Layak Beli Rumah, Tapi Belum Tentu Mampu

Sekiranya kita menghubungi seorang ejen hartanah, perkara pertama yang akan dilakukan oleh ejen hartanah adalah menyemak kelayakan pinjaman / pembiayaan kita sebagai bakal pembeli.

Hal ini sangat penting bagi seorang ejen hartanah untuk mengenalpasti samada kita adalah seorang pembeli yang mempunyai kelayakan untuk mendapatkan pinjaman rumah.

Sebagai seorang bakal pembeli, sudah pasti kita mempunyai kehendak yang tertentu tentang rumah yang anda ingin beli. Kita mungkin mahukan rumah landed dua tingkat atau pun serviced apartment dengan kolam renang.

Namun begitu, ejen hartanah juga mempunyai maklumat yang lebih tepat berkenaan situasi semasa pasaran hartanah. Justeru, penting untuk pembeli mengenalpasti syarat dan kelayakan pinjaman supaya dapat fokus mencari rumah yang bersesuaian dengan profil kewangan masing-masing.

Seorang ejen hartanah yang baik akan menasihati dan memberi khidmat konsultansi berkenan bajet rumah yang sesuai dengan kelayakan kita. Sekiranya kita mempunyai gaji yang agak tinggi, sudah pasti kita berhajat untuk memiliki rumah yang lebih selesa untuk didiami bergantung kehendak sendiri.

Kebiasaannya, kelayakan pinjaman / pembiayaan bergantung kepada beberapa ukuran yang sering digunakan oleh pihak bank untuk menilai kedudukan kewangan seseorang berpandukan pendapatan, perbelanjaan dan komitmen.

Ejen hartanah akan membantu kita dalam mengira kelayakan pinjaman serta menawarkan rumah yang sesuai dengan kelayakan kita.

Ukuran kelayakan pinjaman selalunya bergantung kepada pendapatan dan komitmen berkaitan bank. Pengiraan seperti Debt Service Ratio (DSR) dan Net Disposable Income (NDI) digunakan untuk menilai samada pembeli layak untuk mendapatkan pinjaman bank.

Panduan percuma :

Namun ukuran kelayakan pinjaman ini ada kekurangannya. Ukuran ini tidak mengambilkira komitmen yang tidak berkaitan dengan bank seperti bilangan tanggungan termasuk anak-anak, ibubapa, kos sara hidup dan perbelanjaan harian.

Kita Layak, Tapi Mampukah Kita?

Ukuran kemampuan kita untuk membayar bayaran bulanan rumah sangat bergantung kepada pengurusan kewangan individu. Seseorang dengan gaji yang tinggi tetapi mempunyai perbelanjaan bulanan yang besar mungkin tidak mampu membeli rumah.

Sebelum kita berhajat untuk membeli sesebuah rumah, cuba tanya dulu diri sendiri. Adakah kita mampu untuk membayar bayaran bulanan bank tanpa gagal untuk 30 tahun akan datang?

Salah satu cara untuk menjawab persoalan ini adalah samada gaji bulanan kita dihabiskan untuk perbelanjaan atau ada lebihan untuk simpanan. Sifirnya mudah, sekiranya kita mampu menyimpan RM1,000 dari gaji bulanan, ini bermakna kita mampu menambah komitmen bulanan sebanyak RM1,000 untuk membeli rumah.

Cara lain untuk menentukan kemampuan kita adalah kadar sewa rumah bulanan. Sekiranya sewa rumah bulanan sekarang RM1,000, kita boleh gunakan jumlah yang sama untuk membayar pinjaman rumah setiap bulan.

Kalau sudah bersedia, rasa layak dan mampu untuk beli rumah, pastikan kita dapatkan khidmat nasihat dari ejen hartanah. Kita akan dapat ilmu dan tidak perlu bayar sesen pun kerana komisen ejen hartanah dibayar oleh penjual rumah dan sudah termasuk dalam harga rumah yang kita hendak beli tersebut.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di Arif Irfan.

Anda Nak Beli Rumah, Tapi Adakah Anda Tahu Tahap Kewangan Anda?

Takut-takut ianya kurang memuaskan, nanti nak apply pinjaman tak lepas pula.

  • Bagaimana pula dengan hutang kad kredit, bayar tepat pada masanya atau tidak?
  • Pernahkah anda terlibat dengan sebarang masalah undang-undang atau muflis?
  • Berapa pula Debt to service ratio (DSR) anda?

Dengan TechRevo, kini anda boleh dapatkan laporan kewangan dengan cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, semua pengiraan berkenaan dengan permohonan pinjaman akan dilakukan berdasarkan apa yang bank mahu.

Yang lagi bestnya, di penghujung laporan nanti ada pilihan bank dengan tawaran terbaik khusus untuk anda.

Dengan harga promosi RM14.90, anda akan dapat:

✅ Ketepatan 99% pengiraan DSR + kelayakan pinjaman perumahan
✅ Laporan CCRIS untuk 12 bulan
✅ Kes undang-undang, muflis

Dapatkan laporan TechRevo hari ini juga -> https://tinyurl.com/techrevo

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.