4 Tips Beli Rumah Bawah Harga Pasaran

Ramai yang mencari rumah di bawah harga pasaran. Ini di mana anda akan medapat keuntungan sebaik sahaja anda mula membeli, tanpa perlu menunggu harga rumah untuk naik. Namun, peluang ini tidak semua orang boleh dapat, tapi kalau kena gayanya – dapat juga merasa beli rumah pada harga diskaun.

Berikut adalah 4 tips yang dapat digunakan bagi mendapatkan rumah di bawah harga pasaran untuk anda beli.

1. Berkawan Dengan Ejen Hartanah

Ejen hartanah adalah orang pertama yang akan tahu senarai rumah pada kedudukan harga yang murah dan juga di bawah harga pasaran. Oleh sebab itu, lebih mudah untuk mendapatkan info lanjut berkenaan rumah dan harganya daripada ejen hartanah ini sebelum mereka membuat iklan kepada orang ramai.

Sekiranya iklan telah dibuat, anda terpaksa berhadapan persaingan yang sengit bersama dengan mereka yang juga berhajat untuk membeli rumah.

2. Bertanya Dengan Jiran

Anda juga perlu menjadi seorang yang ‘’mesra alam’’ dengan meringankan mulut bertanya kepada jiran sebelah rumah. Mana tahu ada yang ingin menjual rumah mereka dengan harga yang rendah. Maklumlah, dengan jiran ni mudah sikit nak deal.

Jika jiran ada tidak mempunyai rumah untuk dijual sekalipun, mungkin mereka boleh memperkenalkan anda dengan kawan-kawan mereka yang berhasrat menjual rumah. Yang penting, topik perbualan rumah sudah dimulakan, dan mereka tahu yang anda sedang giat mencari rumah untuk dibeli.

3. Tengok Iklan Setiap Hari

Rajinkan diri ada untuk melihat iklan pada setiap hari walaupun anda akan merasa penat dan jemu. Anda berpeluang lebih besar untuk mendapatkan rumah di bawah harga pasaran apabila hari-hari belek portal online dan suratkhabar.

Lihat iklan-iklan rumah ini pada waktu pagi bagi membolehkan anda menjadi antara orang yang terawal melihat iklan-iklan tersebut. Kebiasaanya, rumah murah dan dicari oleh ramai orang, iklannya tidak akan bertahan lama disebabkan permintaan yang begitu tinggi.

4. Pandai Berunding Dan Pujuk

Jika masih tidak jumpa rumah dengan harga bawah pasaran, jangan cepat berputus asa. Anda masih boleh membuat rundingan dengan tuan rumah atau ejen. Gunakan alasan-alasan yang bernas dan boleh diterima.

Sebagai contoh, anda nak beli rumah ini sebagai rumah pertama untuk memulakan hidup bersama pasangan. Bawa isteri dan anak kecil bersama-sama, lebih mudah untuk tuan rumah atau ejen ‘cair’ dengan alasan tersebut dan bersetuju untuk menjualnya di bawah harga pasaran.

Baca juga Persediaan Sebelum Boleh Beli Rumah Pertama. Ini Senarai Semaknya

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian