5 Sebab Kenapa Takaful Untuk Wanita Lebih Mahal

Apabila berhadapan dengan pelbagai ragam klien, ada yang bising dan marah-marah kepada ejen kenapa produk takaful wanita lebih mahal berbanding lelaki.

Rileks, benda ni bersebab. Wanita yang berusia 30-an dan ke atas lebih berisiko tinggi menghidapi pelbagai penyakit.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi pendedahan kepada semua wanita mengenai penting menjalani kehidupan sihat. Ini merujuk kepada kajian pertubuhan berkenaan yang melaporkan beberapa isu utama berkaitan kesihatan golongan wanita

Kita ambil satu saja iaitu penyakit.

1. Kanser

Photo by Marcelo Leal on Unsplash

Statistik global menunjukkan hampir setengah juta wanita maut akibat kanser serviks, manakala setengah juta lagi maut akibat kanser akibat kanser payudara. Mengikut pihak WHO, 1 daripada 6 orang meninggal akibat daripada kanser:

Paru-paru (2.09 juta kes)
Payudara (2.09 juta kes)
Usus (1.80 juta kes)
Prostat (1.28 juta kes)
Kanser kulit (non-melanoma) (1.04 juta kes)
Perut (1.03 juta kes)

Faktor lain yang menyebabkan takaful wanita lebih mahal adalah:

2. Umur

Semakin meningkat umur seorang wanita, semakin mereka terdedah dengan pelbagai penyakit. Ya, beruntung juga bagi wanita bekerja yang dapat perlindungan takaful dari syarikat namun, syarikat tidak akan sayang anda jika anda menghidapi penyakit atau masalah keluarga yang lain.

Maka, penting juga wanita memiliki takaful perubatan sendiri sementara masih muda. Seeloknya sebelum usia 30.

3. Jenis Pekerjaan

Jenis pekerjaan yang terdedah kepada kemalangan juga mencarum lebih sedikit berbanding kerja kurang berisiko. Kerja seperti polis, tentera, di lokasi pembinaan, pelantar minyak dan juga pemandu.

4. Penyakit Sedia Ada

Sebab itu apabila ingin memohon takaful, ejen akan meminta berat badan dan ukuran tinggi kerana jika BMI anda melebihi tahap normal, pihak takaful berhak menolak permohonan anda kerana risiko bagi mereka yang melebihi berat badan adalah tinggi untuk mendapat penyakit.

Boleh semak dari link ini: BMI Calculator (Metric)

Penyakit sedia ada tidak akan ditanggung pihak takaful atau penyakit yang akan terjadi berkaitan dengan penyakit sedia ada juga kemungkinan besar takaful tidak akan tanggung.

5. Gaya Hidup

Jika wanita merokok dan meminum alkohol juga mempengaruhi bayaran takaful yang lebih tinggi.

Semua operator takaful mensyaratkan tempoh menunggu selama 120 hari sebelum layak untuk terima kemudahan takaful.

Bagi kemalangan serta merta pihak takaful akan tanggung selepas polisi anda lulus (inforce).

Perlu diingatkan juga bagi pemegang kad perubatan standalone, jangan sesekali tidak bayar dan missed out payment sebulan, kerana ia boleh lapsed dan ia menyukarkan diri anda sendiri. Bila dah lapsed dan katakan anda sambung bayar, maka polisi tadi akan bermula baru dan perlu tunggu semula 120 hari.

Apabila sudah mula mencarum, ia adalah komitmen jangka panjang sehingga umur 60 tahun atau 80 tahun. Jika pada usia 27 tahun sudah mencarum RM180 setahun, ia boleh kekal sama (bergantung kepada polisi syarikat takaful masing-masing) sampai usia tua.

Bayangkan pada usia 55 tahun baru nak ambil, berapa yang perlu dibayar?

Ia boleh mencecah RM600-RM700 sebulan! Di mana pada usia persaraan itu kita boleh fokus beribadah dan lebih banyak berehat.

Alternatif lain, hospital kerajaan adalah pilihan lain yang ada tetapi mohon jangan kecam pihak mereka kerana ramai yang perlu menunggu untuk dapatkan rawatan.

Pilihan di tangan masing-masing. Kita hanya berdoa dan berusaha dan selebihnya tawakal dengan apa yang terjadi.

Wanita, wujudkan sendiri perlindungan diri kerana peranan anda besar dalam institusi kekeluargaan, pekerjaan, komuniti dan masyarakat.

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan di sebuah institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu

Nak tahu lebih lanjut mengenai hibah dan takaful, klik Let’s Talk di sini.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Industri Takaful Kekal Momentum Stabil Sebagai Rangkaian Keselamatan Sosial Utama

Kuala Lumpur, 10 Jun 2026 – Industri Takaful Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan yang berdaya tahan sepanjang tahun 2025 menerusi prestasi yang stabil, sekali gus mengukuhkan peranan utamanya dalam melindungi kestabilan kewangan rakyat. Mencerminkan trajektori pasca-pandemik yang semakin stabil dan asas industri yang jauh lebih besar, sektor ini berkembang sebanyak 4.73% pada 2025 dengan menjana jumlah sumbangan kasar RM16.38 bilion

Didorong oleh prestasi stabil ini, pengendali Takaful secara kolektif telah mengagihkan sebanyak RM10.61 bilion dalam bentuk manfaat kepada pemegang sijil pada 2025. Langkah ini memperkukuh semangat teras Takaful sebagai perlindungan yang diyakini ketika rakyat Malaysia amat memerlukannya. 

Segmen Takaful Keluarga terus mencatatkan pembayaran tertinggi sebanyak RM7.91 bilion, dengan tuntutan perubatan kekal sebagai komponen terbesar. Jumlah ini berada pada paras yang lebih tinggi berbanding RM7.89 bilion yang disalurkan tahun lalu, membuktikan peranannya yang berterusan sebagai jaringan keselamatan sosial. 

Sementara itu, segmen Takaful Am telah melunaskan tuntutan sebanyak RM2.70 bilion, iaitu peningkatan 16.88% daripada RM2.31 bilion pada 2024, berikutan tuntutan kenderaan bermotor kekal sebagai komponen terbesar daripada jumlah pembayaran. 

Di samping menyediakan perlindungan kewangan, industri Takaful terus menjana nilai bersama (shared value) menerusi sumbangan zakat sebanyak RM52.25 juta bagi menyokong agenda pembangunan komuniti. Selain itu, sejumlah RM1.30 bilion sumbangan lebihan serta manfaat kritikal telah diagihkan kepada peserta yang layak pada tahun 2025. Usaha ini menzahirkan prinsip teras Takaful yang berasaskan kerjasama mutlak, kesaksamaan serta tanggungjawab bersama.   

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan meraih manfaat daripada kelebihan unik perlindungan Takaful, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) terus mempergiat inisiatif jangkauan di seluruh negara di bawah agenda strategik Takaful4All dan Hijrah27. Menerusi program celik kewangan, aktiviti di kampus, kerjasama strategik, dan libat urus komuniti, usaha ini berjaya mendekati lebih 120,000 rakyat Malaysia merangkumi komuniti di bandar, luar bandar dan terpinggir. Langkah ini secara langsung memupuk daya tahan kewangan yang lebih kukuh serta meluaskan akses kepada perlindungan Takaful. 

Takaful Keluarga

Jumlah bayaran yang lebih besar pada tahun ini didorong oleh pertumbuhan kecil dalam bilangan sijil Takaful Keluarga berkuat kuasa. Sejumlah 861,956 sijil Takaful Keluarga baharu telah dikeluarkan sepanjang tahun, membawa kepada jumlah keseluruhan 6.74 juta sijil berkuat kuasa selepas mengambil kira faktor matang semula jadi, tamat tempoh, penggantian dan penamatan sijil. Berbanding 993,393 sijil Takaful Keluarga baharu yang dicatatkan pada 2024, kadar pertumbuhan ini menunjukkan pasaran perolehan perniagaan baharu yang lebih stabil kesan daripada persekitaran pasaran yang terus berkembang.   

Dari segi sumbangan, perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatatkan prestasi mendatar namun stabil pada RM9.74 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM10.00 juta berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, sumbangan perniagaan berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion pada tahun 2024, sebahagian besarnya disokong oleh produk produk jenis simpanan dalam segmen Perniagaan Takaful Keluarga Biasa Individu. 

Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam landskap perlindungan yang lebih luas, dengan sebahagian sumbangan perniagaan baharu meningkat sedikit kepada 39.44% berbanding 39.16% pada tahun 2024.  

Prestasi mampan segmen ini menunjukkan kualiti sumbangan yang semakin kukuh serta keyakinan tinggi pengguna terhadap penyelesaian perlindungan patuh Syariah. Lonjakan 15.34% bagi purata saiz kes kepada RM11,300 daripada RM9,797 membuktikan bahawa program jangkauan industri sebelum ini telah mula membuahkan hasil dalam bentuk komitmen perlindungan jangka panjang yang lebih berkualiti tinggi dan bukan sekadar bersandarkan pertumbuhan kuantiti. 

Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh usaha bersama industri untuk mendekati rakyat Malaysia. Ini membolehkan kadar penembusan Takaful Keluarga kekal stabil pada paras 19.63% pada tahun 2025 (2024: 19.57%), meskipun jumlah penduduk Malaysia meningkat kepada 34.33 juta (2024: 34.10 juta). Prestasi yang stabil ini menunjukkan peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap Takaful sebagai jaringan keselamatan sosial, hasil sokongan program jangkauan serta usaha kesedaran. Selain itu, penyediaan produk Mikrotakaful yang lebih mampu milik dan mudah diakses oleh komuniti oleh komuniti yang kurang mendapat liputan turut menyumbang kepada kestabilan kadar penembusan ini. 

Usaha industri juga mendorong lebih ramai peserta mengekalkan sijil mereka, yang menghasilkan kadar luput sijil lebih rendah biarpun dalam persekitaran inflasi. Peningkatan bilangan sijil berkuat kuasa (2025: 6.74 juta, 2024: 6.69 juta) jelas membuktikan perkembangan positif ini. 

Takaful Am

Prestasi positif segmen Takaful Am berterusan bagi tahun 2025, dengan sumbangan bertulis kasar meningkat 12.38% kepada RM6.64 bilion daripada RM5.91 bilion pada tahun 2024. 

Takaful kenderaan terus menjadi pemacu utama segmen ini dengan menyumbang komponen terbesar iaitu sekitar 69.00% daripada sumbangan bertulis kasar (RM4.59 bilion). Angka ini mencatatkan pengembangan sebanyak 12.57%, selari dengan fasa akhir rekod jualan kenderaan baharu negara yang mencecah paras tertinggi sebanyak 820,752 unit.  

Sehubungan itu, tuntutan kenderaan membentuk peratusan terbesar bagi pembayaran tuntutan Takaful Am. Pengendali Takaful telah membayar sebanyak RM2.40 bilion untuk tuntutan kenderaan, iaitu merangkumi 88.97% daripada jumlah tuntutan bersih keseluruhan.  

Perniagaan Takaful bukan kenderaan turut berkembang pada tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 11.95%. Takaful kebakaran merekodkan RM1.11 bilion dlaam sumbangan bertulis kasar, iaitu kenaikan 10.43% berbanding tahun 2024, manakala Takaful kemalangan diri meningkat kepada RM422.67 juta, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 8.93%. Prestasi positif segmen bukan kenderaan ini didorong oleh pengenalan produk khusus bagi menyokong PKS, selaras dengan komitmen industri dalam menghasilkan impak sosial, memperkasakan pembangunan

PKS, serta menyediakan penyelesaian inovatif demi memelihara ketahanan ekonomi. 

Bagi saluran pengedaran, saluran agensi terus mendominasi pasaran pada 2025 dengan pegangan 61.50% daripada sumbangan bertulis (2024: 62.67%). Ini diikuti oleh Bancatakaful sebagai penyumbang kedua terbesar sebanyak 13.37% (2024: 13.63%). Sementara itu, saluran perniagaan langsung serta platform dalam talian terus berkembang secara berfasa, masing-masing merekodkan 8.45% dan 6.73% (2024: 7.64% dan 6.58%).

Pengerusi Interim MTA, Encik Borhanudin Samsudin berkata, “Mandat kami adalah untuk memastikan penyelesaian Takaful sentiasa tersedia, mampu diakses dan berdaya tahan melalui penerapan perantaraan berasaskan nilai. Memandangkan asas industri semakin besar, usaha untuk mengekalkan pertumbuhan secara semula jadi menjadi lebih kompleks. Oleh itu, fokus kami kini beralih ke arah mengekalkan dan mewujudkan ekosistem Takaful yang berkembang selari dengan realiti ekonomi masyarakat Malaysia yang dinamik dan semakin mencabar.”

“Sasaran kami adalah bagi memperluas akses perlindungan kepada komuniti terpinggir dan memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan boleh dipercayai. Oleh itu, saya bersyukur kerana inisiatif peringkat industri untuk memantapkan landskap Takaful berjalan lancar, dengan lebih 60% daripada sasaran Hijrah27 telah dicapai setakat tahun 2025. Melangkah ke hadapan, perluasan program seperti Program Perlindungan iTEKAD bakal memainkan peranan kritikal bagi membantu golongan rentan, ini termasuk usahawan mikro dan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat.”

“Bagi tahun ini, sasaran kami adalah untuk merealisasikan pencapaian 80% daripada pelan strategik Hijrah27. Tumpuan utama bakal diberikan kepada aspek Kesedaran Takaful serta Pembangunan Bakat. Usaha ini akan dipacu dengan sokongan kuat melalui kerjasama baharu kami bersama Financial Industry Collective Outreach (FINCO), Asian Institute of Insurance (AII), dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF),” tambah beliau. 

Melangkah ke hadapan, MTA telah menggariskan tiga keutamaan bagi tahun 2026: memastikan perlindungan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluas perlaksanaan Hibah sebagai instrumen perlindungan harta, serta memacu perlaksanaan liberalisasi berfasa bagi sektor Takaful Am demi mengekalkan kestabilan pasaran. Bagi menyokong keutamaan ini, MTA akan memberi fokus kepada pengukuhan rangka kerja industri dan keselarasan regulasi, memperbanyak kolaborasi strategik di peringkat serantau mahupun global, serta meningkatkan tahap profesionalisme tenaga kerja agensi. Usaha ini bertujuan untuk memperkasakan daya tahan, daya saing, dan keupayaan industri dalam memenuhi keperluan peserta yang sentiasa berubah dalam persekitaran yang semakin kompleks.  “Tatkala berdepan dengan fasa yang penuh cabaran, jaringan keselamatan sosial yang kukuh menjadi satu keperluan mutlak dan bukannya sekadar pilihan. Di sebalik landskap pasaran yang lebih mengecil tahun ini, komitmen berterusan peserta untuk mengekalkan sijil mereka akan menjadi asas utama yang membolehkan pengendali Takaful menunaikan janji perlindungan bersama secara konsisten,” tambah Encik Borhanudin.