8 Salah Faham Pemilik Perniagaan Enterprise Berkaitan Cukai

Keuntungan atau kerugian perniagaan wajib dan perlu dilakukan setiap tahun. Pembaca yang memiliki perniagaan Enterprise, tahukan pendapatan perniagaan perlu dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan Borang B? Pendapatan hasil dari bisnes Enterprise dikira cukai bawah nama pemilik.

Borang B – pendapatan di bawah Sek 4(a) – 4(f) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan diisi oleh individu yang mempunyai punca pendapatan perniagaan (tunggal) atau perkongsian.

Sepanjang tempoh 10 tahun dalam kerjaya sebagai juruaudit, saya dapati ada 7 salah faham utama berkaitan cukai di kalangan pemilik perniagaan Enterprise.

1. Bayar Zakat Banyak, Tak Perlu Hantar Borang Cukai

Definisi Zakat Perniagaan ; zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan, sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

Memang ramai peniaga terutamanya yang beragama Islam lebih sanggup membayar zakat yang banyak dari membayar cukai. Tapi cukai dengan zakat tak sama. Zakat wajib untuk umat Islam. Cukai undang-undang dalam negara. Zakat perniagaan boleh mengurangkan pembayaran cukai, namun masih perlu hantar borang taksiran dulu.

Tidak buat taksiran cukai (tak hantar borang) boleh dikenakan tindakan undang-undang. Walau bayar zakat banyak mana pun.

2. Perniagaan rugi, Tak Perlu Hantar Borang Cukai

Rugi dalam perniagaan perkara biasa. Kena ingat perniagaan kita untung atau rugi tetap kena hantar borang (Borang B). Malahan kalau perniagaan rugi, lagiiii la kena hantar. Rugi kalau tak hantar sebab rugi tahun ini boleh ditolak dengan untung masa hadapan.

3. Berniaga Online, Tak Perlu Daftar SSM & LHDN

Perniagaan online atau offline, ia tetap sejenis perniagaan. Semua perniagaan perlu berdaftar. Dropship pun sama. Kalau rajin update status gambar parcel poslaju menggunung dengan caption ‘Syukurrr, stok baru sampai, dah 5000 orang order!’, memang saja la kalau tak laporkan pendapatan tu.

4. Bila Daftar Dengan LHDN Nanti Kena Bayar Cukai

Selepas berdaftar di LHDN, kita bertanggungjawab melaporkan pendapatan perniagaan, belum tentu kena bayar cukai.

Ulang sekali lagi.

Lapor pendapatan tak semestinya kena cukai.

Lapor pendapatan tak semestinya kena cukai.

Lapor pendapatan tak semestinya kena cukai.

Macam dalam subtajuk no 2 di atas, kalau perniagaan rugi, kita tak perlu bayar cukai. Malahan rugi tersebut boleh dibawa ke tahun hadapan untuk ditolak dari untung tahun depan.

5. Beli Kereta Boleh Kurangkan Cukai – Mari Beli Ferrari / BMW / Mercedes / Audi!

Elaun Modal dibenarkan kepada orang yang melakukan perbelanjaan yang layak (PYL) ke atas aset yang digunakan untuk tujuan perniagaannya dan dituntut secara bertulis dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan. Maknanya kalau kita beli kereta untuk kegunaan perniagaan, kita boleh tuntut Elaun Modal.

Untuk kenderaan baru yang bernilai kurang dari RM150,000, had yang dibenarkan ialah RM100,000. Jika harga kenderaan lebih dari RM150,000, amaun yang dibenarkan hanyalah RM50,000.

Maksudnya jika beli Audi A4 bernilai RM259,900, amaun yang dibenarkan untuk ditolak cukai cuma RM50,000 sahaja. Sebab ia bernilai lebih dari RM150,000. Jadi dari beli kereta besar seperti BMW, Mercedes, Audi dan seumpamanya lebih baik beli Honda atau Toyota.

Takdelah kata beli kereta mahal boleh kurangkan cukai banyak sangat.

6. Semua Belanja Pemilik Perniagaan Boleh Claim

Habis segala perbelanjaan ‘claim’ sebagai belanja perniagaan. Beli susu anak, pampers pun nak masuk dalam akaun perniagaan. Ubah suai rumah pun nak masuk akaun perniagaan.

Tak semua perbelanjaan boleh dituntut sebagai belanja yang layak untuk perniagaan. Hanya yang berkaitan secara langsung dalam perniagaan sahaja. Selain daripada itu tidak dibenarkan.

7. Kena ‘Kejar’ Jika Beli Kereta Atau Rumah Cash

Mungkin juga LHDN akan kejar (jika mereka ada masa). Tapi jika ada bukti sumber wang tu dari mana, tak perlu risau.

Contohnya, tahun lepas ada keuntungan bersih RM150,000. Selepas buat pengiraan dan hantar Borang B, perlu bayar cukai dalam RM30,000. Selepas bayar ada untung bersih RM120,000.

Tengok pula dalam aliran tunai masih ada tunai RM100,000 selepas tolak kos operasi. Ada pula kawan terdesak nak jual rumah, RM90,000. Belilah rumah guna tunai RM90,000.

Sudah tentulah tiada masalah. Sebab cukai telah dibayar, dan untung memang lebih dari nilai rumah itu. Cuma kenalah fikir mengenai perniagaan. Kalau dah 90% duit untung buat beli rumah, macam mana nak kembangkan perniagaan?

Harap ini sikit sebanyak dapat membantu pembaca yang bisnes kencang untuk urus pendapatan perniagaan.

8. Cukai Bukan Dikenakan Pada Berapa Banyak Duit Masuk Dalam Bank

Jadi tak perlu buka banyak-banyak akaun bank dengan niat nak sorok duit dari bank bisnes ke akaun bank lain.

Cukai dikenakan atas untung bisnes selepas tolak belanja perniagaan, elaun modal dan rugi dari tahun terdahulu. Pemilik Enterprise juga layak mendapat tolakan pelepasan cukai individu yang sama macam orang makan gaji dapat seperti pelepasan cukai diri sendiri, pasangan, anak, insurans/takaful, pelepasan gaya hidup dan lain-lain.

Sumber asal artikel ini merupakan perkongsian daripada : Redzuan Bakar

Bila sebut sahaja LHDN, rata-rata akan tersentap mendengar 4 huruf berbisa ini yang langsung berkait rapat dengan cukai. Topik cukai bukanlah satu isu yang asyik dibincangkan. Malah, mereka yang bukan dari golongan pembayar cukai akan cepat-cepat tutup telinga dan melarikan diri dari isu panas ini.

Sebenarnya, isu cukai adalah topik yang menyeronokkan dan patut diambil berat oleh semua individu yang menjana pendapatan lebih dari RM36,000 SETAHUN, lebih-lebih lagi usahawan dan mereka yang memiliki perniagaan. Kurang daripada itu, anda sebenarnya tak perlu takut.

Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.