“Ekonomi Malaysia Teruk Dah Weh!”. Apa Rakyat Biasa Macam Kita Boleh Buat?

Semua orang sebut mengenai economic crash (EC), market crash dan bermacam-macam crash yang bakal berlaku dalam 2-3 tahun ini.

Jika dilihat kitaran masa bagi setiap krisis lebih kurang setiap 10 tahun. Tahun 1997 – 1998, 2007 – 2008, dan sekarang kita di tahun 2017 – 2018. Tahun ini 2017 baru 9 tahun kan? Samada ia akan berlaku atau tidak, KITA KENA BERSEDIA! Bukan waktu tu baru nak sibuk urus kewangan.

Apakah persediaan kita menghadapi krisis ini?
Cukupkah simpanan kita jika berlaku pembuangan kerja besar-besaran?
Apakah pelan kita supaya dapat mengurangkan kesan krisis ini?

Antara cadangan tindakan yang mungkin boleh difikirkan adalah:

1) Takaful

Pastikan setiap ahli keluarga serta diri anda dilindungi dengan Takaful. Utamakan Takaful nyawa. Bukan melarang anda mengambil takaful perubatan, cumanya bila disebut utamakan, Takaful lain boleh diambil jika ada duit lebihan. Ejen takaful yang anda boleh hubungi Muhammad Khairi Kamaruddin, Mohammad Nazri Haris, Rahman Darulshabab dan ramai lagi.

Contoh : Jika gaji kita RM4,000 sebulan, pastikan nilai pampasan Takaful nyawa cukup untuk perbelanjaan selama 10 tahun.

Kira-kiranya seperti ini:

RM4,000 x 12 (bulan) x 10 (tahun) = RM480,000.

Jika berlaku 3D (death / disease / disable) pada kita, pampasan RM480,000 itu cukup untuk perbelanjaan keluarga selama 10 tahun. Sila semak balik polisi Takaful nyawa tu, cukup ke tak cukup?

2) Simpanan Kecemasan

Pastikan simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 6-12 bulan gaji semasa. contohnya gaji sebulan anda RM3,000, anda perlu ada simpanan RM18,000 – RM36,000. Amat digalakkan menyimpan di Tabung Haji atau Amanah Hartanah Bumiputera (AHB). TH & AHB bukannya tidak terjejas dengan economic crash cuma kedua-duanya risikonya rendah dan dilindungi oleh Kerajaan.

3) Simpanan Jangka Sederhana

Mulakan simpanan jangka sederhana di Unit Trust, Hartanah atau Komoditi seperti Emas dan Perak. Setiap simpanan mempunyai game plan yang tersendiri. Unit Trust ada kemungkinan besar untuk terjesas jika economic crash berlaku. Bagi hartanah dan komoditi telah terbukti mampu mengurangkan kesan langsung economic crash sebagaimana krisis yang lepas. Bolehlah rangka pelan anda sekarang. Setakat ini, Ahmad Humaizi Ibrahim yang selalu lalu di wall saya berkenaan Unit Trust. Tanya dia. Yang lain maaflah jika tak perasan. Untuk hartanah boleh belajar dengan Tuanbri Hashim, Faizul Ridzuan dan Ahyat Ishak. Follow Facebook mereka, banyak boleh belajar.

4) Ambil Peluang

Mengambil peluang atas kerancakan ekonomi sekarang sebelum jangkaan economic crash berlaku. Banyak peluang-peluang keemasan akan timbul. Euphoria telah bermula sejak November 2016 dan mula bergerak pantas pada Mac 2017. Belajarlah bagaimana mahu melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Carilah guru yang boleh membantu menjangkakan pasaran sekarang kerana risikonya tinggi tetapi mampu memberikan pulangan yang lumayan.

Anda berpeluang mendapat 20-1000% pulangan setahun dengan ilmu yang betul. Peringatan utama bila melabur di sini adalah “JAGA EMOSI” dan patuh kepada trading plan. Dato Dr. Nazri Khan, Haji Mohd Asri, dan Doktor Saham antara orang yang saya belajar tentang saham. Boleh follow mereka.

5) Mulakan Perniagaan

Anda boleh memulakan perniagaan TETAPI pilihlah yang tidak melibatkan modal permulaan yang besar. Besar tu berapa? Sebesar yang anda sanggup hanguskan. Cadangan RM10,000 maksimum (bergantung kepada jenis perniagaan). Ekonomi teruk pun orang masih kena makan, pakai baju, jerawat masih tumbuh. Jangan takut tak dapat untung, takut orang tak beli, takut itu takut ini. Jangan buat kerja Tuhan. Kita usaha dulu.

Moga saranan panjang ini boleh mempersediakan anda menghadapi economic crash. Ini sekadar saranan dan cadangan. Mungkin bukan terbaik. Paling kurang dapat membantu.

Sumber asal : Kamarul Amir Md Yacob

Sedarlah

Sedarlah, peluang tetap ada tak kira zaman ekonomi meleset atau zaman ekonomi bagus. Yang kita tiada sebenarnya adalah ilmu untuk tambah baik ekonomi diri. Jangan sibukkan sangat benda yang tak boleh kita kawal (politik, ekonomi dunia, saham turun, minyak global turun, perang). Lebih baik masa kita itu dihabiskan dengan pergi seminar, tambah ilmu kewangan, tambah ilmu tambah pendapatan.

Sama-samalah kita berdoa:

“InsyaAllah tahun ini akan menjadi tahun yang baik untuk diri ibubapa saya, diri saya, keluarga saya, sahabat-sahabat saya, ekonomi saya, duit simpanan saya, kewangan saya, pekerja-pekerja saya. InsyaAllah”.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.