Bankrap Menakutkan, Tapi Bukan Penamat Kehidupan

Bankrap atau muflis, kedua-duanya sama. Menakutkan malah ada yang hampir bunuh diri kerana memegang status muflis.

Pernahkah anda terfikir mengapa ada situasi sebegitu berlaku? Ada yang menggelarkan status tersebut sebagai hukuman gantung tak bertali.

Tapi sebenarnya memegang label muflis atau bankrap bukanlah penamat kehidupan seseorang. Tenang, masih ada jalan untuk anda yang berstatus muflis ini.

Definisi Bankrap Mengikut Undang-Undang Malaysia

Dipetik daripada laman web Jabatan Insolvensi Malaysia, bankrap bermaksud:

“Kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.00.”

Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia yang dipetik melalui Kosmo, sehingga September 2017, 294,000 rakyat Malaysia telah diisytiharkan muflis.

Dianggarkan, 18,000 hingga 20,000 individu diisytiharkan muflis dalam masa setahun.

Kalau ikut ranking, paling ramai orang bankrap adalah disebabkan oleh hutang sewa beli kenderaan, diikuti dengan pinjaman peribadi dan pembiayaan perumahan.

Nak tahu lebih mendalam, boleh baca 100,000 Rakyat Malaysia Bankrap Dan Ini 3 Punca Utama.

Segala harta kepunyaan individu bankrap terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) dan KPI bertanggungjawab untuk menghasilkan dan menjual semua harta tersebut. Hasil jualan harta akan diagihkan kepada pemiutang yang memfailkan bukti hutang dalam kes kebankrapan.

Berikut merupakan panduan jika anda anda diisytiharkan muflis. Perkongsian ini dipetik melalui laman web MdI.

Apa Yang Perlu Saya Lakukan Setelah Diisytiharkan bankrap?

Anda hendaklah hadir ke cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan anda dengan kadar segera. Cawangan yang mentadbir kes kebankrapan merupakan cawangan di negeri yang mana perintah kebankrapan dikenakan kepada anda. Anda perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dan mendedahkan segala maklumat berkaitan pendapatan kepada Pegawai Insolvensi. Pegawai MdI akan membantu anda dalam pengisian borang-borang yang berkaitan.

Adakah Status Kebankrapan Saya Akan Menjejaskan Pekerjaan Sekarang Dan Peluang Untuk Mendapat Pekerjaan Yang Baru?

Sekiranya anda diisytiharkan bankrap, ia tidak akan menafikan hak untuk meneruskan pekerjaan sekarang atau pun mendapat pekerjaan baru. Bagaimanapun, ianya tertakluk kepada terma dan syarat di dalam kontrak pekerjaan majikan, sebagai contoh, sekiranya syarat menyatakan perlu memaklumkan majikan mengenai status kebankrapan, anda hendaklah memaklumkan kepada majikan akan status tersebut.

Apakah Kelayakan Yang Hilang Bagi Seorang Bankrap?

Apabila pengadilan/penghakiman dijatuhkan, bankrap adalah hilang kelayakan daripada:

(a) Memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen

(b) Memegang jawatan sebagai penjawat awam (tertakluk kepada tindakan tatatertib Jabatan/KPI)

(c) Memegang sebarang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, koperasi berdaftar atau organisasi

(d) Mengamalkan profesion tertentu

(e) Menjalankan perniagaan secara persendirian atau perkongsian atau menubuhkan syarikat

(f) Bekerja dalam perniagaan saudara

(g) Mengekalkan apa-apa tindakan tanpa sanksi (kelulusan) KPI selain daripada tindakan untuk ganti rugi dalam kecederaan kepada orang lain

(h) Meninggalkan Malaysia sebelum/tanpa kebenaran KPI atau Mahkamah

(i)Pencen dan ganjaran lain yang diterima oleh bankrap hendaklah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk dibahagikan kepada pemiutang. Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Insolvensi mempunyai budi bicara untuk menentukan berapa jumlah pencen dan ganjaran yang boleh diberikan kepada bankrap

(j) Menguatkuasakan haknya di bawah undang-undang tertentu

 

Adakah Muflis Akan Kekal Selamanya Atau Seseorang Boleh ‘Keluar’ Daripada Status Muflis?

Boleh. Terdapat tiga cara untuk menamatkan status kebankrapannya iaitu:

(a) Membuat permohonan pembatalan ke mahkamah dengan alasan hutang telah dijelaskan sepenuhnya / tidak sepatutnya diisytiharkan bankrap

(b) Membuat permohonan pelepasan ke mahkamah pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh mahkamah. MdI perlu mengemukakan laporan kes yang menyatakan kelakuan dan kerjasama bankrap kepada Jabatan

(c) Membuat permohonan pelepasan kepada KPI untuk pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A Akta Kebankrapan 1967. Permohonan hanya boleh dibuat sekiranya pentadbiran kes kebankrapan telah dijalankan selama lima tahun selain memenuhi kriteria dan syarat-syarat yang lain.

Sekiranya anda berhadapan dengan situasi muflis, jangan panik atau putus asa. Anda masih boleh meneruskan pekerjaan, cuba dapatkan rundingan dengan pihak pemiutang untuk pembayaran hutang dan rancanglah kewangan anda dengan sebaiknya.

Cuba cari jalan untuk langsaikan hutang yang tertunggak seterusnya membebaskan diri daripada status bankrap atau muflis.

Ingat, hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut.

Rajin-rajinlah baca dan amalkan:

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

2 Comments

  1. Isteri saya mengelami masalah mental sebab kami mengalami kerugian dalam perniagaan. Kami tidak mampu bayar loan rumah and bank sudah lelong rumah kami dengan harga yang sangat rendah.suruh kami bayar 300k. Sekarang bank file case pada isteri saya jadi bankruptcy. Isteri saya mempunyai masalah mental. Bolehkah banyak buat isteri saya bankruptcy.

    1. Assalam, encik faizal…tanya saya di talian 0139625693…boleh tanya semua masalah pasal undang2.. Dan satu lg jgn risau setiap masalah ada beberapa plan yang encik faizal boleh urus sendiri tanpa lantikan lawyer

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.