Kisah Gelandangan Yang Menjadi Jutawan Dengan Reseller Kasut

Adidas, Nike dan Puma merupakan syarikat pengeluar barangan sukan yang terkenal di dunia terutamanya dalam pembuatan kasut sukan.

Kasut sukan yang dikeluarkan oleh syarikat ini sentiasa menjadi rebutan di kalangan pengumpul dan mereka sanggup berhabis duit bagi barangan edisi terhad. Dan percayakah anda penjual kasut sukan edisi terhad ini boleh menjadi jutawan?

Mari kita ikuti kisah bagaimana kasut sukan ini dapat menjadikan seseorang itu jutawan.

Bermula dengan hanya $40 di dalam tangan, siapa sangka kini berkembang sebanyak $25 juta pada tahun lepas. Itulah yang berlaku kepada Jaysse Lopez yang mana suatu ketika dahulu pernah menjadi gelendangan dan mengemis di tepi jalan demi sesuap makanan.

Kini beliau mampu tersenyum dengan hasil titik peluh dan semangat yang tidak pernah pudar didalam dirinya itu yang membawa kejayaan yang sungguh luar biasa.

Dia yang bermula dari zero sehingga menjadi hero. Kisah hidupnya yang pernah menjadi gelendangan pada tahun 2000 yang pada ketika itu beliau mempunyai seorang anak perempuan.

Ibunya memberi duit sebanyak $20 untuk dibeli barangan keperluan kerana beliau tidak mampu untuk mencari nafkah pada ketika itu.

Jaysse yang mengambil duit tersebut dan berjudi di dalam mesin slot dengan harapan duit itu akan menjadi $100, tetapi beliau akhirnya tersedar bahawa berjudi bukanlah cara terbaik untuk menggandakan wang.

Beliau yang memulakan kerjaya sebagai penjual kasut pada tahun 2012 setelah diberhentikan kerja oleh syarikat telekomunikasi terkenal Amerika Syarikat iaitu AT&T di atas sebab kesihatan.

Jaysse mencari pekerjaan untuk menyara kehidupnya dan pada masa yang sama dia menjual kasut untuk menyara hidupnya.

Dia yang mengambil kasut sukan sebagai mata pencariannya kerana semasa dia menjadi gelandangan, dia melihat ramai orang beratur untuk menjadi orang pertama mendapatkan kasut edisi terhad. Pada ketika itulah beliau sedar bahawa kasut adalah komoditi yang akan berkembang pesat pada masa akan datang.

Beliau juga telah membangunkan laman web yang diberi nama Two Js Kicks pada tahun 2013 untuk menjual kasut yang dibelinya itu.

Beliau pun mula membeli kasut edisi terhad di gedung rasmi kemudian menjualnya kembali pada harga yang tinggi.

Oleh sebab kasut yang dimilikinya itu adalah edisi terhad, kebanyakan pelanggan tidak cerewet untuk membayarnya walaupun harga kasut itu lebih tinggi daripada harga di kedai.

Pada tahun tersebut juga dia mendapat satu pengajaran mengenai perniagaan yang mana dia tidak perlu menyimpan stok kasut yang tidak dapat dijual dalam kadar kuantiti yang banyak.

Dia yang telah membeli kasut dengan jumlah yang banyak dan stok kasut tersebut tidak dapat dijual dengan pantas dan menyebabkan dia kekurangan modal pusingan. Akhirnya dia terpaksa hidup menumpang di rumah kawannya setelah tidak mampu untuk membayar sewa motel.

Bertindak Mengubah Strategi Perniagaan

Dia yang tidak pernah kenal putus asa untuk berjaya telah mengunakan laman webnya untuk mengambil pre-order kasut yang mana diminati oleh para pemburu kasut. Dia yang menggunakan kaedah pre-order bagi menjimatkan kos operasinya itu.

Selain daripada menjual secara online, Jaysse juga menjual kasutnya secara offline yang mana dia berhadapan dengan para pelanggannya. Dari situ dia membina hubungan dengan pelangganya bagi memudahkanya menjual kasut untuk mereka.

Kemuncak kejayaan beliau adalah apabila berjaya menjual hampir 400 pasang kasut pada pameran kasut yang diadakan di Las Vegas.

Dengan kesungguhan yang dimilikinya itu, dia telah menarik minat pengurus Boulevard Mall yang mencadangkan kepadanya untuk membuka sebuah gedung bagi menjual kasutnya. Dia memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang untuk menyewa gedung di dalam mall berkenaan dan wang yang ada hanya cukup untuk buat modal pusingan.

Dia dibenarkan untuk menyewa tempat tersebut dengan beberapa bulan secara percuma. Gedung tersebut sebenarnya sudah 5 tahun tidak mempunyai penyewa kerana lokasinya yang agak terpencil.

Oleh kerana tiada orang yang lalu-lalang di kawasan itu, Jaysse terpaksa turun padang bagi mendapatkan pelanggan. Di antara kaedah yang dibuat adalah dengan mempromosikan kedainya di Instagram untuk menjual barangan orang lain di kedainya terutama kasut.

Dia yang mengambil sedikit upah untuk menjual barangan mereka bagi membayar gaji para pekerjanya.

Walaupun tidak mendapat keuntungan yang banyak daripada model perniagaan tersebut, dari situ beliau telah dapat menarik orang ramai untuk ke gedungnya. Perniagaannya semakin hari semakin berkembang kerana mempunyai banyak barang yang boleh dibeli orang ramai.

Akhirnya beliau berjaya menjadikan gedungnya sebagai tempat yang dikunjungi oleh orang ramai.

Kejayaan demi kejayaan telah dicapai oleh Jaysse Lopez dan beliau menukar jenama Two Js Kicks kepada Urban Necessities, dan pada tahun lepas sahaja syarikatnya telah berjaya membuat jualan sebanyak $25 juta.

Beliau bercadang untuk membina empayar perniagaannya itu sehingga mencapai jualan sebanyak $500 juta.

Beliau juga telah berkolobrasi bersama dengan jenama yang terkenal iaitu American Eagle yang mana syarikat tersebut telah membeli sebahagian kecil saham syarikat Urban Necessities.

Jaysse telah membuktikan bahawa jika kita tidak berputus asa dan sanggup berkorban, kita mampu untuk berjaya. Beliau adalah bukti bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya di dalam perniagaan tanpa mengira latar belakang pendidikan, asalkan kita sanggup untuk bekerja keras.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.