perlindungan di negara ini.

“Memandangkan LIAM telah menjadi rakan rasmi FEN mulai 2023, ini akan memberi peluang yang lebih besar kepada kami untuk menjalankan pelbagai kempen kesedaran dan inisiatif celik kewangan serta memupuk perlindungan pengguna kewangan dalam kalangan orang ramai di Malaysia,” katanya.

Kadar penembusan insurans dan takaful pada masa ini di dalam negara berada pada kira-kira 54 peratus berbanding 100 peratus di negara maju.

Prestasi keseluruhan takaful am dan keluarga pada suku kedua 2023

Perniagaan takaful am mencatatkan peningkatan 20.16 peratus dalam jumlah caruman kasar perniagaan keseluruhan kepada RM2.68 bilion pada suku kedua 2023 daripada RM2.23 bilion pada suku kedua 2022.

Industri takaful keluarga mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 3.94 peratus dalam caruman perniagaan baharu kepada RM5.23 bilion pada suku kedua 2023 daripada RM5.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Mohd Radzuan berkata tindakan menghentikan inisiatif PTV telah mempengaruhi prestasi caruman takaful keluarga tahun ini, namun beliau tetap optimis bahawa kekuatan keseluruhan industri takaful dan potensi inovasi boleh membantu mengatasi kemerosotan ini dalam jangka panjang.

Antara produk takaful am yang terbaik adalah kenderaan, kebakaran dan kemalangan diri manakala takaful keluarga, ia adalah endowmen serta produk perubatan dan kesihatan.

Prestasi keseluruhan insurans am tunjuk pertumbuhan pada separuh pertama 2023

Industri insurans am mencatatkan peningkatan 7.3 peratus dalam premium langsung kasar kepada RM10.5 bilion untuk separuh pertama 2023 berbanding tempoh yang sama sebelum ini.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata walaupun menunjukkan trajektori positif, keuntungan taja jamin (underwriting) mengalami penurunan sebanyak 37.8 peratus, berjumlah RM500 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh penguncupan dalam keuntungan untuk perniagaan motor dan kebakaran.

Dari segi premium, perniagaan motor mengekalkan kedudukannya sebagai barisan perniagaan terbesar dengan penguasaan 44 peratus untuk mencecah RM4.6 bilion pada separuh pertama 2023.

Sementara itu, perniagaan berkaitan kebakaran merekodkan peningkatan lapan peratus dalam premium pada separuh pertama 2023 sebanyak RM2.11 bilion berbanding separuh pertama 2022, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan dalam aktiviti pembinaan kediaman dan komersial, serta peningkatan permintaan untuk liputan perlindungan banjir.

Berkenaan tuntutan, PIAM berkata industri insurans am menyaksikan pembayaran tuntutan hampir RM23 juta pada separuh pertama 2023, meningkat 23 peratus daripada keseluruhan 2022.

Prospek

Melangkah ke hadapan, Mohd Radzuan berkata MTA kekal optimis industri takaful akan terus berkembang tahun depan walaupun berdepan cabaran ekonomi global, ketegangan geopolitik dan kebimbangan mengenai kenaikan inflasi.

“Daripada perspektif perlindungan, inflasi bermakna lebih ramai individu seharusnya meningkatkan perlindungan mereka terhadap insiden yang tidak dijangka.

“Dan ia berlaku sekarang apabila orang ramai berfikir mengenai perspektif yang mana mereka harus mempunyai perlindungan walaupun menghadapi inflasi serta cabaran ekonomi, dan ini dijangka membawa kepada potensi peningkatan dalam keterlihatan produk takaful,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata MTA akan bekerjasama dengan industri untuk meneroka lebih banyak produk dan mempelbagaikan tawaran dengan memasukkan mikrotakaful, pilihan dalam talian, perlindungan penyakit kritikal dan perlindungan lain pada masa hadapan.

Sementara itu, Lew berkata LIAM akan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pilihan dan gaya hidup belia, menjadikan insurans lebih mudah diakses, relevan dan menarik untuk mereka.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Penjagaan Kesihatan: Program Rintis MediAsas Bakal Bermula Akhir Julai

Saranan WAJARAN TINGGI kekal

Program perintis untuk MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai. Walaupun senarai hospital yang menyertai program ini masih belum diumumkan, kami menjangka pengendalipengendali fasiliti perubatan yang kami kaji akan menyertainya, walaupun secara pilihan. Premium bulanan indikatif berlingkungan antara MYR60 dan MYR550, manakala harga muktamad akan ditetapkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Apa itu MediAsas?

Ia merupakan produk asas MHIT yang direka untuk menambah baik tahap kemampuan sambil bertindak sebagai batu loncatan ke arah pelaksanaan berperingkat sistem bayaran mengikut diagnosis pesakit (DRG). Dua produknya iaitu Medi Asas Teras (pelan biasa) dan MediAsas Fleksi (pelan tambahan), akan dilancarkan secara rintis di Lembah Klang sepanjang tempoh tiga bulan sehingga Okt 2026.

Program rintis ini melibatkan enam syarikat insurans dan takaful, iaitu AIA, Allianz Malaysia (ALLZ MK, BELI, TP: MYR23.90), Great Eastern Malaysia, Prudential BSN Takaful, Etiqa, dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga (STMB MK, NEUTRAL, TP: MYR3.60), dan hospital-hospital terpilih. Premium bulanan indikatif dijangka berlingkungan antara MYR60 dan MYR550 untuk individu yang menyertai pelan tersebut sehingga usia 70, dengan liputan dilanjutkan sehingga usia 85. Harga akhir akan disahkan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Jan 2027.

Ciri-ciri utama dan bakal implikasi.

Kertas Putih untuk pelan MHIT Asas yang diterbitkan sebelum ini menggariskan potongan MYR500 di samping mekanisme bayaran bersama (co-payment) dua tahap, dengan tiada bayaran bersama untuk hospital Tahap 1 (rangkaian dalaman) dan bayaran bersama sebanyak 20% (terhad padaMYR3,000 bagi setiap kecacatan) untuk hospital Tahap 2 (luar rangkaian).

Dua kesan penting:

i) Hospital yang tidak terpilih sebagai hospital panel pilihan mungkin akan mengalami tekanan terhadap bilangan pesakit (kesan terhadap pengendali premium seharusnya kecil memandangkan tumpuan mereka pada kes-kes yang lebih serius

ii) penetapan harga yang dibandingkan dengan hospital swasta bertahap lebih rendah hingga sederhana mungkin memerlukan pengendali premium untuk menawarkan pakej yang lebih seragam dan cekap kos, sekali gus membataskan keupayaan mereka untuk mengewangkan nilai jenama premium untuk segmen M40.

Menyentuh hal tersebut, kami berpendapat bahawa KPJ Healthcare berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pelaksanaan MHIT dan DRG kelak, khususnya menerusi rangkaian luas hospital sekunder/komuniti miliknya yang beroperasi dengan asas kos yang lebih rendah, dengan ruang untuk menampung lebih banyak bilangan pesakit dan seterusnya mungkin memelihara margin bawah struktur pembayaran balik berasaskan DRG.

Risiko-risiko negatif utama, kos mengurus lebih mahal daripada anggaran, kunjungan pesakit dan pertumbuhan intensiti hasil lebih rendah berbanding jangkaan, dan perubahan dasar yang buruk. Sekiranya nilai USD melemah dengan ketara, IHH Healthcare mungkin mengalami kesan FX yang buruk terhadap perolehannya di luar negara manakala Duopharma mungkin meraih manfaat daripada pelepasan kos terhadap bahan farmaseutikal aktif (API) diimport.