Apa Itu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Yang Orang Dok Sebut Tu?

Sejak kita menyaksikan tampuk pemerintahan bertukar tangan pada Mei 2018 yang lalu, semakin ramai orang yang berminat nak ambil tahu berkenaan dengan isu ekonomi dan kewangan negara.

Pastinya kita pernah dengar istilah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kan? Tapi tahu ke tak apa maksud di sebalik KDNK dan apa pula fungsi KDNK tersebut?

Jabatan Perangkaan Malaysia Sebagai Rujukan

Definisi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)

KDNK ialah statistik berkenaan pendapatan negara dan ianya juga berkaitan dengan pertumbuhan atau pembangunan ekonomi.

KDNK mengukur jumlah nilai akhir barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam ekonomi bagi sesebuah Negara melalui tiga kaedah iaitu:

  1. Kaedah Pengeluaran iaitu penjumlahan nilai ditambah aktiviti ekonomi (Pertanian, Perlombongan & Pengkuarian, Pembuatan, Pembinaan dan Perkhidmatan termasuk Kerajaan)
  2. Kaedah Perbelanjaan iaitu penjumlahan Perbelanjaan Akhir Isi Rumah, Perbelanjaan Akhir Kerajaan, Pelaburan dan Eksport Bersih
  3. Kaedah Pendapatan adalah penjumlahan Pendapatan oleh faktor Pengeluaran (tanah, tenaga buruh, modal dan keusahawanan) iaitu Pampasan pekerja, Lebihan kendalian kasar dan (Cukai – Subsidi)

Pengukuran KDNK:

i. Dinilai pada harga semasa
ii. Dinilai pada harga malar

Frekuensi pengeluaran data KDNK Kaedah Pengeluaran dan Perbelanjaan adalah secara suku tahunan dan tahunan pada harga semasa dan malar. Manakala bagi data KDNK Kaedah Pendapatan adalah secara tahunan pada harga semasa.

 Adakah ANDA berperanan sebagai penyumbang kepada KDNK?

YA. ANDA juga dikira sebagai penyumbang kepada KDNK. Dalam konteks ekonomi, ANDA sebagai Isi rumah berperanan dalam dua kategori iaitu:

  • Dari segi Penawaran, Isi rumah bekerja di sektor industri dan Kerajaan dan mendapat pendapatan melalui pembayaran gaji dan upah
  • Dari segi Permintaan, Isi rumah berperanan sebagai pengguna kepada barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh mana-mana institusi melalui perbelanjaan harian

3. Adakah semua barangan dan perkhidmatan diambilkira dalam penyusunan KDNK?

TIDAK. Semua perkhidmatan peribadi dan domestik yang dihasilkan dan dimakan dalam isi rumah yang sama (Contohnya pembersihan rumah, memasak, menjaga & mendidik kanak-kanak, dan menjaga orang sakit & orang tua) tidak diambilkira dalam pengiraan KDNK.

Disamping itu, penyelenggaraan & pembaikan rumah kediaman, barangan tahan lama, dan kenderaan yang digunakan oleh ahli Isi rumah juga dikecualikan daripada pengiraan KDNK.

Semua perkhidmatan di atas dikecualikan dalam pengiraan KDNK kerana;

  • Tidak ada harga pasaran yang sesuai yang boleh digunakan untuk menilai perkhidmatan-perkhidmatan ini
  • Sebahagian besar perkhidmatan Isi rumah domestik dan perkhidmatan peribadi tidak dihasilkan untuk tujuan diniagakan dalam pasaran

4. Mengapa KDNK penting kepada Negara?

  • Mengukur prestasi dan kedudukan ekonomi
  • Mengenalpasti dan membuat penilaian keberkesanan dasar ekonomi Kerajaan
  • Analisis data makroekonomi
  • Perbandingan saiz ekonomi di peringkat antarabangsa
  • Insight kepada para pelabur dalam membuat keputusan pelaburan

5. KDNK tidak mengukur taraf hidup dan kesejahteraan kehidupan rakyat. Mengapa?

KDNK merupakan instrumen untuk mengukur prestasi ekonomi, namun ia tidak sesuai untuk mengukur taraf hidup dan kesejahteraan penduduk bagi sesebuah negara.

  • Walaupun Pendapatan Negara Kasar per kapita (PNK per kapita) digunakan sebagai ukuran tanda aras kehidupan penduduk dalam sesebuah negara, ia tidak mengambil kira beberapa faktor penting dalam kesejahteraan rakyat seperti kerosakan pada alam sekitar, bunyi bising yang melampau, pengurangan masa berhibur dan pengurangan sumber asli yang tidak boleh diperbaharui.
  • Selain itu, kualiti kehidupan mungkin bergantung kepada taburan KDNK mengikut penduduk dan bukan diukur secara purata.

Bagi mengambil kira faktor-faktor tersebut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membangunkan Human Development Index (HDI) yang merangkumi maklumat KDNK per kapita, jangkaan hayat, literasi dan pendaftaran pelajar ke sekolah.

“Statistik Dan Kehidupan Tidak Boleh Dipisahkan Kerana Berkait Rapat Terutama Dalam Mendepani Kehidupan Yang Semakin Kompleks” – YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia

Sumber Rujukan: Department of Statistics Malaysia dan DOSM/BPAN/1.2018/Series 3 (Gross Domestic Product) – fail PDF 714kb

Dah tahu apa itu KDNK dan apa fungsinya, ambil tahu juga perkara berikut:

Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.