Dah Ada Kad Perubatan Daripada Syarikat, Perlukah Ambil Kad Perubatan Individu Lagi?

Dalam pengurusan kewangan, pelan perlindungan sentiasa dititik-beratkan. Tujuan sebenar pelan perlindungan ini adalah untuk melindungi simpanan yang telah kita kumpul, agar ianya tidak digunakan untuk kos perubatan hospital yang boleh mencecah ribuan ringgit, atau puluhan ribu ringgit.

Bayangkan kalau semua simpanan kita ‘licin’ sebab nak bayar bil perubatan, dan kos hospital serta ubat pula meningkat saban tahun.

Tidak dinafikan, terdapat sesetengah majikan yang telah menyediakan manfaat kad perubatan kepada para pekerja mereka. Ianya merupakan salah satu daripada manfaat bagi menarik orang ramai untuk bekerja dengan syarikat tersebut.

Mula Rasa ‘Selamat’ Dah Ada Kad Perubatan Daripada Syarikat

Apabila ini berlaku, ramai yang memandang remeh daripada mengambil kad perubatan sendiri, dengan alasan telah memiliki pelan perlindungan dan kad perubatan daripada syarikat tempat bekerja.

Kenapa anda masih perlu menyediakan kad perubatan sendiri meskipun telah mempunyai manfaat kad perubatan yang telah dipayung oleh syarikat?

Berikut adalah merupakan 3 sebab penting mengapa anda perlu memilki kad perubatan individu sendiri.

1. Tidak Selamanya Bekerja

Pernah atau tidak terlintas di fikiran anda yang suatu hari nanti anda akan terpaksa berhenti kerja? Atau lebih teruk lagi diberhentikan? Malang tidak berbau dan lebih membimbangkan lagi kalau dah jatuh ditimpa tangga pula. Kerja dah tak ada, kad perubatan pun tak ada juga.

2. Manfaat Rendah

Kalau diikutkan, kad perubatan yang kita dapat daripada syarikat tempat bekerja, biasanya mengikut kepada ‘ranking’ kita dalam syarikat. Kalau kita seorang executive atau non-exec, sudah pasti perlindungan yang ditawarkan lebih rendah daripada mereka yang berada di peringkat pengurusan, lebih rendah daripada mereka yang berada di peringkat pengurusan senior, dan akhirnya lebih rendah daripada bos-bos besar seperti CEO, Managing Director dan yang seangkatan dengannya.

Dan disebabkan ini jugalah, manfaat had tahunan bagi seorang pekerja biasa adalah rendah, berbanding jika kita ambil kad perubatan individu yang menawarkan manfaat dan had tahunan yang lebih tinggi.

3. Bayaran Bulanan Lebih Tinggi

Rata-rata mereka yang telah mencecah usia 55-60 tahun dan mahu pencen, golongan inilah yang paling memerlukan kad perubatan. Tapi bila dah berhenti kerja, kegunaan kad perubatan pun terhenti juga.

Jadi bila umur lanjut baru nak ambil kad perubatan individu, bayaran bulanan sudah pasti lebih mahal jika dibandingkan anda ambil di usia muda.

4. Sakit Tak Mengenal Usia, Tapi Lagi Berusia Lagi Mudah Nak Jatuh Sakit

Kebanyakan kad perubatan melindungi kita sampai umur 70 tahun saja, tapi ada juga yang sampai umur 100 tahun. Bila ada kad perubatan sendiri tu, tengok juga tempoh perlindungan – kalau boleh ambil yang beri perlindungan sampai 100 tahun.

Ini kerana mengikut statistik, jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat dengan lelaki berada pada umur 72.5 tahun manakala wanita pula berada pada umur 77.4 tahun.

Hanya 15% Rakyat Malaysia Ada Takaful

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh RAM Rating Services Bhd pada Mac 2017, hanya 15% sahaja daripada rakyat Malaysia yang menyertai pelan perlindungan Takaful. Kadar ini adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan 41% rakyat Malaysia yang memiliki perlindungan Life Insurance atau Insurans Hayat Konvensional.


Sumber: The Star Online

Mungkin sebab terlalu bergantung kepada manfaat dan perlindungan yang diberikan oleh pihak syarikat, sehingga menyebabkan kita lalai daripada mempunyai perlindungan Takaful individu dan keluarga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa Ejen Insurans & Takaful Banyak Sangat ‘Award’?

Pernah tak anda tengah sedap melayan TikTok atau Instagram Reels, tiba-tiba lalu video rakan anda yang bergelar ejen insurans atau takaful? Video bukan biasa-biasa ya. Siap ada suntingan transisi slow-motion, berjalan penuh gaya atas permaidani merah pakai tuxedo atau gaun labuh, pegang trofi berkilat sebesar lengan dan diiringi muzik latar belakang jenis yang menaikkan bulu roma.

Bagi orang luar, situasi ini kadangkala menimbulkan persoalan: “Eh, bulan lepas rasa dah menang award, bulan ni ada award lagi? Bukan ke syarikat atau agensi mereka sendiri yang buat anugerah tu?”

Jangan salah faham. Di sebalik budaya yang nampak seperti “puji diri sendiri” atau acah-acah selebriti ini, sebenarnya ada strategi psikologi perniagaan yang sangat mendalam. Jom kita bedah kenapa industri ini dipenuhi dengan anugerah yang luar biasa.

1. Produk ‘Ghaib’ yang Sukar Dijual

Tidak seperti ejen hartanah yang menjual rumah, atau peniaga gajet yang menjual barang yang boleh disentuh, penasihat kewangan dalam industri insurans dan takaful berdepan dengan cabaran yang jauh lebih getir. Mereka sebenarnya sedang menjual satu produk yang bersifat intangible iaitu janji, ketenangan minda (peace of mind) dan perlindungan risiko masa hadapan.

  • Manusia secara psikologinya berat membelanjakan wang untuk sesuatu yang mereka harap tidak akan guna (seperti musibah atau kematian).
  • Disebabkan cabaran jualan (rejection rate) yang sangat tinggi, tahap tekanan dalam industri ini amat luar biasa. Anugerah yang kerap inilah yang menjadi ‘talian hayat’ untuk mengekalkan momentum dan membakar semangat mereka.

2. Budaya ‘Self-Reward’ untuk Menggantikan Gaji Tetap

Berbeza dengan pekerja makan gaji di sektor korporat biasa, majoriti ejen insurans dan takaful beroperasi atas dasar komisen penuh. Di sebalik gaya hidup mewah yang sering ditonjolkan, realitinya mereka tidak mempunyai jaringan keselamatan (safety net) seperti pekerja biasa:

Tiada Slip Gaji Tetap: Pendapatan mereka pada bulan itu adalah cerminan terus kepada usaha dan jualan mereka pada bulan tersebut. Jika tiada jualan, maka tiada lah pendapatan.

Tiada Bonus Tahunan Automatik: Pekerja makan gaji biasanya menanti bonus hujung tahun berdasarkan prestasi syarikat. Bagi ejen, ‘bonus’ mereka perlulah diusahakan sendiri melalui pencapaian KPI jualan tertentu yang telah ditetapkan.

Tiada Kenaikan Pangkat Tradisional: Dalam struktur pejabat biasa, anda bekerja keras untuk naik pangkat daripada Eksekutif ke Pengurus berdasarkan kekosongan jawatan. Dalam industri ini, kenaikan pangkat (contohnya menjadi Group Agency Manager) ditentukan sepenuhnya oleh berapa ramai ejen baru yang mereka bawa masuk dan berapa besar jumlah jualan kumpulan.

Memandangkan agensi mereka beroperasi seperti sebuah perniagaan sendiri, mereka mencipta sistem ganjaran dalaman untuk menghargai usaha setiap ejen, dari sekecil-kecil pencapaian bulanan sehinggalah anugerah global seperti MDRT (Million Dollar Round Table).

3. Pemasaran Media Sosial (Personal Branding)

Mungkin ada yang memandang sinis apabila melihat ejen memuat naik video berjalan di permaidani merah dengan suntingan video video ala selebriti, diiringi muzik latar yang penuh dramatik, serta berkongsi ucapan motivasi yang panjang lebar. Namun, dalam dunia perniagaan moden, ini bukan sekadar suka-suka tetapi adalah strategi penjenamaan diri (personal branding).

Dalam industri kewangan, prinsip asasnya mudah: “Orang tidak membeli produk, orang membeli siapa penjualnya.” Di sinilah mengapa elemen video gempak dan ucapan motivasi itu mainkan peranan besar.

Apabila seorang ejen menonjolkan diri mereka menerima anugerah, secara tidak langsung ia memberi isyarat kepada bakal pelanggan bahawa: “Aku ejen yang aktif, berprestasi tinggi, dan tak akan ‘hilang’ bila korang nak buat tuntutan (claim) nanti.” Video gempak itu adalah marketing tool untuk menarik pelanggan dan juga rekrut baru.


Budaya bersorak, memberi ucapan motivasi dan meraikan satu sama lain mungkin kelihatan agak ‘over-the-top’ bagi orang luar. Namun bagi warga industri kewangan, itulah bahan api yang memastikan mereka kekal bertahan dalam industri yang penuh dengan penolakan demi mencari rezeki.

Sama ada kita suka atau tidak dengan pendekatan pemasaran mereka, satu perkara yang pasti: strategi psikologi ini terbukti berkesan memacu industri ini untuk terus berkembang saban tahun.

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anugerah seseorang ejen itu penting bagi anda sebelum mengambil polisi takaful?