5 Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka

Di antara kesalahan yang paling besar dalam masyarakat Melayu adalah melambat-lambatkan urusan harta pusaka arwah. Perbincangan mengenai urus pusaka adalah suatu perkara yang taboo atau boleh dikatakan aib jika dibangkitkan oleh salah seorang waris.

Membangkitkan persoalan urus pusaka apabila berlaku kematian dalam keluarga disamakan dengan gelojoh dan tidak sabar nak dapatkan harta.

“Kubur arwah masih merah, kau dah nak cerita pasal harta pulak?”, dialog yang sering kita dengar apabila seseorang itu mati.

Tanpa disedari, sebenarnya melambat-lambatkan urusan harta pusaka arwah akan membawa kepada banyak masalah.

Saya percaya, setiap dari kita pasti pernah berjumpa sekurang-kurangnya seorang yang mempunyai masalah urus pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Bahkan ada yang telah meninggal berpuluh tahun masih tidak diuruskan harta pusakanya.

Apa kata kita tengok 5 masalah yang akan timbul sekiranya kita sengaja melambat-lambatkan urusan harta pusaka.

1. Waris Terambil Atau Termakan Harta Pusaka Secara Batil

Kesan buruk yang pertama sekali terjadi jika harta pusaka tidak diagihkan segera, adalah pasti ada waris yang terguna sebahagian daripada harta pusaka tersebut secara batil. Bagi memudahkan kefahaman tentang mengambil harta secara batil, saya datangkan sebuah cerita.

Ali telah mati dan meninggalkan 5 orang anak. Rumah pusaka arwah Ali tidak diuruskan pemindahan hak milik dan dibiarkan saja nama Ali di atas geran tersebut kerana tiada seorang pun yang ingin tinggal di situ.

Akhirnya mereka bersepakat untuk menyewakan rumah pusaka arwah ayah mereka; duit sewa diinfaqkan kepada surau yang terletak tidak jauh dari rumah tersebut. Abu si adik bongsu yang tinggal tidak jauh dari rumah pusaka tersebut diamanahkan untuk menguruskan rumah pusaka tersebut.

Dua tiga bulan, Abu masih beramanah menguruskan rumah pusaka arwah bapanya, duit sewa dimasukkan ke dalam tabung surau. Tetapi setelah beberapa bulan, Abu mula merasakan dirinya berhak mengambil sebahagian duit sewa rumah pusaka tersebut kerana dia yang menguruskannya.

Lalu sebahagian duit sewa diambil Abu tanpa pengetahuan adik beradik yang lain.

Inilah yang dimaksudkan dengan makan harta pusaka secara batil. Kesan daripada kelima-lima beradik yang tidak mahu menguruskan rumah pusaka arwah bapa mereka secara tertib.

2. Hutang Si Mati Tidak Dapat Dijelaskan

Dalam urutan menguruskan harta pusaka si mati, melunaskan hutang arwah adalah antara keutamaan utama untuk waris lakukan. Keutamaan melunaskan hutang orang yang telah mati ini Allah tekankan dalam ayat 11 dan 12 Surah An-Nisa.

Dalam dua ayat ini, 4 kali Allah tegaskan supaya waris melunaskan hutang si mati sebelum membahagikan harta pusaka mengikut faraid. Diulang 4 kali ayat yang sama ini adalah sebagai satu bentuk perintah yang tegas agar dilaksanakan oleh waris.

Ayat yang menegaskan supaya waris melunaskan hutang diulang 4 kali dalam Surah An-Nisa ayat 11 dan 12. Salah satu ayat tersebut adalah:

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Peringatan ini Allah ulang supaya waris tidak lupa membayar semua hutang-hutang arwah sebelum membahagikan harta pusaka mengikut faraid.

3. Bilangan Ahli Waris Yang Berhak Terima Pusaka Bertambah Ramai

Semakin lambat diuruskan harta pusaka, semakin ramai waris yang berhak menerima harta pusaka si mati.

Sebagai contoh, apabila Ali meninggal dunia, warisnya yang berhak menerima pusaka adalah isterinya dan dua orang anak lelakinya; Muhammad dan Umar. Jadi hanya tiga orang waris sahaja yang berhak menerima harta pusaka Ali.

Tetapi akibat sikap sambil lewa waris-waris Ali, mereka tidak menguruskan harta pusakanya. Dari tahun ke tahun, Muhammad dan Umar masing-masing telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri.

Ditakdirkan, Muhammad meninggal dunia; meninggalkan seorang balu dan dua orang anak lelaki. Maka ketika ini, waris yang berhak menerima harta pusaka Ali daripada tiga orang, menjadi empat orang. Anak-anak Muhammad juga menjadi waris yang berhak menerima harta pusaka atuknya selepas bapa mereka meninggal dunia.

Pertambahan waris ini akan menyulitkan lagi pengurusan harta pusaka Ali.

4. Dokumen Harta Pusaka Si Mati Hilang Atau Musnah

Semakin lama tidak diuruskan harta pusaka si mati, proses urusan akan menjadi semakin sukar. Terutamanya apabila melibatkan dokumen harta pusaka si mati dan dokumen pengesahan waris.

Kebanyakan dokumen adalah dalam bentuk hard copy, kertas yang mana terdedah kepada kerosakan dan hilang. Cuba bayangkan bagaimana rupanya geran tanah yang berusia puluhan tahun.

Kalau tak hilang sekali pun, agak-agak bagaimana rupanya geran tersebut?

Begitu juga halnya dengan dokumen-dokumen pengesahan waris. Berkaitan dengan masalah ketiga di atas, waris bertambah ramai. Sudah tentu sukar untuk mengumpulkan semua waris dalam satu masa dan tempat untuk membincangkan perihal harta pusaka.

Akhirnya, apa yang dikhuatiri, ada waris yang membuat pengesahan palsu semata-mata nak memudahkan urusan dan meninggalkan waris lan daripada mendapat bahagian faraid harta pusaka.

5. Perbalahan Yang Berpanjangan

Inilah masalah yang tidak berkesudahan melibatkan pengurusan harta pusaka. Ditambah pula dengan waris yang bertambah ramai, masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain, tiada rasa kasih sayang di antara mereka, semua hanya menuntut hak masing-masing tanpa mahu menguruskannya.

Akhirnya bergaduh tak sudah dan tidak bertegur sapa.

Kesimpulan

Kita maklum, nilai harta pusaka yang masih tidak diuruskan di Malaysia hari ini mencecah RM70 billion dan angka ini akan terus meningkat naik. Betapa besar kerugian khususnya umat Islam apabila aset harta pusaka ini tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Hasil daripada pemerhatian saya, kebanyakan waris yang melambat-lambat pengurusan harta pusaka ini adalah kerana merasa tiada keperluan. Rumah pusaka arwah masih boleh terus diduduki, tanah kebun masih boleh terus diraih tanamannya dan rumah sewa boleh terus dimanfaatkan duit sewanya.

Jadi buat apa nak bersusah payah naik turun pejabat tanah nak tukar nama geran rumah dan tanah? Kena keluar duit pula kalau nak setelkannya.

Perkara lain yang melambatkan urusan harta pusaka adalah disebabkan tiada wang tunai yang mencukupi untuk menguruskannya. Semua maklum, urusan harta pusaka bukanlah percuma.

Semakin besar nilat harta pusaka yang ditinggalkan, makin banyaklah tunai yang diperlukan untuk menguruskannya.

Oleh itu, bagi kita yang masih hidup ini, buatlah perancangan harta dengan baik dan teratur dan pastikan hutang-hutang kita di dunia ini dilunaskan semuanya.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.