Minggu Penting Pasaran Saham! Ini 5 Tumpuan Utama Pasaran Global

Minggu ini akan menjadi permulaan kepada pengumuman pendapatan syarikat pada suku keempat 2018 khususnya di Wall Street. Walaupun pendapatan dijangka kukuh, namun pasaran akan melihat kepada jangkaan syarikat-syarikat ini terhadap ekonomi pada masa hadapan.

Di antara perkara lain yang akan menjadi perhatian pasaran pada minggu ini adalah undian Brexit pada Selasa dan juga data perdagangan daripada China. Berikut adalah lima pemangkin yang berkemungkinan besar menggerakkan pasaran pada minggu ini.

#1 Undian Brexit Parlimen Britain

Hanya tinggal kurang dari tiga bulan sebelum negara Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) walaupun proses Brexit masih lagi berhadapan dengan halangan besar. Tumpuan ketika ini adalah kepada ahli-ahli parlimen UK yang akan mengundi sama ada menerima perancangan Brexit Perdana Menteri Theresa May atau sebaliknya pada hari Selasa (15 Januari 2019).

Undian ini adalah perjanjian yang telah disepakati UK bersama EU yang merupakan satu-satunya jalan kesepakatan dan tidak boleh dirundingkan semula. Namun, ia dijangka tidak mendapat sokongan majoriti di Westminster dan bakal menimbulkan banyak ketidaktentuan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Dengan jangakaan ini, mata wang Pound Sterling dijangka akan berhadapan dengan volatility (turun-naik) yang bukanlah satu perkara ganjil lagi bagi mata wang ini. Sejak hampir tiga tahun lalu, Sterling bergerak tidak menentu dan ia sekali lagi dijangka berlaku pada hari Selasa.

Minggu lalu, laporan media yang mengatakan penangguhan keluar UK daripada EU telah menyebabkan Sterling melonjak naik berbanding Dolar AS. Walaubagaimanapun, tidak lama selepas itu jurucakap Theresa May menafikan sebarang penangguhan tersebut dan Sterling jatuh semula ketika itu. 

Terkini : Theresa May suffers historic defeat as Tories turn against her

#2 Pengumuman Pendapatan di Wall Street

Pasaran saham global merudum beberapa minggu yang lalu khususnya pada tempoh Oktober sehingga penghujung 2018, berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pendapatan syarikat yang semakin berkurangan. Pengumuman pendapatan (earnings) pada minggu ini akan menjadi bukti sama ada kebimbangan pelabur itu adalah berasas atau sebaliknya.

Beberapa syarikat berasaskan teknologi di Amerika Syarikat akan mengumumkan pendapatan mereka termasuklah Micron Technology, Netflix, dan beberapa bank besar Wall Street seperti Citi, JPMorgan, dan Wells Fargo. Komen dovish yang dilontarkan oleh Powell pada minggu lalu telah banyak memperbaiki sentimen pelabur dengan ketiga-tiga indeks Wall Street merekodkan kenaikan selepas mencapai paras terendah sejak perayaan Krismas tahun lalu.

#3 Tekanan Harga di Amerika Syarikat

Bank pusat di Amerika Syarikat iaitu The Federal Reserve, mendakwa ekonomi Amerika Syarikat meneruskan peningkatan tetapi pasaran seakan meraguinya. Para pelabur ketika ini bimbang dengan pertumbuhan yang semakin perlahan yang menjadi punca kepada kejatuhan pasaran saham pada penghujung tahun 2018.

Walaubagaimanapun, pasaran saham kembali yakin dengan perkembangan terbaru selepas komen dovish oleh pengerusi The Fed bahawa mereka boleh “bersabar sebelum meneruskan halatuju pengetatan dasar monetari”. Powell berkata bacaan semasa inflasi di paras rendah dan berada dalam kawalan. Bank pusat menyatakan akan bersabar dalam memerhatikan perkara ini sebelum membuat sebarang keputusan dasar.

Benarkah The Fed boleh bersabar? Ya, benar pasaran buruh dalam keadaan kukuh dan kadar gaji sedang meningkat. Data purata kadar gaji bulan Disember meningkat sebanyak 3.2% sekaligus mencapai paras tertinggi hampir 10 tahun lalu. Inflasi teras (Core-CPI) pula dilihat akan melebihi sasaran 2% bank pusat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Komen dovish Powell baru-baru ini telah menyebabkan jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah di masa hadapan semakin berkurangan, tetapi indeks harga pengeluar (PPI) yang akan dikeluarkan pada 15 Januari akan menjadi kunci utama kepada tekanan harga di Amerika Syarikat khususnya dalam masa terdekat.

#4 Data Terbaru Perdagangan Ekonomi Kedua Terbesar Dunia

China dan Amerika Syarikat baru sahaja mengadakan rundingan perdagangan dengan kedua-dua negara, dan telah berjanji untuk tidak mengenakan sebarang tarif sehingga 1 Mac 2019. Rundingan yang setakat ini dilihat berjaya di antara kedua-dua negara, sedikit sebanyak telah memperbaiki sentimen pasaran global.

Namun, kebimbangan mungkin akan tercetus semula jika data Imbangan Dagangan (Trade Balance) China yang akan diumumkan pada hari Isnin menunjukkan kerosakan kepada perdagangan China yang disebabkan tarif pusingan pertama oleh Amerika Syarikat.

#5 Ucapan Oleh Ahli-Ahli Federal Reserve

Beberapa ahli The Fed yang akan berucap sepanjang minggu ini bakal menarik perhatian pasaran. Pasaran akan memberi perhatian kepada komen mereka tentang ekonomi, khususnya terhadap dasar monetari di Amerika Syarikat.

Paling menjadi perhatian adalah ucapan oleh John Williams, Presiden The Fed cawangan New York. Sebagai seorang ahli pengundi tetap dasar, John Williams akan bercakap tentang dasar monetari di satu majlis kepimpinan ekonomi di New Jersey.

Selain daripada itu, di antara yang akan diperhatikan oleh pelabur adalah ucapan oleh Presiden Fed cawangan Kansas (Esther George), Presiden cawangan Dallas (Robert Kaplan), Presiden Fed cawangan Philadelphia (Patrick Harker), dan Gabenor Fed Randal Quarles.

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pedagang runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini menjadi seorang penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters