Top 5 Pilihan Pelabur Hartanah Antarabangsa di Asia Pasifik

Pasaran hartanah di Asia dilihat semakin bercambah dengan penawaran pelbagai jenis hartanah dan fasiliti daripada negara-negara di Asia khususnya Asia Tenggara.

Hartanah jenis ruang pejabat yang sejak sekian lama telah menjadi pilihan pelabur asing untuk melabur di Asia, kini dilihat mula berkurangan dari segi permintaannya. 

Akan tetapi, dengan peningkatan e-dagang menerusi platform Lazada, Shopee, Zalora dan sebagainya; ruang perindustrian dan pengedaran telah menjadi semakin popular.

Hari demi hari, permintaan hartanah bagi menampung operasi logistik telah berkembang dan menunjukkan potensi yang baik untuk beberapa tahun ke hadapan.

Sesuatu yang mengejutkan apabila kebanyakan pelabur kini mula cenderung dan berminat untuk memasuki pasaran hartanah di India.

Hal ini kerana, penawaran ruang runcit, perindustrian dan logistik di India lebih tinggi berbanding pusat membeli belah dan ruang pejabat atau co-working space.

Berdasarkan kajian berkenaan Kemunculan Pasaran Hartanah Baru Asia Pasifik 2019 yang dikeluarkan PwC baru – baru ini, terdapat 22 bandar yang dilihat sebagai prospek untuk pelaburan dan pembangunan di Asia Pasifik.

Melbourne dan Sydney muncul kelompok lima teratas dalam kedua-dua segmen pelaburan dan pembangunan.

Kuala Lumpur berada di kedudukan ke 22 daripada 22 negara dalam segmen pelaburan di bawah Manila, Auckland dan Taipei. Bagi segmen pembangunan juga Kuala Lumpur menduduki kedudukan tercorot.

Ekonomi Taiwan menurun kepada 2.1% daripada 2.6% pada 2018 dan masih dijangka turun apabila tekanan perdagangan luar berterusan sekaligus menjejaskan reputasinya di mata pemerhati dan pelabur asing.

Untuk pelaburan, prospek bandar yang terbaik dilihat pemerhati dan pelabur adalah Melbourne, Singapore, Sydney, Tokyo, Osaka, Shanghai dan Ho Chi Minh City.

Manakala untuk pembangunan pula Melbourne, Ho Chi Minh City, Sydney, Tokyo, Shanghai, Osaka dan Shenzen dinilai sebagai prospek bandar terbaik.

Top 5 Pilihan Pelabur Hartanah Antarabangsa

1. Melbourne, Australia

Melbourne yang kini menjadi pilihan pelabur hartanah menggantikan Sydney kerana wujudnya bekalan ruang pejabat yang banyak untuk pelaburan.

Penawaran ruang perindustrian, peruncitan dan logistik di Melbourne juga meningkat sehingga 5.5% pada 2018 menjadikan Melbourne lokasi pilihan nombor satu pelabur untuk pelaburan dan pembangunan.

Untuk pasaran selain hartanah kediaman, Melbourne menjadi pilihan kerana wujud bekalan hartanah yang baik dan terkawal dan pertumbuhan permintaan sewaan terhadap unit komersial juga meningkat.

2. Singapura

Singapura yang menduduki tempat kedua pada 2019 berbanding 21 pada 2017 telah melakukan beberapa tindakan proaktif dalam menggalakkan aktiviti pelaburan hartanah khususnya ruang pejabat dan runcit.

Singapura menyaksikan permintaan terhadap sewaan unit pejabat, co working space meningkat secara mendadak daripada firma luar negara.

Akan tetapi, hartanah kediaman tetap bertahan sungguhpun pemaju dan pembeli berjaga – jaga akibat impak dari polisi kerajaan yang meningkatkan cukai hartanah pada 2018.

Untuk rekod, Singapura menghadapi isu lambakan hartanah logistik tetapi semakin pulih dengan peningkatan pelabur semenjak 2018.

3. Sydney, Australia

Permintaan sewaan yang tinggi untuk hartanah kediaman dan komersial menjadikan Sydney antara prospek pilihan pelabur asing kerana pulangan hartanah yang tinggi.

Sydney merupakan pilihan utama pelabur tempatan dan asing menjadikan harga hartanah di sini adalah lebih tinggi berbanding kawasan lain termasuk Melbourne.

Pertumbuhan minat dari pelabur ini terjadi kerana Sydney menjadi lokasi pilihan banyak syarikat gergasi seperti Amazon, Commonwealth Bnak, Allianz dan Caltex.

Sungguhpun harga hartanah kediaman telah menurun sejak beberapa tahun yang lalu, harga rumah di Sydney kekal antara yang termahal di dunia kerana migrasi warga asing ke Sydney.

4. Tokyo, Jepun

Dengan penawaran menarik dari institusi kewangan dan bank, kadar faedah yang rendah dan lambakan hartanah yang ideal untuk pelaburan menjadikan Tokyo pilihan ke empat pelabur asing di rantau Asia Pasifik.

Hartanah logistik di Tokyo adalah lebih popular berbanding hartanah kediaman di kalangan pelabur asing.

Trend pelabur asing pada 2019 cenderung ke arah hartanah perhotelan di Tokyo kerana Olimpik 2020 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Wujud pembelian hotel secara agresif dan pukal di Tokyo dan juga pembangunan hotel.

5. Shanghai, China

Ramai pelabur asing yang bertindak melabur atau membangunkan hartanah di Shanghai kerana melihat Shanghai merupakan lokasi yang sesuai dalam mempelbagaikan portfolio mereka.

Faktor lain adalah kerana Shanghai merupakan bandar pelabuhan dan menjadi pintu utama sebarang pelaburan asing di China.

Terdapat sekatan dan polisi perbankan yang ketat untuk pelbagai sektor termasuk hartanah pada 2018 kerana Perang Perdagangan di antara China dan US.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.