5 Jenis Ekonomi Dan Kelebihan Kita Mempelajarinya

Ekonomi adalah kajian sains sosial yang berkaitan dengan pengeluaran, penggunaan dan pencarian nilai kekayaan. Ianya ada kaitan dengan isu-isu yang memberi kesan kepada situasi kewangan dan mengkaji pengagihan kekayaan di kalangan organisasi dan individu. 

Ia menggabungkan beberapa bidang lain seperti politik, undang-undang, sosiologi, geografi dan sebagainya. Terdapat pelbagai bidang ekonomi yang boleh kita pelajari agar lebih mahir dalam memahami ilmu ekonomi.

Tetapi sebelum itu, jom kita tengok beberapa jenis ekonomi yang ada, di antaranya:

1. Ekonomi Pembangunan (Development Economics)

Memberi tumpuan kepada proses pembangunan ekonomi ke atas negara yang berpendapatan rendah.

2. Ekonomi Perniagaan (Business Economics)

Penerapan teori ekonomi dan metodologi terhadap perhubungan di antara perniagaan dengan perniagaan yang lain.

3. Ekonomi Persekitaran (Environmental Economics)

Berkaitan kesan dasar ekonomi terhadap polisi persekitaran.

4. Makro Ekonomi (Macro Economics)

Kajian merangkumi faktor ekonomi dalam skala yang besar.

5. Mikro Ekonomi (Micro Economics)

Kajian merangkumi faktor ekonomi dalam skala yang lebih kecil.

Banyak juga kan jenis-jenis ekonomi yang ada? Walaupun kita mungkin tidak merancang untuk menjadi seorang ahli ekonomi yang profesional, namun ada beberapa kelebihan kita belajar tentang ekonomi iaitu:

1. Tingkatkan kemahiran membuat keputusan

Tumpuan untuk menganalisis pelbagai pilihan boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih baik.

2. Tingkatkan kemahiran berfikir secara kritis anda

Cara pemikiran ahli ekonomi menggalakkan keraguan dan analisis secara kritikal. Daripada hanya bersandarkan pernyataan atau pendapat, ekonomi menggunakan pendekatan logik, berasaskan bukti untuk menilai sesebuah masalah.

3. Kembangkan kemahiran analisis dan kuantitatif

Mendekati masalah yang rumit dengan cara yang logik dan teratur dapat membantu anda mengenal pasti punca isu dan masalah.

4. Memahami banyak masalah semasa, sama ada ianya masalah tempatan, nasional, atau global

5. Melihat isu-isu kontroversi dengan objektiviti yang jelas

Orang ramai selalu memberi pandangan mereka tentang isu-isu semasa seperti berkaitan dengan isu migrasi, perdagangan antarabangsa, perniagaan dadah, politik dan sebagainya, yang sering berkisar mengenai pendapat subjektif dan bukannya fakta. 

Namun melalui pemerhatian dalam ilmu ekonomi, anda akan melihat isu kontroversi seperti ini, secara objektif.

6. Bantu mempersiapkan diri untuk menghadapi alam pekerjaan

Contohnya kajian di Amerika Syarikat, skor jurusan ekonomi antara yang terpenting jika anda ingin mengambil The Law School Admissions Test (LSAT).’

7. Majikan ingin pekerja yang mampu berfikir secara kritis yang mampu belajar perkara baru dan menyelesaikan masalah

Mempelajari ekonomi boleh memajukan kemahiran berfikir kritis, sekaligus meningkatkan prospek anda sebagai calon pekerjaan dengan lebih ke depan, serta menjadikan anda lebih berharga di hampir kesemua bidang pekerjaan.

Kesimpulannya bagi memaksimakan potensi diri anda, ilmu ekonomi adalah salah satu ilmu yang penting untuk dipelajari. Tetapi harus diingat bahawa setiap perkara dalam ekonomi perlu dihuraikan berdasarkan fakta, bukannya bersandarkan pendapat atau pandangan semata-mata.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.