11 Cara Untuk Kurangkan Bil Elektrik Dengan Berkesan

Ramai yang terkejut apabila bil elektrik melambung naik tinggi, tambah-tambah lagi sewaktu PKP ini dan ramai yang menghabiskan masa di dalam rumah. Sekiranya kita rasa ada yang tak kena dengan meter dan caj TNB, boleh buat aduan.

Tetapi sekiranya tiada kesilapan, jumlah bil elektrik memang dijangka meningkat apabila semua terperap di dalam rumah. Kalau sebelum musim pandemik, kita banyak habiskan masa di pejabat manakala anak-anak pula di sekolah atau taska.

Oleh itu, jom kita tengok beberapa cara untuk kurangkan bil elektrik dengan berkesan yang boleh kita lakukan.

1. Penuhkan Muatan Peti Sejuk Beku (Freezer)

Peti sejuk beku berfungsi dengan lebih cekap apabila penuh, jadi cuba penuhkan muatan peti sejuk beku anda sepenuhnya. Anda juga boleh memasukkan bekas air beku ke dalamnya sebagai salah satu cara untuk memenuhkannya.

Dengar macam remeh kan, tetapi inilah salah satu cara kurangkan bil elektrik berkesan perlu kita buat.

2. Gunakan Kipas Siling

Kipas siling akan menjadikan suhu sejuk lebih tinggi daripada anda menggunakan kipas biasa yang asyik terasa panas. Ia juga dapat mendorong udara hangat ke bawah pada musim sejuk untuk membuat anda merasa lebih panas.

Ini bermakna anda tidak perlu kerap menggunakan penghawa dingin kerana kipas siling juga biasanya lebih menjimatkan elektrik. Selepas ini, gunakan kipas siling sebagai cara kurangkan bil elektrik dengan lebih berkesan.

3. Gantung Pakaian Sehingga Kering

Daripada membazirkan elektrik menggunakan pengering pakaian, apa kata anda gantungkan pakaian anda sehingga kering di rak pakaian atau di luar pada garisan pakaian.

Ia lebih menjimatkan elektrik dan sekaligus dapat kurangkan bil elektrik anda.

4. Gunakan Ketuhar Gelombang Mikro

Tolong berhenti guna ketuhar tradisional, sebaliknya gunalah ketuhar gelombang mikro atau oven. Bagi memanaskan sisa makanan, lebih jimat elektrik jika anda beralih menggunakan ketuhar gelombang mikro atau oven pemanggang.

5. Mencuci Sekiranya Mesin Basuh Sudah Penuh

Image by Rudy and Peter Skitterians from Pixabay

Seperti peti sejuk beku, mesin basuh pakaian juga akan lebih cekap apabila penuh. Selain itu, elektrik juga dapat dijimatkan.

Jadi pastikan anda memenuhkan dahulu muatan mesin basuh anda sebelum mencuci pakaian. Tunggu sehingga baju benar-benar banyak, barulah anda cuci.

6. Letakkan Lampu Di Sudut Dinding

Apabila meletakkan lampu di sudut dinding, lampu akan memantulkan cahaya dari dua dinding. Ia akan menjadikan ruangan lebih terang, justeru anda tidak perlu menggunakan lampu yang banyak.

Cara kurangkan bil elektrik ini amat berkesan dan mudah dilaksanakan.

7. Tukar Mentol Lampu

Tukarkan lampu pijar anda kepada lampu yang lebih menjimatkan tenaga.

Kini, mentol seperti LED, CFL dan halogen semuanya menggunakan lebih sedikit tenaga daripada lampu pendarfluor tradisional dan ia juga mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

8. Basuh Pinggan Dan Guna Lesung Batu

Photo by Pixabay from Pexels

Tidak menggunakan mesin basuh pinggan mangkuk dapat menjimatkan wang dan bil elektrik. Mengurangkan penggunaan alatan di dapur akan membantu anda mengurangkan bil elektrik anda menjadi separuh.

Amat penting untuk anda memahami kos alternatif yang berkaitan dengan penjimatan kegunaan barang dapur elektrik. Begitu juga dengan pengisar, anda boleh menggunakan lesung batu untuk memasak.

Bunyi macam tradisional sangat, tetapi ia merupakan cara untuk kurangkan bil elektrik yang berkesan.

9. Pasang Lampu Menggunakan Sel Solar Di Luar Rumah

Salah satu kaedah terbaik untuk menjimatkan bil elektrik adalah dengan tidak menggunakan elektrik sama sekali. Ini menjadikan pencahayaan solar di luar rumah amat bermanfaat.

Ia menyerap tenaga suria pada siang hari dan kemudian menerangi bahagian luar rumah anda pada waktu malam secara percuma. Bunyinya macam menarik, kan?

10. Matikan Lampu

Cara kurangkan bil elektrik berkesan yang kita terlepas pandang adalah kurangkan menggunakan lampu di malam hari apatah lagi siang hari. Memadamkan lampu akan mengurangkan penggunaan tenaga yang berkaitan dengan pencahayaan.

Selain itu, memadamkan lampu dapat menyejukkan rumah anda. Ini adalah kerana kebanyakan mentol menghasilkan haba, malahan termasuk mentol CFL.

11. Ubahsuai Kedudukan Perabot

Ubahsuai kedudukan perabot rumah untuk mendapatkan pencahayaan yang baik dan mudah untuk anda melakukan aktiviti di rumah tanpa perlu buka lampu.

Justeru, penggunaan tenaga dan elektrik akan menjadi lebih rendah dan jimat.

Kesimpulannya, banyak lagi cara yang anda boleh lakukan untuk menjimatkan elektrik. Jika bil elektrik anda jimat, maka wang tersebut boleh digunakan untuk berbelanja dan juga untuk tambahan simpanan.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.