Kisah Musang & Cherry Merah, Iktibarnya Dalam Pelaburan Hartanah

Saya bukanlah seorang pencerita yang baik, tapi cerita yang dikongsikan oleh Penulis Mudahnya Beli Rumah ini membuatkan saya ingin bercerita semula kisah iktibar ini kepada kita semua. 

Kisah ini diambil dari Facebook Dr Azizul Azli Ahmad.  Khas untuk anak muda yang ingin memulakan pelaburan hartanah atau anda yang terbuka post ini.

Biarpun musang dikatakan sejenis haiwan mamalia yang tangkas dan aktif berburu, namun tidak semestinya musang adalah haiwan yang boleh dijadikan contoh teladan yang baik.  Kisah musang dan cherry merah ini menunjukkan sikap musang yang harus kita elakkan.

Kisah Musang Dan Cherry Merah

“Jangan dengar cakap musang ya”

Nasihat ustazah kepada kami semua.

Pada suatu petang, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan berguguran daun-daun pohon berhampiran musang. Tatkala berjalan sendirian di dalam hutan, musang terjumpa sebuah pokok cherry merah yang ranum dan cantik buahnya.

Apa lagi, musang menunggu di bawah pokok cherry dengan harapan buah cherry akan jatuh berguguran. Lebih mudahlah untuk musang mengambilnya.  Dia menunggu sepanjang hari di situ berbanding berusaha mendapatkannya sendiri.

Setelah lama menunggu di situ, dia cuba juga melompat mendapatkan buah cherry tetapi malangnya kakinya yang pendek tidak sampai untuk mendapatkannya. 

Musang sekali lagi datang pada esoknya untuk menanti buah cherry, namun masih tidak berguguran. Sehariannya hampa juga menanti tanpa ada hasil.  Dia terus berlalu pergi.

Buruknya, apabila setiap kali dia terserempak dengan kancil, tapir, babi hutan, badak sumatera dan seladang, dia akan mengatakan bahawa buah cherry tersebut tidak sedap dan berbahaya untuk mengelakkan mereka mengambil buah itu.

“Buah cherry dalam hutan itu aku tak makan sebab nak bagi yang lain rasa. Lagi pun tak sedap mana rasanya, jangan makan banyak-banyak, ia jadi pahit dan boleh beracun, ramai dah yang meninggal sebab makan buah tu.”

Itulah ayat yang digunakan musang untuk menakutkan haiwan-haiwan lain.  Motif musang berkata sedemikian adalah kerana dia tidak mahu haiwan lain mendapatkan buah cherry itu dan dia memburukkan sesuatu perkara kerana tidak berjaya mendapatkannya.

Kisah Berkait Rapat Dengan Hartanah

  • Jangan meremehkan sesuatu perkara sedangkan kita tidak pakar dan tidak ilmu dalam bidang tersebut.
  • Belajar dahulu dan usahalah dengan bersungguh-sungguh sebelum menyatakan sesuatu kesusahan.
  • Permintaan rumah takkan jatuh kerana ia adalah keperluan ramai termasuklah untuk generasi akan datang.
  • Beli rumah mengikut kesesuaian dengan gaji anda sahaja dan jangan layan pasaran ‘overvalue’.
  • Beli rumah dan pelaburan hartanah adalah untuk jangka masa panjang dan untuk anak-anak kita, bukanlah untuk kita kaya semata-mata.
  • Mulakan langkah pertam dengan beli rumah yang kecil dan sederhana daripada tidak memulakannya. Sewa sahaja tak akan memberi keuntungan kepada kita.
  • Kita perlu membuat simpanan dari sekarang dan jangan hanya menunggu seperti musang dan akhirnya rugi.

Semoga dapat mengambil iktibar daripada kisah musang dan cherry merah ini. Selamat maju jaya memiliki hartanah pertama dan seterusnya mengikut perancangan anda!

Rajin-rajinlah follow Facebook Dr Azizul Azli Ahmad untuk dapatkan tips-tips lain berkaitan hartanah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian