4 Perkara Mesti Ada Kalau Nak Buat Wasiat Sendiri

Wasiat, hibah dan waqaf adalah antara instrumen dalam perancangan harta pusaka.

Alhamdulillah, semakin hari lebih ramai umat Islam yang sedar akan kepentingan merancang harta supaya dapat memberi manfaat yang berterusan kepada waris.

Walaubagaimanapun, dari sudut teknikaliti masih ramai yang keliru dan tidak tahu bagaimana nak buat sebuah dokumen perwarisan yang lengkap.

Oleh itu jom kita tengok 4 perkara yang perlu dibuat untuk merancang perwarisan harta.

1. Kumpul Dan Senaraikan Segala Aset Dan Liabiliti Semasa

Ini adalah langkah pertama yang mesti semua orang buat. Senaraikan semua aset dan liability (hutang) yang kita miliki sekarang.

Simpan semua dokumen-dokumen berkaitan dalam satu fail khas. Label fail tersebut untuk memudahkan waris mencarinya setelah kita tiada nanti.

Gunakan Word, Sheet atau apa-apa aplikasi untuk senaraikan kesemua aset dan hutang yang kita miliki.

Buat dua simpanan, satu softcopy yang boleh disimpan dalam email dan satu hardcopy untuk diletak sekali dalam fail tersebut.

2. Lantik Wasi Atau AJK Pusaka

Salah satu perkara penting yang mesti ada dalam dokumen perwarisan harta adalah perlantikan wasi atau AJK pusaka.

Apakah tugas wasi ini?

Wasi adalah pemegang amanah yang bertanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka kita mengikut wasiat atau pesanan kita.

Kebiasaanya disarankan untuk kita melantik ahli keluarga terdekat yang kita percaya akan berlaku amanah setelah kematian kita nanti.

Apa jadi kalau tidak tak lantik wasi?

Waris perlu mendapatkan kata sepakat untuk melantik seorang wakil untuk uruskan harta pusaka.

Permuafakatan ini akan memanjangkan lagi proses menuntut harta pusaka kita nanti.

Takut-takut, waris tak dapat kata sepakat, harta pusaka pun terus terbeku, tiada siapa yang nak uruskan.

3. Sediakan Dana Pantas

Apa yang dimaksudkan dengan dana pantas ini?

Dana pantas adalah aset tunai yang boleh waris tuntut secara langsung selepas kita meninggal dunia tanpa perlu melalui proses untuk dapatkan surat perintah kuasa.

Contoh aset dana pantas adalah duit dalam akaun KWSP dan Tabung Haji yang telah berpenama. Pampasan takaful berpenama pun termasuk dalam aset dana pantas.

Kenapa perlu ada dana pantas?

Ini untuk memudahkan waris kita menguruskan harta pusaka. Kena ingat nak urus harta pusaka bukan percuma! Ada kos yang perlu dikeluarkan.

Kerana telah terjadi banyak kes harta pusaka yang terus terbeku kerana waris tiada tunai untuk uruskan harta pusaka arwah.

Walaupun kita tinggalkan RM2 juta dalam akaun bank sekalipun, jika waris kita tiada tunai sekurangnya 5% daripada keseluruhan harta pusaka kita, maka RM2 juta tersebut akan terus dibekukan.

Akhirnya waris langsung tak dapat manfaat daripada harta pusaka.

4. Dokumen Yang Disediakan Mesti Bertulis, Bertarikh Dan Bersaksi

“Arwah ayah ada bagitau aku sebelum dia pergi dulu, yang tanah kat kampung tu dia nak bagi pada aku sebagai anak sulung.”

Dulu-dulu di zaman atuk nenek kita, mereka tidak begitu ambil perhatian terhadap perancangan harta. Biasanya kalau nak berikan harta hanya beritahu melalui cakap mulut sahaja.

Tiada hitam putihnya.

Oleh itu penting kalau nak buat wasiat, pastikan dokumen perwarisan tersebut lengkap bertarikh dan mempunyai saksi. Ini bagi mengelakkan pertikaian antara waris setelah kita meninggal dunia sekiranya ada yang tidak bersetuju dengan pesanan kita semasa hidup.

Dengan adanya dokumen lengkap sebegini, mudah bagi wasi atau AJK pusaka nak laksanakan pesanan arwah. Sama ada arwah ada berwasiat, buat hibah atau waqafkan sebahagian daripada hartanya.

5. Bonus: Guna Khidmat Pakar

Walaupun cara membuat dokumen perwarisan ini nampak mudah, tetapi sebenarnya ia tidaklah semudah yang disangka.

Lebih-lebih lagi kalau kita memang tiada ilmu dan kepakaran dalam bidang perwarisan harta pusaka Islam.

Analogi mudanya begini, dalam banyak urusan kehiudupan seharian, kita serahkan kepada pakar untuk bantu kita.

  • Nak buat rumah idaman, kita panggil kontraktor berpengalaman untuk bina.
  • Bila kereta rosak, kita hantar kepada pakar kereta (bengkel) untuk betulkan.
  • Anak sakit, kita hantar kepada pakar perubatan (doktor) untuk dapatkan konsultasi dan ubat.
  • Nak beli baju raya, kita tempah dari pakar yang pandai menjahit.

Oleh itu, sewajarnya juga kita cari dan dapatkan perkhidmatan pakar perwarisan harta pusaka untuk bantu rancang harta kita.

Kita ada banyak pilihan khidmat pakar perwarisan di Malaysia, boleh cari dan dapatkan konsultasi dari mereka.

Yang penting adalah kita rancang dan pastikan harta yang kita kumpul selama ini, dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada waris, tetapi kepada kita apabila sebahagian daripadanya disedekah atau diwaqafkan untuk manfaat umum.

Previous ArticleNext Article
Seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.

Hibah Amanah: Instrumen Pengurusan Pusaka

RM90 bilion. Angka yang cukup besar untuk membuatkan kita termenung sejenak.

Itulah jumlah harta pusaka yang masih terbeku dan tidak dituntut oleh waris yang sah menurut data daripada Amanah Raya Berhad. Bayangkan berapa ramai keluarga yang terkesan, berapa lama mereka terpaksa menunggu, dan berapa banyak peluang yang hilang disebabkan harta-harta ini terkunci dalam proses pentadbiran pusaka yang berlarutan.

Mengapa Perkara Ini Masih Berlaku Di Malaysia?

Punca Masalah: Kesedaran Yang Tertangguh

Selepas berada dalam industri perancangan kewangan selama lebih 10 tahun, bertemu dengan pelbagai klien dan berbincang dengan rakan seprofesion, satu pola yang sama terus berulang: ramai yang tahu kepentingan perancangan pusaka, tetapi ramai juga yang memilih untuk menangguhkannya.

“Nanti lah.”

“Masih muda lagi.”

“Belum ada masa.”

“Tak nak fikir pasal mati.”

Alasan-alasan ini kedengaran familiar? Malangnya, ajal tidak menunggu kita bersedia.

Instrumen Pengurusan Pusaka

Dalam industri perancangan pusaka, terdapat beberapa instrumen yang boleh digunakan:

  1. Wasiat – Arahan pembahagian harta selepas kematian
  2. Hibah – Pemberian harta semasa hidup
  3. Amanah (Trust) – Pengawalseliaan dan pengurusan harta
  4. Kombinasi instrumen – Menggabungkan kelebihan setiap instrumen

Masing-masing mempunyai kelebihan dan kesesuaian tersendiri bergantung kepada situasi individu.

Hibah: Solusi Segera Yang Kurang Difahami

Antara instrumen yang paling berkesan tetapi kurang dimanfaatkan ialah Hibah.

Hibah adalah pemberian harta secara sukarela daripada seseorang kepada orang lain semasa pemberi masih hidup. Ia berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Ijab (tawaran) dan Qabul (penerimaan) selesai, dengan syarat-syarat rukun hibah dipenuhi.

Hibah Amanah: Gabungan Terbaik Dua Konsep

Namun, ramai yang tertanya-tanya: “Kalau saya hibahkan harta sekarang, adakah saya kehilangan kawalan ke atas harta saya sendiri?”

Di sinilah kelebihan Hibah Amanah  atau Trust Hibah.

Hibah Amanah menggabungkan konsep hibah dengan struktur amanah, membolehkan pemberi hibah untuk:

  • Kekalkan kawalan ke atas pengurusan harta sepanjang hayat
  • Nikmati manfaat daripada harta tersebut seperti pendapatan atau dividen
  • Tetapkan syarat penggunaan harta untuk benefisiari
  • Pastikan pemindahan segera kepada waris selepas kematian tanpa proses mahkamah

Konsep ini sangat sesuai untuk mereka yang mahukan ketenangan fikiran sambil terus menikmati harta mereka.

Contoh Produk Hibah Amanah di Malaysia

Beberapa institusi di Malaysia menawarkan kemudahan hibah amanah yang mudah dan praktikal:

1. Hibah Amanah ASB (Amanah Saham Bumiputera)

Pelaburan ASB boleh dihibahkan melalui mekanisme hibah yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Pemegang unit boleh:

  • Menghibahkan sebahagian atau keseluruhan unit ASB kepada waris atau benefisiari
  • Kekalkan hak untuk menerima dividen sepanjang hayat
  • Pemindahan unit berlaku secara automatik selepas kematian tanpa perlu melalui proses pentadbiran pusaka
  • Proses yang mudah dengan mengisi borang hibah di kaunter ASNB

Ini bermakna pelaburan ASB anda tidak akan terbeku dan waris boleh terus menerima manfaat tanpa kelewatan.

2. Hibah Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji turut menyediakan kemudahan hibah untuk simpanan para pendeposit:

  • Pendeposit boleh menghibahkan simpanan Tabung Haji kepada benefisiari yang dipilih
  • Hibah boleh dibuat secara mutlak atau bersyarat
  • Proses mudah melalui Sistem Hibah TH yang boleh dilakukan di kaunter atau secara online
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta selepas penyerahan borang dan penerimaan benefisiari
  • Selepas kematian pendeposit, simpanan yang dihibahkan dapat dituntut dengan segera oleh benefisiari

Kedua-dua produk ini menawarkan cara yang mudah dan patuh Syariah untuk memastikan simpanan dan pelaburan anda tidak terbeku dan dapat memberi manfaat segera kepada orang tersayang.

Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekarang

  1. Buat senarai harta – Aset, simpanan, pelaburan, takaful, hutang
  2. Kenal pasti benefisiari – Siapa yang anda mahu lindungi dan jaga
  3. Dapatkan nasihat profesional – Perunding perancangan pusaka, peguam syarie, atau perancang kewangan berlesen
  4. Pilih instrumen yang sesuai – Wasiat, hibah, amanah, atau kombinasi
  5. Ambil tindakan – Jangan tangguh lagi

Warisan Terbaik Adalah Perancangan

Warisan terbaik yang boleh kita tinggalkan bukan hanya harta, tetapi ketenangan dan perlindungan untuk keluarga yang kita sayangi.

Jangan biarkan RM90 bilion itu bertambah. Jangan biarkan keluarga anda menjadi antara ribuan yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, menanggung kos beribu-ribu ringgit, dan mengalami tekanan emosi hanya untuk mendapatkan hak mereka.

Mulakan perancangan pusaka anda hari ini. Kerana esok mungkin sudah terlambat.


Penafian: Artikel ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum dan tidak sepatutnya dianggap sebagai nasihat undang-undang atau kewangan. Pembaca digalakkan untuk mendapatkan nasihat profesional yang sesuai dengan situasi peribadi mereka.


Artikel ini dibawa kepada anda oleh Sampul Sdn Bhd. Artikel ini diterbitkan bersama MajalahLabur untuk membantu jenama bercerita melalui kandungan berkualiti.