13 Transformasi Kampung Bharu Ke Bandar Moden Yang Perlu Anda Tahu

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan PKB, 99.9% pewaris dan pemilik tanah Kampung Bharu adalah warganegara Malaysia.

75.1% berada dalam lingkungan melebihi 50 tahun dan 52.6% pewaris atau pemilik tanah adalah golongan wanita.

Apa yang mengejutkan adalah 88% penduduk Kampung Bharu bersetuju tanah lot mereka dibangunkan semula oleh kerajaan berdasarkan tinjauan kaji selidik pada November 2018 sehingga Februari 2019.

Rekod terkini juga menunjukkan terdapat 5,382 pewaris dan pemilik tanah di Kampung Bharu setakat ini.

“Tahukah anda, transformasi Kampung Bharu akan memakan masa selama 20 tahun.”

Apa yang pasti, pewaris dan pemilik tanah telah mulai lelah selepas sekian lama drama demi drama bagi pembangunan semula tanah Kampung Bharu ini berlaku.

Sungguhpun banyak cakap-cakap orang kita yang mengatakan pembangunan ini bakal merugikan orang Melayu khususnya pewaris dan pemilik geran tanah di Kampung Bharu, tetapi hakikatnya Kampung Bharu memerlukan pembangunan segera!

Di antara sebab utama kenapa Kampung Bharu wajar dibangunkan semula adalah untuk:

  1. Memberi peluang kepada lebih ramai orang Melayu memiliki hartanah di pusat bandar Kuala Lumpur.
  2. Merealisasikan hasrat asal pembukaan Kampung Bharu sebagai penempatan masyarakat Melayu dalam lokasi primer di ibu kota Kuala Lumpur.
  3. Memelihara dan memulihara warisan, seni budaya Melayu.
  4. Menambah jumlah penduduk komuniti Melayu.

Jom kita tengok 13 transformasi Kampung Bharu ke bandar moden yang perlu anda tahu.

1. Ruang Awam Jalanan Raja Muda Musa

Laluan sedia ada dipenuhi lubang dan sesak dengan gerai-gerai haram dan tidak berlesen di sepanjang jalan tersebut, dan ianya menjadi faktor utama kesesakan lalu lintas.

Transformasi yang bakal dilaksanakan adalah menaiktaraf laluan tersebut dengan konkrit berkualiti tinggi, dan membina laluan kenderaan bebas daripada halangan pejalan kaki.

2. Padang Kampong Pindah

Penjenamaan semula padang tersebut bakal dilakukan dengan akses kemudahan seperti ruang rekreasi,  200 parkir kereta, 150 parkir berbumbung dan ruang niaga.

3. Food Street

Kebanyakan gerai makanan atau warung tidak teratur, menjadi punca kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan di Kampung Bharu.

Inisiatif yang bakal diambil adalah menyusun gerai makanan tersebut secara berunit di sepanjang Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang.

4. Unit Kediaman

Ketika ini, terdapat kurang lebih 4,500 unit kediaman di seluruh Kampung Bharu. Melalui transformasi ini, Kerajaan merancang untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 45,000 unit kediaman di Kampung Bharu.

50% kediaman adalah jenis mampu milik pada harga di bawah RM300,000. 30% lagi pada harga RM300,000 – RM500,000, 15% berharga RM500,000 – RM750,000 dan baki 5% mengikut harga pasaran hartanah semasa.

5. Ruang Perniagaan

Buat masa ini hanya terdapat kira-kira 1 juta kaki persegi ruang perniagaan di seluruh Kampung Bharu.

Menerusi transformasi ini, lebih 8 juta kaki persegi ruang perniagaan bakal dibina dengan 10% daripadanya terdiri daripada ruang komersil mampu milik.

6. Pusat Kesenian & Kebudayaan Melayu

Hari ini, Kampung Bharu tidak memiliki sebarang pusat kesenian & kebudayaan Melayu yang mempunyai pentas bagi persembahan dan pembelajaran seni kebudayaan Melayu.

Kelak, pentas budaya dan outdoor cinema akan dibina bagi persembahan dan pembelajaran seni tarian Melayu seperti zapin, inang, gamelan, silat dan sebagainya.

7. Kompleks Warisan

Hampir setiap negeri di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya satu kompleks warisan bagi tujuan mempromosikan barang hasil kraftangan tempatan kepada pelancong luar.

Menerusi transformasi ini, Kampung Bharu bakal mempunyai kompleks warisannya yang tersendiri dalam memasarkan hasil kraftangan dan seni masyarakat tempatan.

8. Taman Warisan Melayu

Di antara pembangunan lain yang bakal berlaku adalah pembinaan Taman Warisan Melayu sebagai ruang rekreasi dan riadah yang turut menempatkan replika rumah-rumah warisan Melayu di Kampung Bharu.

9. Sungai

Sistem saliran air sungai di Kampung Bharu akan direka bentuk semula dengan aliran air terbuka dengan ruang landskap awam seperti bandar-bandar mega seperti yang terdapat di Venice, Itali.

10. Menara Mercu Tanda

Bangunan setinggi 93 tingkat dengan reka bentuk lipatan serta sudut geometri samping dan tengkolok tradisi Melayu akan dibina sebagai mercu tanda terbaru di Kampung Bharu kelak.

11. Saloma Link

Merupakan laluan yang bakal mempercepatkan tempoh perjalanan dari Kampung Baru ke KLCC daripada 40 minit kepada 15 minit sahaja, yang turut dilengkapi laluan berbasikal.

Selain itu, landskap di Saloma Link ini akan menjadi tarikan ikonik buat pelancong dengan ruang swafoto berlatarbelakangkan KLCC dan pencahayaan skrin LED berbumbung di sepanjang Saloma Link.

12. Jaringan Aksesibiliti

Buat masa ini, untuk masuk ke Kampung Baru, anda perlu menggunakan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Razak.

Selepas ini, terdapat tambahan dua lagi laluan bagi akses ke Kampung Baru iaitu menerusi AKLEH dan Lorong Raja Muda Abdul Aziz.

13. Struktur Jalan Dalaman Kampung Bharu

Jalan sedia ada di Kampung Bharu adalah sempit dan tidak mengikut piawaian, bahkan lebar jalan dalaman adalah kira-kira 20 kaki ke 30 kaki sahaja.

Penstrukturan semula jalan dalaman akan menaiktaraf lebar jalan dalaman sekurang-kurangnya 50 kaki  dan menaiktaraf jalan utama seperti Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Raja Uda.

Kampung Bharu Dah Berusia Lebih Seabad

Diam tak diam, usia Kampung Bharu telah memasuki 119 tahun. Kemelut demi kemelut berlaku bagi pembangunan Kampung Bharu.

Kampung Bharu akan kekal menjadi lokasi paling ideal untuk sebarang pelaburan hartanah kerana lokasinya yang kaya dengan booster hartanah, selain daripada faktor tanah warisan.

Semoga transformasi pembangunan ini mampu dilaksanakan sekaligus meningkatkan pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera di Malaysia bukan sahaja dalam aspek hartanah kediaman,  tetapi juga hartanah komersil dan hartanah perniagaan.

Sumber Rujukan: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

Ditulis oleh Mehmed Aezhad, beliau merupakan seorang Digital Marketing Specialist yang berpengalaman luas dalam bidang pemasaran digital hartanah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian