Nak Melabur di Pasaran Saham? Rileks…Fahamkan 7 Fakta Ini

Memandangkan anda telah sampai di sini, kemungkinan dah punya wang lebihan dan bersedia untuk melabur dalam pasaran saham.

Apa jua sebabnya, adalah baik jika anda mulakan perjalanan pelaburan anda dengan memahami fakta-fakta penting tentang pasaran saham di Bursa Malaysia.

#1: Melabur dalam pasaran saham adalah salah satu daripada banyak pilihan

Berita mengenai pasaran saham di Bursa Malaysia keluar di hampir setiap laporan berita yang kita lihat di televisyen. Cuma mungkin kita tak perasan sebab banyak istilah yang kita tak faham maksudnya.

Ada simpanan yang konsisten dalam bank juga cukup baik, walaupun pulangan yang diterima adalah rendah. Maklumlah risikonya juga sangat rendah. Duit kita dalam bank juga dilindungi oleh PIDM sehingga RM250,000.

Melabur dalam Unit Trust juga bagus.
Menyimpan emas pun ok.

Melabur dalam diri sendiri dengan skil atau ilmu tertentu adalah yang paling bagus sebab ia dapat membantu menambahkan pendapatan di masa depan.

Jangan sekali-kali menerima idea bahawa pasaran saham adalah satu-satunya instrumen pelaburan. Ia hanyalah satu pilihan.

#2: Bursa Malaysia

Dulu namanya BSKL. Istilah Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) tidak lagi digunakan selepas tahun 2004, kini digantikan dengan Bursa Malaysia.

Pasaran saham Bursa Malaysia membolehkan jual beli pada setiap hari bekerja kepada dua sesi, pada waktu pagi, bermula pada 9:00 pagi dan tutup pada 12:30 tengahari dan kemudiannya bersambung pada sebelah petang, bermula pada jam 2:30 petang dan berakhir pada jam 5:00 petang.

Semasa artikel ini ditulis, terdapat 900 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan 672 darinya adalah patuh syariah. Contohnya saham Telekom, Padini, Bonia, Nestle, Ajinomoto dan banyak lagi.

#3: Pasaran saham datang dengan risiko yang besar

Jika anda dengar atau tengok berita setiap hari, anda pasti akan mendengar pelbagai nombor yang disebut oleh pembaca berita seperti saham yang aktif naik __sen menjadi ___ringgit __sen.

Kalau tak faham cuba tonton sedutan video dari berita RTM ini:

Risikonya dalam bahasa mudah; setiap hari harga saham ada yang naik, turun atau kekal harganya. Kalau kita beli saham tu masa harganya RM1, esok mungkin jatuh menjadi RM0.90 atau naik menjadi RM1.20 bergantung kepada banyak faktor.

Baca sini untuk fahamkan mengapa harga saham boleh turun naik.

Jangan risau, mereka yang perlu ambil tahu pergerakan harga ni untuk pedagang saham saja, sebab mereka aktif berjual beli hari-hari. Kalau anda tak minat, jadilah pelabur jangka masa panjang.

Jadi, mengapa nak melabur dalam saham? Banyak saham yang memberikan pulangan yang tinggi dalam jangka panjang – lebih daripada 5 tahun – ada yang boleh memberi pulangan lebih 100%.

Baca lagi di sini.

#4: Dulu minimum kena beli 1,000 unit saham

Kalau dulu, sekali beli minimum 1000 unit saham. Contohnya kalau saham itu bernilai RM 1, maka kena ada modal sekurangnya RM 1,000.

Tapi sekarang sejak tahun 2003, minimum perlu beli adalah 100 unit saham saja. Macam contoh dekat atas, kita hanya perlu ada modal RM 100.

Bila harga saham makin naik, maka nilai pegangan kita makin besar.

Biasanya orang suka tanya berapa jumlah modal minimum diperlukan untuk mula melabur? Sebenarnya, tidak ada. Satu-satunya minimum adalah dalam bentuk kuantiti saham yang perlu dibeli iaitu 100 unit.

#5: Pelabur zaman dulu jual beli saham dengan dengan bantuan broker – hari ini, DIY

Bagaimana sebenarnya nak jual beli saham? Susah ke?

Dulu selepas dah buka akaun saham (CDS) kalau nak berjual beli kena telefon individu yang mewakili syarikat bank pelaburan / broker yang dikenali sebagai remisier atau dealer. Sekarang boleh buat melalui apps yang disediakan.

Saya mempunyai akaun trading bersama RHB Investment Bank dan mendapat akses untuk melakukan transaksi jual beli online melalui platform RHB TradeSmart sama ada menggunakan komputer atau mobile apps.

  1. Buka akaun CDS
  2. Depositkan duit ke dalam akaun trading dengan memindahkan dari akaun simpanan anda (online banking).
  3. Setelah dah ada duit dalam tu baru boleh beli saham.

Sebagai contoh:

Anda nak beli 500 unit saham DRB-HICOM. Semasa artikel ini ditulis harga sahamnya RM1.68. Jadi 500 unit x RM1.68 = RM840 (tak termasuk kos brokerage)

Katakan selepas sebulan harganya menjadi RM2, bolehla jual saham tu dan pindahkan duit untung tadi terus ke akaun simpanan anda.

#6: Pelabur zaman dulu jual beli saham hanya dengan mendengar tips

Pelabur-pelabur zaman dulu (dalam tahun 90an sehingga tahun 2000), jual beli saham hanya dengan mendengar tips tanpa memahami mengapa mereka jual beli sesuatu saham itu.

Ini terbukti apabila masih ada pelabur lama seringkali rugi apabila melabur di pasaran saham kerana jual beli secara membabi buta gara-gara tidak mempunyai ilmu secukupnya.

Generasi muda sekarang semakin bijak. Mereka memahami konsep atau langkah yang perlu diambil, iaitu mereka akan melabur di dalam ilmu dahulu. Mereka sanggup mengeluarkan wang ringgit untuk mendapatkan ilmu menganalisa sentimen pasaran termasuklah fundamental dan teknikal terlebih dahulu sebelum bertindak melabur di dalam pasaran.

#7: Kebanyakan syarikat bayar dividen, tanpa perlu kita menjual saham

Kena faham yang setiap saham dibeli adalah pegangan kecil hak milik sesebuah syarikat. Jadi kita sebagai pemegang saham akan menerima keuntungan yang diperolehi syarikat dalam bentuk dividen yang dibayar.

Dividen bergantung kepada jumlah dividen diumumkan dan di darab dengan berapa banyak unit yang kita beli.

Pengiraannya mudah. Ambil contoh jumlah dividen yang diumumkan 7.35 sen.
Jika jumlah saham yang kita beli sebanyak 10,000 unit, maka 10,000 x 0.0735 = RM735.

Kita pada dasarnya akan mendapat RM 735 setahun dalam bentuk dividen tanpa perlu menjual mana-mana saham. Baca juga artikel Untung Melabur Saham tu Kira Macam Mana? dan Rugi Dalam Pelaburan Saham Serta Contoh Pengiraan

Tetapkan Matlamat

Apakah matlamat anda untuk melabur? Untuk kumpul modal beli rumah baru? Untuk modal beli kereta mewah? Untuk pendidikan anak-anak? Untuk duit semasa bersara nanti?

Penting untuk menetapkan matlamat supaya anda tahu berapa lama anda perlu menyimpan atau melabur (dengan andaian kadar pulangan tertentu).

2 sahaja nasihat kami…

  1. Mula melabur awal
  2. Bersabar

Good luck!

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.