Takaful Sebagai Simpanan?

Seperti yang kita sedia maklum, takaful adalah merupakan instrumen kewangan berbentuk perlindungan. Pencarum atau penama akan menerima pampasan sekiranya perkara yang tidak dingini berlaku.

Tapi pernahkah anda membaca atau mendengar bahawa Takaful juga berfungsi sebagai satu bentuk simpanan?

Takaful Kan Untuk Perlindungan? Ada Untuk Simpanan Juga?

Jika dikatakan Takaful sebagai satu simpanan, jenis Takaful seperti ini selalunya dikaitkan dengan Pelan Takaful Keluarga Tradisional dan Pelan Takaful Keluarga Berkaitan Pelaburan.

Ini kerana kedua-dua Pelan Takaful ini ada menawarkan pulangan kewangan kepada anda dalam satu tempoh tertentu. Akan tetapi, Pelan Takaful Keluarga Berkaitan Pelaburan adalah lebih popular di pasaran kerana ianya memberikan anggaran pulangan yang agak tinggi kepada pencarum.

Secara dasarnya, pencarum akan mendapat pulangan tinggi daripada Pelan Takaful Berkaitan Pelaburan disebabkan oleh Pelan ini merupakan gabungan Perlindungan dan Pelaburan.

Pencarum yang memegang Sijil Takaful di bawah Pelan ini akan diberikan sejumlah Unit Pelaburan dan terdapat syarikat Takaful yang menawarkan beberapa jenis Unit Pelaburan untuk dibuat pilihan. Sebagai Pencarum, anda boleh merujuk kepada Fund Fact Sheet yang disediakan untuk menilai sendiri risiko pelaburan anda.

Untunglah Dengan Takaful Pun Boleh Buat Pelaburan

Dengan konsep seperti ini bukankah ianya menguntungkan Pencarum? Wang Pampasan dan Keuntungan Pelaburan boleh dikaut sekaligus oleh Pencarum!

Perlu diingatkan bahawa Pelan ini bukanlah produk pelaburan sepenuhnya seperti Unit Amanah. Sebahagian daripada jumlah caruman akan diperuntukkan untuk Perlindungan Takaful dan hanya sebahagian sahaja yang akan dilaburkan ke dalam Unit Pelaburan.

Untuk memahami dengan lebih lanjut pecahan caruman ini, mari kita lihat contoh dibawah:

Anggarkan jumlah caruman adalah sebanyak RM1,200.00 setahun, kemudian ditolak dengan Caj Yang Tidak Diperuntukkan RM684.00, ditolak dengan Caj Yang Diperuntukkan RM516.00, ditolak dengan Tabarru’ RM 391.32, ditolak dengan Caj Perkhidmatan RM72.00, ditolak dengan Caj Pengurusan Dana RM0 bersamaan dengan Nilai Tunai Terkumpul RM52.68.

Hanya jumlah dari Nilai Tunai Terkumpul yang akan dilaburkan kedalam Unit Pelaburan. Penolakan atau caj daripada Jumlah Caruman hanya dikenakan kepada pencarum pada Tahun sijil yang pertama sehingga keenam atau pertama sehingga kesepuluh.

Pecahan caruman ini boleh dilihat di bahagian Ilustrasi Jualan dan diterangkan secara mendalam di dalam Ilustrasi Manfaat yang menjadi kewajipan setiap Ejen Takaful untuk menerangkannya kepada pencarum.

Ilustrasi Jualan ini adalah dinamik di mana ianya berubah mengikut umur, jantina, pekerjaan dan faktor merokok atau tidak merokok.

Selain daripada itu, pencarum boleh memilih sama ada untuk memaksimumkan perlindungan di mana jumlah pelaburan akan berkurangan. Atau sebaliknya dengan meminimumkan kadar perlindungan dan memaksimumkan jumlah pelaburan.

Pelaburan Yang Rugi Boleh Menyebabkan Pelan Takaful Anda Luput

Sebagai pencarum yang bijak, Ilustrasi Manfaat ini harus diteliti sebaik-baiknya. Ini adalah kerana elemen simpanan di dalam Takaful bukanlah seperti Akaun Simpanan yang biasa dilakukan di bank.

Selain daripada jumlah simpanan berkemungkinan tidak sama dengan jumlah pulangan, pencarum juga harus sedar akan risiko kerugian. Perkara ini disebabkan oleh elemen turun naik pelaburan dan kegagalan membuat caruman secara berkala berdasarkan kepada mod caruman yang sepatutnya.

Kegagalan membuat caruman ini akan mengakibatkan Nilai Tunai Terkumpul terjejas.

Lebih buruk lagi jika Nilai Tunai Terkumpul tersebut akan menjadi kosong kerana Pengendali Takaful tetap akan menolak jumlah yang sepatutnya untuk Caj Perkhidmatan dan Tabarruq’.

Sekiranya jumlah penolakan ini kosong atau kurang daripada sepatutnya, Sijil Takaful akan melalui proses di panggil “Tempoh Tenggang” sebelum ianya menjadi luput.

Jika ini berlaku, Pencarum tidak boleh membuat tuntutan selagi sijil tersebut tidak dikuatkuasakan semula. Mekanisme ini adalah untuk memastikan kelangsungan perlindungan Takaful ke atas pencarum.

Tujuan Utama Takaful

Tujuan utama Takaful adalah untuk memberi perlindungan tetapi dalam masa yang sama ianya mempunyai fungsi sebagai simpanan. Pencarum akan menerima sejumlah wang apabila sampai tempoh matang Sijil Takaful tersebut.

Jadilah pencarum Takaful yang bijak dengan menilai keperluan anda, samada ingin mendapatkan perlindungan kewangan yang maksimum atau menyeimbangkan di antara Takaful dan Simpanan.

Tetapi anda harus ingat, sekiranya pelaburan di dalam pelan Takaful anda merugikan, pelan anda mungkin terbatal disebabkan perkara tersebut.

Kredit Gambar: Facebook Bank Negara Malaysia

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Industri Takaful Kekal Momentum Stabil Sebagai Rangkaian Keselamatan Sosial Utama

Kuala Lumpur, 10 Jun 2026 – Industri Takaful Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang berdaya tahan sepanjang tahun 2025 menerusi prestasi yang stabil, sekali gus mengukuhkan peranan utamanya dalam melindungi kestabilan kewangan rakyat. Mencerminkan trajektori pasca-pandemik yang semakin stabil dan asas industri yang jauh lebih besar, sektor ini berkembang sebanyak 4.73% pada 2025 dengan menjana jumlah sumbangan kasar RM16.38 bilion

Didorong oleh prestasi stabil ini, pengendali Takaful secara kolektif telah mengagihkan sebanyak RM10.61 bilion dalam bentuk manfaat kepada pemegang sijil pada 2025. Langkah ini memperkukuh semangat teras Takaful sebagai perlindungan yang diyakini ketika rakyat Malaysia amat memerlukannya. 

Segmen Takaful Keluarga terus mencatatkan pembayaran tertinggi sebanyak RM7.91 bilion, dengan tuntutan perubatan kekal sebagai komponen terbesar. Jumlah ini berada pada paras yang lebih tinggi berbanding RM7.89 bilion yang disalurkan tahun lalu, membuktikan peranannya yang berterusan sebagai jaringan keselamatan sosial. 

Sementara itu, segmen Takaful Am telah melunaskan tuntutan sebanyak RM2.70 bilion, iaitu peningkatan 16.88% daripada RM2.31 bilion pada 2024, berikutan tuntutan kenderaan bermotor kekal sebagai komponen terbesar daripada jumlah pembayaran. 

Di samping menyediakan perlindungan kewangan, industri Takaful terus menjana nilai bersama (shared value) menerusi sumbangan zakat sebanyak RM52.25 juta bagi menyokong agenda pembangunan komuniti. Selain itu, sejumlah RM1.30 bilion sumbangan lebihan serta manfaat kritikal telah diagihkan kepada peserta yang layak pada tahun 2025. Usaha ini menzahirkan prinsip teras Takaful yang berasaskan kerjasama mutlak, kesaksamaan serta tanggungjawab bersama.   

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan meraih manfaat daripada kelebihan unik perlindungan Takaful, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) terus mempergiat inisiatif jangkauan di seluruh negara di bawah agenda strategik Takaful4All dan Hijrah27. Menerusi program celik kewangan, aktiviti di kampus, kerjasama strategik, dan libat urus komuniti, usaha ini berjaya mendekati lebih 120,000 rakyat Malaysia merangkumi komuniti di bandar, luar bandar dan terpinggir. Langkah ini secara langsung memupuk daya tahan kewangan yang lebih kukuh serta meluaskan akses kepada perlindungan Takaful. 

Takaful Keluarga

Jumlah bayaran yang lebih besar pada tahun ini didorong oleh pertumbuhan kecil dalam bilangan sijil Takaful Keluarga berkuat kuasa. Sejumlah 861,956 sijil Takaful Keluarga baharu telah dikeluarkan sepanjang tahun, membawa kepada jumlah keseluruhan 6.74 juta sijil berkuat kuasa selepas mengambil kira faktor matang semula jadi, tamat tempoh, penggantian dan penamatan sijil. Berbanding 993,393 sijil Takaful Keluarga baharu yang dicatatkan pada 2024, kadar pertumbuhan ini menunjukkan pasaran perolehan perniagaan baharu yang lebih stabil kesan daripada persekitaran pasaran yang terus berkembang.   

Dari segi sumbangan, perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatatkan prestasi mendatar namun stabil pada RM9.74 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM10.00 juta berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, sumbangan perniagaan berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion pada tahun 2024, sebahagian besarnya disokong oleh produk produk jenis simpanan dalam segmen Perniagaan Takaful Keluarga Biasa Individu. 

Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam landskap perlindungan yang lebih luas, dengan sebahagian sumbangan perniagaan baharu meningkat sedikit kepada 39.44% berbanding 39.16% pada tahun 2024.  

Prestasi mampan segmen ini menunjukkan kualiti sumbangan yang semakin kukuh serta keyakinan tinggi pengguna terhadap penyelesaian perlindungan patuh Syariah. Lonjakan 15.34% bagi purata saiz kes kepada RM11,300 daripada RM9,797 membuktikan bahawa program jangkauan industri sebelum ini telah mula membuahkan hasil dalam bentuk komitmen perlindungan jangka panjang yang lebih berkualiti tinggi dan bukan sekadar bersandarkan pertumbuhan kuantiti. 

Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh usaha bersama industri untuk mendekati rakyat Malaysia. Ini membolehkan kadar penembusan Takaful Keluarga kekal stabil pada paras 19.63% pada tahun 2025 (2024: 19.57%), meskipun jumlah penduduk Malaysia meningkat kepada 34.33 juta (2024: 34.10 juta). Prestasi yang stabil ini menunjukkan peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap Takaful sebagai jaringan keselamatan sosial, hasil sokongan program jangkauan serta usaha kesedaran. Selain itu, penyediaan produk Mikrotakaful yang lebih mampu milik dan mudah diakses oleh komuniti oleh komuniti yang kurang mendapat liputan turut menyumbang kepada kestabilan kadar penembusan ini. 

Usaha industri juga mendorong lebih ramai peserta mengekalkan sijil mereka, yang menghasilkan kadar luput sijil lebih rendah biarpun dalam persekitaran inflasi. Peningkatan bilangan sijil berkuat kuasa (2025: 6.74 juta, 2024: 6.69 juta) jelas membuktikan perkembangan positif ini. 

Takaful Am

Prestasi positif segmen Takaful Am berterusan bagi tahun 2025, dengan sumbangan bertulis kasar meningkat 12.38% kepada RM6.64 bilion daripada RM5.91 bilion pada tahun 2024. 

Takaful kenderaan terus menjadi pemacu utama segmen ini dengan menyumbang komponen terbesar iaitu sekitar 69.00% daripada sumbangan bertulis kasar (RM4.59 bilion). Angka ini mencatatkan pengembangan sebanyak 12.57%, selari dengan fasa akhir rekod jualan kenderaan baharu negara yang mencecah paras tertinggi sebanyak 820,752 unit.  

Sehubungan itu, tuntutan kenderaan membentuk peratusan terbesar bagi pembayaran tuntutan Takaful Am. Pengendali Takaful telah membayar sebanyak RM2.40 bilion untuk tuntutan kenderaan, iaitu merangkumi 88.97% daripada jumlah tuntutan bersih keseluruhan.  

Perniagaan Takaful bukan kenderaan turut berkembang pada tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 11.95%. Takaful kebakaran merekodkan RM1.11 bilion dlaam sumbangan bertulis kasar, iaitu kenaikan 10.43% berbanding tahun 2024, manakala Takaful kemalangan diri meningkat kepada RM422.67 juta, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 8.93%. Prestasi positif segmen bukan kenderaan ini didorong oleh pengenalan produk khusus bagi menyokong PKS, selaras dengan komitmen industri dalam menghasilkan impak sosial, memperkasakan pembangunan

PKS, serta menyediakan penyelesaian inovatif demi memelihara ketahanan ekonomi. 

Bagi saluran pengedaran, saluran agensi terus mendominasi pasaran pada 2025 dengan pegangan 61.50% daripada sumbangan bertulis (2024: 62.67%). Ini diikuti oleh Bancatakaful sebagai penyumbang kedua terbesar sebanyak 13.37% (2024: 13.63%). Sementara itu, saluran perniagaan langsung serta platform dalam talian terus berkembang secara berfasa, masing-masing merekodkan 8.45% dan 6.73% (2024: 7.64% dan 6.58%).

Pengerusi Interim MTA, Encik Borhanudin Samsudin berkata, “Mandat kami adalah untuk memastikan penyelesaian Takaful sentiasa tersedia, mampu diakses dan berdaya tahan melalui penerapan perantaraan berasaskan nilai. Memandangkan asas industri semakin besar, usaha untuk mengekalkan pertumbuhan secara semula jadi menjadi lebih kompleks. Oleh itu, fokus kami kini beralih ke arah mengekalkan dan mewujudkan ekosistem Takaful yang berkembang selari dengan realiti ekonomi masyarakat Malaysia yang dinamik dan semakin mencabar.”

“Sasaran kami adalah bagi memperluas akses perlindungan kepada komuniti terpinggir dan memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan boleh dipercayai. Oleh itu, saya bersyukur kerana inisiatif peringkat industri untuk memantapkan landskap Takaful berjalan lancar, dengan lebih 60% daripada sasaran Hijrah27 telah dicapai setakat tahun 2025. Melangkah ke hadapan, perluasan program seperti Program Perlindungan iTEKAD bakal memainkan peranan kritikal bagi membantu golongan rentan, ini termasuk usahawan mikro dan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat.”

“Bagi tahun ini, sasaran kami adalah untuk merealisasikan pencapaian 80% daripada pelan strategik Hijrah27. Tumpuan utama bakal diberikan kepada aspek Kesedaran Takaful serta Pembangunan Bakat. Usaha ini akan dipacu dengan sokongan kuat melalui kerjasama baharu kami bersama Financial Industry Collective Outreach (FINCO), Asian Institute of Insurance (AII), dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF),” tambah beliau. 

Melangkah ke hadapan, MTA telah menggariskan tiga keutamaan bagi tahun 2026: memastikan perlindungan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluas perlaksanaan Hibah sebagai instrumen perlindungan harta, serta memacu perlaksanaan liberalisasi berfasa bagi sektor Takaful Am demi mengekalkan kestabilan pasaran. Bagi menyokong keutamaan ini, MTA akan memberi fokus kepada pengukuhan rangka kerja industri dan keselarasan regulasi, memperbanyak kolaborasi strategik di peringkat serantau mahupun global, serta meningkatkan tahap profesionalisme tenaga kerja agensi. Usaha ini bertujuan untuk memperkasakan daya tahan, daya saing, dan keupayaan industri dalam memenuhi keperluan peserta yang sentiasa berubah dalam persekitaran yang semakin kompleks.  “Tatkala berdepan dengan fasa yang penuh cabaran, jaringan keselamatan sosial yang kukuh menjadi satu keperluan mutlak dan bukannya sekadar pilihan. Di sebalik landskap pasaran yang lebih mengecil tahun ini, komitmen berterusan peserta untuk mengekalkan sijil mereka akan menjadi asas utama yang membolehkan pengendali Takaful menunaikan janji perlindungan bersama secara konsisten,” tambah Encik Borhanudin.