Hanya 15% Rakyat Malaysia Ada Takaful

Perlindungan Takaful adalah salah satu daripada elemen penting yang terdapat di dalam Perancangan Kewangan Islam. Walaupun industri Takaful telah wujud di Malaysia sejak daripada tahun 1984 lagi, bilangan rakyat Malaysia yang memiliki pelan perlindungan Takaful Keluarga masih berada di tahap yang membimbangkan.

Adakah Perlindungan Takaful Tidak Penting?

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh RAM Rating Services Bhd pada Mac 2017, hanya 15% sahaja daripada rakyat Malaysia yang menyertai pelan perlindungan Takaful. Kadar ini adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan 41% rakyat Malaysia yang memiliki perlindungan Life Insurance atau Insurans Hayat Konvensional.


Sumber: The Star Online

Dan jika ditambahkan kedua-dua jumlah ini (15%+41% = 56%), sebenarnya hanya 35% sahaja daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang memiliki perlindungan Takaful Keluarga ataupun Life Insurance (setelah ditolak bilangan individu yang memiliki lebih daripada satu polisi).

Bilangan ini masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan sasaran negara untuk mencapai kadar 75% pada tahun 2020 seperti dihasratkan di bawah Economic Transformation Programme (ETP).

Jika dilihat daripada segi bilangan, sekarang ini terdapat sekitar 18.9 juta rakyat Malaysia yang beragama Islam. Seandainya dianggarkan kesemua 15% yang memiliki pelan perlindungan Takaful Keluarga tadi adalah beragama Islam, ini bermakna masih terdapat sekitar 16.1 juta yang tidak memiliki perlindungan tersebut.

3 Sebab Utama Tidak Menyertai Pelan Takaful

1. Tidak Faham

Masih ramai yang belum sedar dan kurang faham mengenai kepentingan Takaful dalam perancangan kewangan masing-masing. Hanya setelah diberi pemahaman yang jelas, barulah ramai yang akhirnya bersetuju untuk menyertai pelan Takaful Keluarga.

Jadi rebutlah peluang untuk menambah pendapatan dengan menjadi ejen Takaful. Duit dapat, pahala berdakwah pun dapat.

2. Tidak Mampu

Kemampuan juga menjadi sebab utama kurangnya rakyat Malaysia yang menyertai perlindungan Takaful. Ada juga yang terus mengelak untuk menerima penerangan kerana masih ramai beranggapan ejen Takaful ini sebagai seorang salesperson berbanding melihat mereka sebagai perunding kewangan.

Berkenaan berapakah jumlah sebenar yang ‘patut’ kita ketepikan bagi tujuan perlindungan Takaful, bolehlah sekiranya diperuntukkan sekitar 5%-10% daripada pendapatan bulanan/tahunan. Sekiranya terlalu tinggi, dikhuatiri ia akan mengganggu aliran tunai bulanan/tahunan dan menyebabkan wujudnya rasa bebanan.

Perlindungan Takaful sememangnya pelbagai, lebih banyak semangnya lebih bagus, dan pastinya lebih tinggi contribution bulanan/tahunan. Pilihlah perlindungan yang paling penting bagi diri anda.

3. Nanti Dulu

Ada juga yang telah faham tetapi menangguhkan niat menyertai perlindungan Takaful dengan pelbagai sebab. Di antara alasan yang diterima adalah seperti tunggu lepas raya, tunggu naik pangkat, nak beli rumah dulu dan lain-lain.

Sebenarnya tiada masalah untuk menunggu. Apa yang lebih merisaukan adalah sakit atau pun kemalangan adalah di antara perkara yang kita tidak boleh jangka bila ianya akan berlaku. Sangat menyedihkan sekiranya terjadi kemalangan dan waris tidak terbela disebabkan oleh penangguhan yang kita lakukan.

Ditulis oleh Suddin Salleh, beliau merupakan jurulatih saham di iSaham Sdn. Bhd dan perunding Takaful di AIA Public Takaful Berhad.

Tenang dengan Takaful, Untung dengan Saham.

Layari http://duitakuhalaku.blogspot.my untuk maklumat lanjut.

This image has an empty alt attribute; its file name is etiqa-motor-takaful.jpg
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.