Perbezaan Master, Strata Dan Individual Title, Kena Ambil Tahu Sebelum Nak Beli Rumah

Kebiasaannya bila nak beli rumah, orang akan fikir pasal pembiayaan dan ubahsuai rumah. Bila pembiayaan dah lulus, tinggal nak bayar bulan-bulan dan ubahsuai mengikut citarasa masing-masing.

Bagi rumah dalam pembinaan, kena bayar ‘progressive payment’ sebelum rumah tersebut siap sepenuhnya. Manakala bagi rumah subsale, kita boleh terus tinggal di rumah tersebut bila semuanya sudah setel.

Tapi ramai orang lupa pasal title rumah. Ramai orang terlepas pandang bab title rumah ni.

Bila tanya ‘Rumah Makcik Kiah ni strata title ke?’

‘Entahlah dik, rumah ni makcik punya, tapi tak tahu pulak apa jenis title.’

Jadi bagi yang masih tak tahu, jom kita kenali jenis-jenis title rumah di Malaysia.

Sebelum itu, title ni sebenarnya adalah geran. Jadi jangan keliru pulak. Sebutan je lain, tapi maksudnya sama.

Master Title

Title jenis ini adalah geran induk yang diletakkan di atas nama pemaju. Jika rumah kita masih lagi berstatus master title, bermakna status rumah kita masih belum dipecahkan mengikut lot atau petak masing-masing.

Setiap projek akan diletakkan di atas nama pemaju tetapi perlu ditukar kepada nama pemilik petak atau lot apabila rumah tersebut telah siap.

Strata Title

Title jenis ini adalah bagi rumah bertingkat seperti apartmen dan kondo. Dengan strata title, kita telah disahkan sebagai pemilik petak di sesebuah apartment. Dalam strata, petak adalah unit di mana pemiliknya adalah berbeza.

Tetapi bagi rumah berstatus strata, mereka mempunyai harta bersama seperti taman permainan, kolam renang, perpustakaan, dan lain-lain. Apabila rumah telah berstatus strata, perbadanan pengurusan boleh ditubuhkan yang terdiri daripada pemilik-pemilik unit bagi menyelenggara harta bersama di dalam sesebuah apartmen atau kondo tadi.

Setiap pemilik unit pula akan dikenakan yuran penyelenggaraan bagi kos bayaran pengawal keselamatan, penjagaan kolam renang, bayaran pembersihan, dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan harta bersama.

Mengikut akta strata, pemilik unit yang gagal menjelaskan yuran penyelenggaraan, barangan mereka boleh alih mereka boleh disita setelah melalui beberapa proses peringatan.

Individual Title

Title jenis ini pula adalah bagi rumah bertanah seperti rumah teres. Persatuan penduduk boleh ditubuhkan atas semangat kejiranan tetapi persatuan tiada hak untuk memaksa pemilik rumah membuat sebarang bayaran yuran kerana ianya adalah hak milik individu.

Kadang-kadang ada sesetengah kawasan perumahan yang mengupah pengawal keselamatan di atas inisiatif mereka sendiri, dan akan membuat kutipan yuran bagi bayaran perkhidmatan kepada pengawal keselamatan tersebut. Mungkin ada segelintir penduduk yang enggan membuat bayaran tersebut, jadi persatuan penduduk tiada hak untuk memaksa atau menyita barangan pemilik rumah.

Sebagai perbandingan, boleh rujuk jadual di bawah:

Terdapat 2 kesan jika kita tidak menukar title dari master ke individual atau strata title seperti berikut:

1. Rumah Sukar Untuk Dijual

Bagi rumah yang masih berstatus master title dan berusia lebih daripada 10 tahun, kebanyakan bank agak sukar untuk memberikan pembiayaan perumahan. Apabila tidak mendapat pembiayaan, ianya akan mengakibatkan rumah tersebut agak sukar untuk dijual.

Ini adalah bagi kes pemilik rumah yang ingin menjual rumah mereka kepada pembeli lain. Kadang-kadang pembeli juga perlu menitikberatkan penukaran title ini kerana penukaran master ke strata/individual title memerlukan kos duti setem dan peguam.

Jadi jika mereka inigin membeli rumah yang masih berstatus master, mereka pula perlu mengeluarkan kos tambahan untuk penukaran title tersebut.

2. Merumitkan Proses Urusniaga

Jika kita merancang membuat pembelian hartanah sebagai pelaburan tetapi tidak menukar title kepada individual atau strata, urusniaga jualan boleh menjadi kompleks, akan mengambil masa yang lebih lama, dan bakal menelan kos yang lebih tinggi.

Sebagai contoh jika pemaju telah muflis, kita perlu melalui proses undang-undang untuk membuat pengesahan hak milik. Ini menyebabkan kita terpaksa menanggung kos tambahan bagi melalui proses undang-undang tersebut.

Tempoh masa untuk mendapatkan duit daripada hasil jualan hartanah pula mungkin memakan sedikit masa. Ini kerana kita perlu menyelesaikan proses hak milik dan menyebabkan kita rugi daripada segi masa dan kewangan.

Sebelum Nak Beli Rumah, Semak Dulu Title Rumah Tersebut

Kesimpulannya jika kita merancang untuk membeli rumah, pastikan kita tahu status hak milik hartanah tersebut. Ini amat penting kerana ia akan memberikan implikasi kepada kos, tenaga, dan masa yang kita laburkan.

Ditulis Oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Aktiviti Jual Beli Hartanah Berkurangan Pada Awal Tahun, Harga Rumah Stabil

Pasaran hartanah Malaysia memulakan tahun 2026 dengan momentum yang lebih sederhana apabila aktiviti transaksi menyusut susulan persekitaran ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati.

Namun begitu, sektor kediaman terus menunjukkan daya tahan disokong oleh pertumbuhan harga rumah yang stabil, permintaan pemilik kediaman yang berterusan serta pelbagai insentif perumahan kerajaan.

Menurut Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), jumlah transaksi hartanah keseluruhan menurun 8.0 peratus tahun ke tahun kepada 89,966 transaksi pada suku pertama 2026.

Nilai transaksi turut mencatat penyusutan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion. Walaupun prestasi ini lebih perlahan berbanding tempoh sama tahun lalu, aktiviti pasaran masih dilihat stabil dan trend yang dilihat sekarang merupakan suatu yang selaras dengan jangkaan dalam suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Segmen kediaman kekal menjadi tunjang utama pasaran, dengan harga rumah terus meningkat meskipun momentum transaksi lebih perlahan.

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 235.2 mata, menjadikan harga purata rumah di Malaysia sekitar RM507,533 seunit.

Pertumbuhan ini mencerminkan permintaan asas terhadap perumahan yang masih kukuh, khususnya di pusat bandar utama dan kawasan pinggir bandar yang berkembang pesat.

Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan harga rumah positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus, menandakan keyakinan pasaran yang masih baik walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Dari segi jumlah transaksi kediaman, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 10.7 peratus dengan 52,936 transaksi bernilai RM22.60 bilion.

Walaupun kebanyakan negeri mencatat penyusutan aktiviti transaksi, empat negeri masih merekodkan pertumbuhan positif iaitu Kuala Lumpur sebanyak 0.2 peratus, Pahang (4.3 peratus), Terengganu (3.1 peratus) dan Sabah (2.4 peratus).

Mengikut jenis kediaman, rumah bertanah terus menjadi pilihan utama pembeli. Rumah teres dan rumah berkembar mendahului pertumbuhan harga dengan peningkatan masing-masing sebanyak 2.2 peratus, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap produk kediaman bertanah.

Unit kediaman bertingkat tinggi turut mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 1.3 peratus, didorong oleh permintaan di lokasi bandar dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Namun begitu, segmen pembangunan kediaman mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan dari segi bekalan. Pelancaran baharu kediaman menurun kepada 9,112 unit berbanding 12,498 unit pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penyusutan sebanyak 27.1 peratus.

Pemaju dilihat lebih berhati-hati dalam memperkenalkan bekalan baharu susulan kos pembinaan yang meningkat dan pembeli yang semakin selektif.

Pada masa sama, isu lambakan unit siap dibina tidak terjual terus menjadi cabaran utama pasaran. Jumlah kediaman siap dibina tidak terjual mencecah 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion.

Apabila mengambil kira hartanah kediaman berstatus komersil seperti pangsapuri perkhidmatan dan SOHO, jumlah tersebut meningkat kepada 54,795 unit bernilai RM32.12 bilion pada suku pertama 2026.

Secara tahunan, jumlah lambakan meningkat 25.9 peratus dari segi bilangan dan 11.1 peratus dari segi nilai berbanding 43,510 unit bernilai RM30.71 bilion pada suku pertama 2025.

Mengikut julat harga, sebanyak 38.6 peratus unit tidak terjual terdiri daripada kediaman berharga antara RM200,001 hingga RM500,000 yang lazimnya dianggap dalam kategori mampu milik.

Sebanyak 23.4 peratus pula berada dalam julat RM500,001 hingga RM800,000, manakala hanya 13.2 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM1 juta.

Ini menunjukkan isu lambakan bukan semata-mata disebabkan faktor harga, tetapi turut dipengaruhi faktor lokasi, jenis produk dan padanan permintaan pasaran.

Subsektor pangsapuri perkhidmatan terus berdepan tekanan bekalan apabila unit siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Lambakan pangsapuri perkhidmatan meningkat 5.6 peratus, mencerminkan cabaran berterusan dalam menyerap pembangunan bercampur dan berorientasikan pelaburan, khususnya di kawasan dengan bekalan yang tinggi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Melihat ke hadapan, prospek pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal berhati-hati tetapi stabil. Walaupun ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global boleh mempengaruhi sentimen pelabur, pelbagai inisiatif kerajaan dijangka terus menyokong sektor perumahan.

Antaranya termasuk lanjutan pengecualian penuh duti setem bagi pembeli rumah pertama untuk rumah berharga sehingga RM500,000 sehingga akhir 2027.

Disokong oleh pembangunan infrastruktur dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pasaran kediaman negara dijangka terus berdaya tahan meskipun pertumbuhannya semakin sederhana dan akan bergerak seiring dengan paras kemampumilikan pembeli.

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian