10 Jenama Malaysia Yang Paling Bernilai Bagi Tahun 2019

Bila sebut pasal jenama, mesti bermacam-macam nama yang bermain di fikiran. Apple, Samsung, Google, Facebook, Huawei, Xiaomi dan banyak lagi.

Namun itu semua nama-nama jenama antarabangsa, banyak lagi jenama Malaysia yang terkenal di seluruh dunia.

Jom kita berkenalan dengan top 10 jenama Malaysia yang paling bernilai bagi tahun 2019.

1. Petronas

Nama yang paling terkenal dan bernilai di Malaysia, siapa lagi kalau bukan Petronas. Isi minyak jenama Petronas. Pergi KLCC ada Menara Berkembar Petronas. Minat sukan permotoran, kita ada Petronas Grand Prix.

Memang kita tak boleh lari daripada melihat jenama Petronas di mana-mana kita pergi.

Bagi tahun 2019, Petronas berada di kedudukan #158 dalam syarikat terbesar dunia menurut Fortune Global 500.

2. Maybank

Merupakan bank yang paling bernilai, di antara 3 bank yang tersenarai di dalam top 10 ini. Gaji masuk dalam akaun Maybank. Nak transfer duit, guna Maybank2U. Nak shopping, swipe guna kad kredit Maybank.

Kalau diikutkan daripada segi Market Capitalization di pasaran saham, Maybank adalah yang paling ‘mahal’ dengan hampir RM100 bilion nilainya.

Memang patut Maybank berada di kedudukan #2 pun.

3. Genting

Siapa yang tak pernah pergi ke Genting Highlands untuk bersiar-siar, naik cable car. Tak lupa juga untuk membeli belah barangan branded di Genting Highlands Premium Outlets.

Tak lengkap kalau tak bermain di Kota Keriangan sambil menikmati cuaca sejuk.

Genting juga terkenal sebagai tempat perjudian, korang jangan pula cuba-cuba nak masuk.

4. Sime Darby

Kalau nak tahu, Sime Darby mempunyai banyak cabang perniagaan di Malaysia. Dalam industri permotoran, Sime Darby menjual kereta BMW, Jaguar, Land Rover, Porsche, Ford dan Hyundai.

Yang kita dok shopping di pasaraya Tesco, rupa-rupanya Sime Darby punya juga. Kalau sakit, boleh ke Hospital Ramsay Sime Darby di Subang Jaya.

Itu belum termasuk lagi Sime Darby Property yang banyak membangunkan projek-projek hartanah dan Sime Darby Plantation yang banyak menguruskan ladang-ladang di seluruh Malaysia.

5. Tenaga Nasional

Setiap rumah memerlukan tenaga elektrik, siapa lagi kalau bukan Tenaga Nasional Berhad atau TNB yang bekalkan tenaga elektrik tersebut.

Takde TNB, tak bercahaya rumah kita pula nanti.

6. Public Bank

Seterusnya kita ada Public Bank yang merupakan bank kedua terbesar di Malaysia. Cukup popular di kalangan bukan Bumiputera bagi mendapatkan perkhidmatan pinjaman, sewa beli kenderaan, kad kredit dan bermacam-macam lagi.

7. CIMB Bank

Bank ketiga dalam senarai adalah CIMB. Platform CIMB Clicks memang cukup popular, pastinya ramai yang menggunakannya.

8. Digi

Dalam bidang telekomunikasi pula, kita ada Digi dalam senarai. Mereka cukup terkenal dengan promosi telefon + pelan yang membuatkan orang ramai suka untuk upgrade telefon setiap setahun sekali.

9. Maxis

Kalau duduk di bandar-bandar besar, Maxis mempunyai di antara penyedia perkhidmatan dengan liputan yang terbaik.

Mungkin tak ‘murah’ macam pelan-pelan daripada telco lain, namun memang berkualiti dan jarang-jarang sekali network down.

10. Air Asia

“Now everyone can fly”. Slogan yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Pelopor penerbangan dengan tambang murah, siapa yang tak kenal dengan Tan Sri Dr. Anthony Francis Fernandes yang merupakan pengasas syarikat Air Asia ni.

Sumber Rujukan: Statista

Yang terakhir sekali, tahu tak anda boleh jadi pemilik kesemua 10 syarikat di atas? Ya, anda boleh kerana mereka tersenarai di Bursa Malaysia. Lepas ni boleh berlagak dengan member-member, akulah owner Petronas, TNB dan Maxis.

Tapi saham Maybank, Genting, Public Bank dan CIMB Bank tak patuh syariah ya, jangan pergi beli pula.

Nak tahu lagi ranking lain? Jemput baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.