
KUALA LUMPUR 9 April – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan penglibatan 10 syarikat gergasi yang melakukan pengelakan cukai melampau dengan dua daripada syarikat berkenaan milik dua tokoh bergelar Tan Sri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata, tindakan telah pun diambil terhadap syarikat-syarikat terlibat dengan menghentikan semua pembayaran balik, selain diarahkan membayar jumlah cukai sebenar serta dikenakan penalti berjumlah RM800 juta.
Dalam masa yang sama, katanya, LHDN sedang memburu sekurang-kurangnya 50 lagi syarikat korporat terkemuka di negara ini dalam sektor telekomunikasi, hartanah dan perladangan yang dikesan turut melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut.
‘‘Daripada jumlah itu, 20 syarikat sudah dikenal pasti. Mereka perlu membayar jumlah cukai sebenar termasuk penalti berjumlah RM1 bilion,’’ katanya.
Sabin juga memberitahu, pihaknya sedang menyiasat 6 firma atau ejen cukai yang berpangkalan di negara ini kerana didapati bersekongkol dengan syarikat-syarikat berkenaan dalam merancang dan menyediakan struktur pengelakan cukai sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada negara.
‘‘Kes-kes pengelakan cukai melibatkan perancangan cukai secara agresif oleh syarikat-syarikat tertentu di negara ini sememangnya wujud. LHDN sentiasa memberi perhatian serius kepada perkembangan ini dan tidak akan berkompromi dalam menangani isu ini.
‘‘Kita sedang memerhati gelagat mereka (ejen cukai yang bersubahat) berdasarkan kes-kes yang telah kami audit dan siasat, selain dalam peringkat mengumpul bukti bagi membolehkan tindakan diambil terhadap firma-firma yang memberikan nasihat tidak bertauliah atau menyalahi undang-undang,” katanya.
Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya mendedahkan kegiatan 10 syarikat yang didapati cuba mengelak daripada membayar cukai walaupun sudah mengaut keuntungan berbilion ringgit.
Melalui tindakan itu, mereka akan dikategorikan sama ada perlu membayar cukai dalam jumlah yang kecil atau tidak perlu membayar cukai, malah melalui taktik itu, syarikat tersebut layak menerima bayaran balik.
Akibat perbuatan tersebut, kerajaan ketirisan hasil negara mencecah RM500 juta pada tahun lalu manakala pada suku pertama tahun ini, negara kehilangan sebanyak RM300 juta apabila syarikat-syarikat berkenaan merancang tindakan itu menerusi manipulasi tuntutan faedah, pinjaman dalam kumpulan syarikat, urus niaga syarikat luar pesisir atau tuntutan insentif yang tidak layak dituntut.
Mengulas lanjut, Sabin berkata, ejen cukai yang didapati bersalah melakukan jenayah itu akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu membantu atau memberi nasihat yang menyebabkan seseorang pembayar cukai lain membayar jumlah cukai kurang daripada sepatutnya.
Katanya, di bawah peruntukan tersebut, ejen berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
‘‘Selain daripada tindakan pendakwaan, LHDN juga boleh mempertimbangkan untuk menarik balik atau tidak melanjutkan kelulusan sebagai ejen cukai di bawah Seksyen 153 akta berkenaan.
Namun, kata Sabin, setakat hari ini masih belum ada ejen cukai yang didakwa kerana fokus kini diberikan untuk mendapatkan kembali jumlah cukai yang hilang akibat pelaporan cukai yang tidak tepat. ‘‘Walau bagaimanapun, selaras dengan perkembangan dan penemuan terkini, kami sedang memantau dan mengumpul maklumat serta bukti lengkap untuk mendakwa ejen cukai yang terlibat,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia