Softbank, Syarikat Pelaburan Terbesar Dalam Sektor Teknologi Dunia

Softbank merupakan salah sebuah syarikat konglomerat terbesar di dunia yang berasal dari Jepun. Ianya merupakan syarikat yang melakukan pelaburan terhadap pelbagai sektor teknologi dunia terutamanya yang berada di Lembah Silikon (Silicon Valley).

Ramai orang yang terkeliru dengan status nama syarikat ini dan kebanyakan dari mereka menyangka Softbank ini adalah sebuah bank yang menyediakan pinjaman seperti bank yang lain tetapi hakikatnya, ia merupakan sebuah syarikat penjualan software pada awal tahun 1980-an.

Syarikat ini diasaskan oleh Masayoshi Son yang mana kini merupakan lelaki kedua terkaya di Jepun. Beliau merupakan seorang anak imigran yang berasal dari Korea Selatan dan menetap di Jepun.

Ketika usia remaja, beliau mendapat nasihat sangat berguna yang mana telah merubah hala tuju dirinya sehingga dia berada di tempatnya sekarang.

Nasihat tersebut datangnya dari seorang yang dia sangat kagumi iaitu, Den Fujita yang merupakan pengasas McDonald’s di Jepun yang merupakan idolanya ketika usia remaja. Beliau begitu tertarik dengan buku tulisan yang ditulis oleh Den Fujita menyebabkannya bergegas ke pejabat Den Fujita untuk bertentang mata bagi mendapat nasihat bernas dari Den Fujita yang menyuruhnya menceburi bidang berkaitan komputer.

Beliau kemudianya menyambung pelajaranya ke Universiti Berkeley California untuk mengambil jurusan sains komputer dan ekonomi. Pada usia 20 tahun, beliau telah berjaya mencipta elektronik transistor yang mana kemudianya dia menjual kepada Sharp dengan harga $1.7 juta.

Pada tahun 1981, beliau telah mengasaskan syarikat Softbank yang menjual perisian komputer terutamanya kepada Syarikat NEC dan juga Sharp. Masayoshi Son kemudianya mengembangkan syarikat tersebut dengan mengapungkan saham syarikat Softbank pada tahun 1994.

Di antara kejayaan yang paling besar dalam sejarah syarikat syarikat tersebut adalah dengan membuat pelaburan terhadap Alibaba dengan merupakan syarikat terawal yang melabur sebanyak $20 juta kepada Jack Ma pada tahun 2000. Pada tahun ini, pelaburan yang dilakukannya itu bernilai $100 bllion hasil daripada pelaburan yang dibuat pada awal abad ke-20 itu.

Tidak semua pelaburan yang dibuat oleh Masayoshi Son ini berjaya. Oleh kerana syarikat ini merupakan sebuah syarikat yang melabur dalam  syarikat kebanyakanya start-up, Softbank terdedah kepada pelbagai kemungkinan yang tidak menentu di pasaran.

Di antara peristiwa yang paling diingati oleh beliau adalah ketika berlakunya krisis dot-com bubble yang menyaksikan hampir keseluruhan kekayaan yang dimilikinya lesap sekelip mata.

Peristiwa dot-com bubble tidak sedikit pun mematahkan semangat beliau untuk terus melabur ke dalam syarikat start-up. Selain itu juga, di antara pelaburan yang paling kontroversi yang dilakukan oleh Masayoshi Son adalah pelaburan yang dibuat ke atas syarikat WeWork.

Pelaburan ini dikatakan melebihi apa yang sepatutnya dilaburkan kerana syarikat WeWork tidak membuat sebarang keuntungan seperti yang diharapkan. Para pengaalisis percaya bahawa syarikat WeWork merupakan punca utama syarikat Softbank dibelenggu hutang.

Di antara pelabur terbesar yang melabur ke dalam Softbank adalah putera Arab Saudi Mohamad bin Salman.

Sama seperti syarikat teknologi yang lain, Softbank tidak terlepas dengan wabak Covid-19 yang mana syarikat tersebut mengalami kerugian sebanyak $18 bilion. Di antara langkah yang terpaksa diambil oleh syarikat tersebut bagi mengurangkan bebanan hutang adalah menjual sebanyak $41 bilion aset mereka dan aset yang terbesar adalah T Mobile bagi menstruktur semula syarikat tersebut.

Pengajaran yang boleh kita ambil dari Masayoshi Son ini adalah beliau merupakan seorang yang sangat suka mengambil risiko dan tidak berputus asa untuk berjaya. Dalam tempoh 40 tahun sahaja, Softbank telah berjaya menempatkan diri mereka sebaris dengan syarikat gergasi lain yang telah berusia ratusan tahun di Jepun.

Sumber Rujukan: https://www.businessinsider.com/masayoshi-son-softbank-net-worth-lifestyle-silicon-valley-estate-photos-2019-6

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari