Abdul Rahman Bin Auf – Tokoh Usahawan Islam

Siapa yang tak kenal akan tokoh perniagaan Islam yang bernama Abdul Rahman bin Auf r.a? Seperti yang kita sedia maklum, Abdul Rahman bin Auf merupakan sahabat Rasulullah SAW yang hartawan namun tetap zuhud.

Beliau banyak membelanjakan harta kekayaannya ke jalan agama. Beliau adalah seorang usahawan yang termasyhur ketika itu. Salah satu perniagaan yang dijalankan beliau adalah perniagaan unta. Beliau berjaya mendominasi perniagaan unta ini yang sebelum itu telah pun didominasi oleh kaum Yahudi.

Bahkan di Malaysia, ada sebuah masjid yang dinamakan dengan nama Masjid Abdul Rahman bin Auf yang terletak di Puchong.

Persoalannya, apakah yang Abdul Rahman bin Auf lakukan sehingga menjadi seorang yang kaya-raya sehingga menjadi tokoh usahawan Islam yang terkenal?

1. Jual Unta Harga Kos

Beliau menggunakan strategi jualan pada harga kos. Ya, unta-unta beliau dijual pada harga kos, bermakna beliau langsung tiada untung. Berkesankah strategi seperti ini?

Hasilnya, semua yang ingin membeli unta akan pergi ke Abdul Rahman bin Auf. Beliau langsung tidak mengambil keuntungan dengan hasil jualan unta, namun apabila ditanya kepada beliau, beliau menjawab:

Keuntungan tidak diambil daripada hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil daripada menjual “tali pengikat unta”

Melalui tali tersebut barulah beliau memperoleh keuntungan. Tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam- macam warna. Jarang orang lain yang berniaga unta dapat menandingi kelebihan beliau berniaga.

Ramai peniaga-peniaga terutamanya kedai-kedai borong yang menjual pada harga rendah bagi barangan yang biasa dibeli pengguna, namun secara ‘tersembunyi’ menaikkan harga bagi sesetengah barangan mereka.

Pembeli yang sudah ‘kerasukan’ membeli barangan mereka pasti akan tidak sedar bahawa sesetengah barangan mahal pula harganya, namun tetap berbelanja dengan alasan ‘malas’ untuk pergi ke kedai lain.

2. Bersyukur Walaupun Untung Sedikit

Aku tidak pernah menolak keuntungan walaupun sedikit.

Kata-kata tersebut memberikan kesan yang positif bagi para usahawan dalam mengatur strategi perniagaan. Jangan sesekali ambil mudah soal keuntungan yang bakal diambil dari pembeli, dan jangan pula mengambil mudah soal halal dan haram dalam perniagaan.

Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai kos tanggungan seperti kos penghantaran, kita harus bijak mengira kos supaya keuntungan dapat ditampung walaupun kos penghantaran produk biasanya tidaklah seberapa.

Dari segi halal haram pula, pastikan jangan ada unsur-unsur riba dalam menguruskan perniagaan.

3. Jangan Seksa Pelanggan

Aku tidak pernah melambatkan penjualan barangan daripada yang meminta.

Sekiranya ada permintaan, beliau akan sedaya upaya mendapatkan barangan yang diminta oleh pelanggan. Strategi ini boleh diaplikasikan dalam perniagaan yang dijalankan. Ada segelintir usahawan yang bersikap ‘malas’ dan mengambil mudah perkara ini.

Sekiranya pelanggan bertanyakan tentang sesuatu barangan, peniaga hanya membiarkan pelanggan berlalu pergi dengan menyatakan, “Barang yang diingini tidak dijual disini”.

Peniaga yang bijak tidak akan mudah ‘melepaskan’ pelanggan seperti ini, sebaliknya akan berusaha sedaya upaya mendapatkan bekalan barangan yang diminta daripada jaringan rakan-rakan perniagaannya yang lain.

4. Bayar Secara Tunai

Aku tidak menjual secara tangguhan bayaran.

Abdul Rahman bin Auf tidak mengamalkan cara tangguhan bayaran yang rata-rata ramai di kalangan para peniaga. Beliau menjalankan urusniaga dalam bentuk tunai. Sebenarnya dengan mempercepatkan bayaran, peniaga akan mendapat pusingan modal dengan lebih cepat, dan mudah untuk digunakan bagi membeli barangan yang baru untuk dijual.

Seterusnya timbul pula persoalan mengapa Pasar Ansar kepunyaan Rasulullah SAW di Madinah mencipta sejarah menang besar dalam persaingan perniagaan dengan peniaga Yahudi atau orang bukan Islam Madinah?

Berniaga Cara Islam Dan Minta Tolong Dengan Allah

Rahsianya adalah pada setiap malam yang sepi waktu dinihari, para pelaksana perniagaan diketuai oleh Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. sendiri akan bermunajat kepada Allah dan Rasul; untuk menyokong dan memberi kerjasama dalam perniagaan mereka.

Mereka semua melakukan solat hajat, berdoa, taubat, zikir wirid, membaca Al-Quran, selawat dan lain-lain ibadah sampingan demi mendapatkan Tuhan sebagai penolong dan pemimpin. Maka jatuhlah ke hati mereka mukjizat Rasulullah SAW mengajarkan bagaimana perniagaan menurut Islam atau cara berniaga yang disuruh Allah SWT.

Mereka akhirnya dapat menawan hati penduduk kota Madinah. Para penduduk mula beralih daripada peniaga Yahudi kepada peniaga pimpinan Abdul Rahman bin Auf r.a. Beliau memupukkan rasa kasih sayang sesama peniaga dan para pelanggan.

Rindu untuk duduk bersama Rasul dan para sahabat membuatkan orang Madinah akhirnya berpusu-pusu membeli di Pasar Ansar. Maka akhirnya peniaga Yahudi mula meninggalkan kota Madinah.

Begitulah kehebatan strategi perniagaan yang diamalkan Abdul Rahman bin Auf yang harus dijadikan contoh kepada kita lebih-lebih lagi sebagai peniaga. Hamka amat tertarik dengan jawapan yang telah diberikan oleh Abdul Rahman bin Auf. Jika ada yang bertanya tentang rahsia perniagaannya, Abdul Rahman bin Auf menjawab;

Aku tidak menjual barang-barang cacat, aku merasa cukup dengan untung yang sedikit kerana aku tahu Allah memberkati.

Kehebatan beliau dalam perniagaan tidak dapat disangkal lagi. Sejarah pernah merekodkan bahawa beliau pernah menjual seribu ekor unta dalam masa sehari sahaja. Beliau menjualnya dengan harga yang murah, beliau hanya mengambil untung atas tali yang mengikat unta sahaja. Setiap utas tali itu, beliau mendapat untung satu Dirham.

Dengan itu, beliau berjaya memperolehi keuntungan seribu dirham dalam satu hari. Beliau benar-benar melaksanakan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith baginda:

“Hendaklah kamu berniaga, sesungguhnya perniagaan itu menjana 9/10 daripada rezeki”. (Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Kesimpulan ringkas yang dapat dibuat daripada strategi perniagaan Abdul Rahman bin Auf:

Jangan menolak rezeki walaupun sedikit. Adakalanya kita terpaksa menurunkan keuntungan perniagaan kita. Dengan itu, keuntungan masih kita perolehi. Rezeki masih menyebelahi kita walaupun sedikit.

Percepatkan segala urusan jual beli. Percepatkan segala layanan pelanggan. Terbukti dari zaman dahulu sehingga kini, kelajuan dan kepantasan menangani masalah dan pelanggan dalam perniagaan akan memberi pulangan yang tinggi. Pelanggan pula akan suka kepada peniaga sebegini. Dengan memudahkan urusan pelanggan, besar kemungkinan pelanggan akan melanggan buat kali kedua dan seterusnya.

Urus niaga haruslah dijalankan dalam tunai sahaja. Di mana ia akan menguntungkan kedua belah pihak samada pelanggan mahupun peniaga.

Sumber Rujukan:

  • Buku Abdul Rahman bin Auf oleh Abdul Latip Talip
  • Islam2U.net
  • Buku Rahsia Jutawan Islam: Abdul Rahman Bin Auf oleh Aizuddinur Hj Zakaria
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

7 Strategi Realistik Capai Kesenangan Hidup Masa Hadapan

Kesenangan hidup sering disalah tafsir sebagai kemewahan atau kemapanan kewangan yang luar biasa. Namun, kesenangan yang sebenar ialah kebebasan untuk membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai diri sendiri, tanpa tekanan luar, dan dengan ketenangan yang stabil.

Berikut adalah tujuh strategi yang bukan sekadar teori klise, tetapi langkah praktikal dan berimpak tinggi untuk anda yang serius mahu membina masa depan yang lebih tenang dan tersusun.

1. Pilih Gaya Hidup Berdasarkan Nilai, Bukan Trend

Ramai orang hidup mengejar status sosial atau pengiktirafan masyarakat, tanpa sedar mereka sedang menggadai ketenangan sebenar. Contohnya, membeli rumah besar semata-mata kerana orang lain melakukannya, atau melancong untuk dipaparkan di media sosial, bukan kerana ia memenuhi keperluan jiwa sendiri.

Kesenangan bermula apabila kita hidup berdasarkan prinsip dan keutamaan peribadi, bukan tekanan sosial.

Tindakan penting:

Tanya diri sendiri, “Apakah erti hidup senang bagi saya secara peribadi?”

Gunakan jawapan itu sebagai asas untuk membuat keputusan kewangan dan gaya hidup.

2. Bina Pendapatan Yang Tidak Bergantung Pada Masa dan Tenaga Diri

Masa depan yang tenang bermula apabila duit bekerja untuk kita, bukan hanya kita yang bekerja untuk duit. Ini bukan bermakna berhenti kerja, tetapi mula membina sekurang-kurangnya satu sumber pendapatan yang boleh menjana hasil tanpa perlu kehadiran fizikal kita setiap masa.

Antara contoh:

– Pelaburan hartanah yang memberi hasil sewaan

– Produk digital seperti eBook, kursus atau template

– Saham patuh syariah yang konsisten beri dividen

Matlamat utama: Kurangkan kebergantungan sepenuhnya pada gaji tetap.

3. Bina Sistem Hidup Yang Terurus dan Automatik

Kesenangan tidak semestinya datang daripada lebih banyak usaha, tetapi daripada sistem yang membantu kita mengurus hidup dengan lebih baik.

Contohnya:

– Bahagikan gaji secara automatik ke lima akaun berasingan: keperluan, simpanan, pelaburan, sumbangan, dan hiburan

– Guna aplikasi untuk memantau bajet, tabiat, atau penggunaan masa

– Jadualkan hari rehat dan refleksi kehidupan setiap tiga bulan

Hidup yang tersusun menjadikan minda lebih lapang dan tekanan lebih terkawal.

4. Gunakan Kaedah Perspektif 10-10-10 Untuk Buat Keputusan Besar

Setiap keputusan besar dalam hidup wajar dinilai dengan perspektif jangka panjang. Tanya soalan ini sebelum buat keputusan besar:

“Apa kesan keputusan ini dalam 10 hari, 10 bulan, dan 10 tahun akan datang?”

Contoh aplikasi:

– Pilih kerjaya berdasarkan potensi jangka panjang, bukan hanya gaji semasa

– Nilai kesan berpindah tempat tinggal terhadap keluarga dan kesihatan

– Tentukan bila masa sesuai untuk membeli rumah atau terus menyewa

Perspektif yang jauh mengurangkan risiko penyesalan besar dalam hidup.

5. Asah Satu Kemahiran Unik Yang Relevan Sepanjang Hayat

Tidak semua kemahiran dicipta sama. Pilih satu kemahiran yang:

– Jarang dimiliki ramai

– Tinggi nilai di pasaran

– Anda minat dan sanggup asah dalam jangka masa panjang

Contohnya: penulisan strategik, pengaturcaraan (coding), komunikasi pitching, analisis kewangan, atau jualan produk bernilai tinggi.

Kemahiran yang tepat boleh membuka pintu kepada lebih banyak peluang dan menjadikan anda lebih bebas untuk memilih projek, bukan terikat pada kerja semata-mata.

6. Latih Diri Untuk Tahan Ketidakselesaan Sementara

Kebebasan masa hadapan memerlukan disiplin untuk menanggung ketidakselesaan sekarang. Ini termasuk:

– Belajar tentang pelaburan walaupun terasa mencabar

– Menolak tawaran kerja dengan gaji tinggi jika tidak selari dengan nilai hidup

– Menangguhkan pembelian besar demi simpanan atau pelaburan

Sikap ini membina ketahanan kewangan dan emosi, asas penting untuk kestabilan jangka panjang.

7. Sediakan Pelan Hidup Untuk Situasi Luar Jangka

Dalam dunia yang tidak menentu, kita perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang tidak dirancang. Bina pelan fleksibel jika:

– Anda kehilangan kerja secara tiba-tiba

– Ibu bapa jatuh sakit dan memerlukan penjagaan

– Kesihatan anda menghalang kemampuan untuk bekerja

Rancang dana kecemasan, pelan insurans, dan struktur sokongan awal. Ini bukan semata-mata soal kewangan, tetapi membina ketenangan bila menghadapi ujian.

Jadi, kesenangan hidup sebenar bukan terletak pada jumlah harta atau kemewahan yang dipamerkan. Ia terletak pada sejauh mana kita bebas membuat pilihan hidup yang sejajar dengan nilai dan keutamaan diri sendiri, walaupun dunia berubah. Ia tentang rasa cukup, bukan semata-mata memiliki banyak.

Dengan strategi yang betul, konsisten dalam tindakan dan pemikiran yang jelas, kesenangan masa hadapan bukan mustahil ia hanya menunggu untuk dibina, satu hari demi satu hari.