Tolong Jangan Hibahkan Semua Harta Kita Kepada Waris

Biasanya bila nak buat perancangan harta, di antara perkara pertama yang selalu orang nak buat adalah hibahkan harta untuk pasangan dan anak-anak. Nak pastikan isteri/suami dan anak-anak dapat manfaat harta peninggalan kita.

Terutamanya bagi pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak, atau tiada anak lelaki; waris faraid mereka akan melibatkan ibubapa dan adik beradik masing-masing.

Jadi pembahagian harta pusaka nanti akan jadi rumit, ditambah pula jika waris-waris tidak bermuafakat.

Akhirnya pasangan dan anak-anak kita yang terzalimi.

Oleh itu, merancang harta pusaka melalui medium hibah untuk waris adalah sangat bagus dan dituntut untuk menjamin kesejahteraan pasangan dan anak-anak selepas kita tiada nanti.

Walaubagaimanapun, janganlah dihibahkan SEMUA harta kita untuk isteri/suami dan anak-anak sahaja.

Adalah satu kerugian apabila harta yang kita kumpul di dunia ini hanya dapat memanfaatkan waris kita, tetapi tidak dapat memberi manfaat kepada kita selepas kita meninggal dunia.

Merancang Harta Bukanlah Semata-Mata Hibah Sahaja

Apabila hendak merancang pusaka, sebelum nak hadiahkan (hibahkan) harta-harta kita kepada waris, pastikan dulu DUA perkara ini diutamakan. 

1) Perancangan untuk melunaskan hutang

2) Wasiat sedekah

Hidup kat dunia ni cuma satu fasa dalam banyak lagi kehidupan yang akan datang yang lebih panjang tempohnya.

Selepas alam dunia, kita akan melalui alam kubur, hari kiamat, padang Mahsyar dan seterusnya hinggalah ditentukan tempat kita sama ada ke syurga atau ke neraka.

Semua amal kita di dunia akan ditimbang dan dinilai di hadapan Allah.

Jadi sebelum kita meninggal dunia dan berpindah ke alam satu lagi, adalah lebih baik jika kita dapat selesaikan semua urusan kita di dunia sekarang.

Jika masih berhutang rancanglah pelan untuk melunaskan hutang tersebut secepat mungkin.

Atau paling kurang, pastikan jika kita mati dan masih berhutang sekalipun; kita sudah tinggalkan duit untuk waris selesaikan hutang tersebut.

Biasanya kita akan sarankan supaya ambil takaful hayat yang nilainya paling kurang sama banyak dengan jumlah hutang semasa. Lebih tinggi lebih bagus.

Ingatlah sabda Sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam:

“Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.”

[Hadith riwayat Tarmidzi: 1079]

Tentu kita tidak mahu roh kita tergantung selama mana waris kita tidak melunaskan hutang-hutang kita. Maka pastikan mereka ada duit yang cukup untuk lunaskan hutang.

Seterusnya, buatlah satu wasiat khusus untuk kita sedekah atau wakafkan sebahagian harta kita (tak lebih 1/3) untuk manfaat umum.

Banyak tempat yang boleh kita sedekahkan.

  1. Institusi pendidikan seperti sekolah dan pusat tahfiz. (Pastikan pusat tahfiz yang berdaftar)
  2. Masjid dan surau kawasan perumahan kita
  3. Badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan kerja-kerja kebajikan sama ada di dalam atau luar negara

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

“Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

Mudah-mudahan, sebahagian harta yang kita sedekahkan kepada mereka yang memerlukan akan memberatkan lagi timbangan amal kita di akhirat kelak, seterusnya membantu kita untuk masuk ke syurga Allah yang penuh dengan nikmat itu.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang perunding harta pusaka di bawah Syarikat Pusaka KUDS Sdn Bhd. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka di Facebook, beliau kadangkala menerima jemputan untuk memberikan ceramah umum berkaitan urus harta pusaka.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.