High Frequency Trading: Perlumbaan Mikrosaat

Kemajuan teknologi hari ini membolehkan penggantian tenaga manusia dengan penggunaan robotik di dalam sektor perindustrian, bagi menjimatkan masa dan kos. Begitu juga halnya dengan industri kewangan, tugas pengurus dana kini boleh digantikan dengan sebuah komputer berkemampuan tinggi yang diprogram dengan algoritma, bagi membuat keputusan mirip seorang pengurus dana.

Algoritma dicipta dengan faktor-faktor yang berbeza mengikut objektif yang ditetapkan. Dengan penggunaan internet berkelajuan tinggi, waktu yang diambil bagi komputer tersebut membuat keputusan adalah lebih singkat berbanding manusia biasa.

Gabungan penggunaan algoritma dan kelajuan internet membolehkan syarikat pengurus dana membuat keuntungan dengan membeli dan menjual saham dalam masa kurang daripada sesaat, yang juga dikenali sebagai High Frequency Trading (HFT).

Syarikat broker yang menggunakan platform HFT pada kebiasannya menggunakan internet berkelajuan tinggi dan mempunyai lokasi pejabat yang berhampiran dengan Bursa bagi memastikan order yang dihantar mengambil masa yang lebih singkat untuk sampai ke Bursa berbanding syarikat broker lain.

HFT akan bertindak sebagai penjual apabila algoritma tersebut mengesan terdapatnya pembelian yang besar dan menjadi pembeli apabila terdapat aktiviti penjualan yang besar.

Selepas krisis kewangan 2008, New York Stock Exchange (NYSE) memperkenalkan program Supplemental Liquidity Provider (SLP) untuk meningkatkan liquidity di dalam pasaran.

NYSE memberi insentif kepada syarikat-syarikat yang terlibat seperti Tradebot Systems Inc, Virtu Financial dan Citadel Securities yang menggunakan platform HFT. Walaupun margin keuntungan bagi HFT kecil, jumlah dagangan harian yang besar dapat memberikan keuntungan yang lumayan.

Namun begitu, kewujudan HFT dikatakan lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Kehadiran HFT dikatakan tidak adil bagi pelabur-pelabur lain yang tidak mempunyai keupayaan untuk menyamai kelajuan mereka.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan HFT hanya menyumbang kepada liquidity sewaktu pasaran stabil dan tidak membantu ketika pasaran teruk.

Pada tahun 2013, Itali merupakan negara pertama yang mengenakan cukai ke atas HFT. Sebanyak 0.02% cukai akan dikenakan bagi setiap perubahan atau pun pembatalan order yang dilakukan di bawah 0.5 saat.

Hal ini dilakukan untuk mengelakkan pengguna platform HFT memanipulasi harga dengan meletakkan fake order bagi menarik minat pedagang dan pelabur lain.

Di Amerika Syarikat, US Securities Exchange Commission (SEC) meluluskan Investors Exchange (IEX) pada tahun 2016. IEX mengutamakan keadilan dan ketelusan dengan meletakkan speed bump (penangguhan masa) pada setiap order bagi mengurangkan kelebihan HFT.

Kebelakangan ini, transaksi yang dilakukan menggunakan platform HFT dilaporkan semakin berkurangan. Ini disebabkan peningkatan kos operasi seperti penyelenggaraan dan cukai bagi HFT, yang tidak mampu ditampung dengan keuntungan yang berkurangan di pasaran saham.

Syarikat HFT kini mula mencari peluang di pasaran yang kurang dikawal selia oleh pihak berkuasa, seperti pasaran mata wang kripto.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

FCPO: Garis SMA 50 Hari Bertindak Sebagai Rintangan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami tekanan jualan yang kuat pada hari Khamis apabila ia menurun MYR125 untuk ditutup pada harga lebih rendah sebanyak MYR4,458. Komoditi ini memulakan sesi dagangan semalam pada paras MYR4,576. Kemudian, ia mencapai paras tertinggi intrahari pada MYR4,609 dan paras terendah intrahari pada MYR4,455 sebelum menutup dagangan pada harga MYR4,458. Corak lilin menurun yang panjang mengesahkan bahawa garis SMA 50 hari sekarang bertindak sebagai paras rintangan atas.

Hal ini menunjukkan bahawa pedagang yang meramalkan penurunan kini mempunyai kelebihan teknikal – dengan menyasar untuk menguji paras sokongan MYR4,390. Penembusan menurun pada paras sokongan akan menyambungkan pergerakan ke bawah ke arah paras MYR4,300. Memandangkan rentak penurunan menjadi semakin rancak, kami terus berpegang pada bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Bagi pergerakan ke atas, paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,840.