Kaedah POAC Untuk Menguruskan Kewangan Keluarga Dengan Norma Baharu

Konsep POAC adalah kaedah pengurusan asas yang boleh digunakan dalam pelbagai hal. Fungsi POAC (Planning, Organising, Actuating dan Controlling) boleh digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sesuatu organisasi.

Konsep ini telah diperkenalkan oleh George R. Kelly.

Secara umumnya, konsep ini turut digunakan untuk menguruskan kewangan. Dalam konteks artikel ini, kita akan membincangkan pengurusan kewangan untuk keluarga lebih-lebih lagi pada masa norma baharu sekarang.

Jom kita lihat dengan lebih lanjut setiap proses untuk kaedah POAC ini.

1. Planning (Perancangan)

Perancangan meliputi proses daripada mengenal pasti tujuan dan mencari cara bagaimana untuk mencapai tujuan tersebut. Apabila kita merancang, seorang pengurus yang baik akan melihat masa depan dengan menetapkan visi dan misi yang sesuai.

Untuk merancang kewangan, di antara perancangan yang boleh dibuat adalah seperti:

  • Merancang simpanan (pelaburan, simpanan deposit dan sebagainya)
  • Merancang pendidikan sendiri dan anak-anak (membuat simpanan atau pelaburan untuk pendidikan, sekolah mana yang terbaik dan sebagainya)
  • Merancang untuk hari tua (wang pampasan, wang pencen, takaful dan kesihatan)
  • Merancang pelaburan (membuat pelaburan hartanah, emas)
  • Merancang akhirat (pergi menunaikan haji dan umrah, membanyakkan ibadah)

Pada masa musim wabak Covid-19 ini, ramai daripada kita yang terjejas. Ada yang diminta bercuti tanpa gaji dan ada juga yang diberhentikan.

Justeru, kita perlu mengambil langkah dengan pantas agar kita tetap boleh mencapai tujuan yang telah kita rancang.

2. Organising (Penyusunan)

Untuk mencapai tujuan dan perancangan dalam keluarga, ketua keluarga perlu membuat penyusunan dan agihan tugas kepada setiap ahli keluarga.

Sebagai contoh, suami bertugas untuk memimpin keluarga, mencari nafkah dan rezeki yang halal untuk keluarga.

Isteri pula perlu memastikan ahli keluarga mendapatkan khasiat pemakanan yang seimbang, menjaga kesihatan dan keselamatan ahli keluarga dan juga perlu berjaga-jaga dan berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan rumah.

3. Actuating (Pelaksanaan)

Pelaksanaan adalah tindakan memberikan arahan kepada setiap ahli keluarga untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing. Pelaksanaan yang baik adalah daripada pimpinan yang baik iaitu daripada ketua keluarga.

Suami perlu memastikan semua tugasan dilaksanakan dengan sempurna dan juga sentiasa menaikkan semangat ahli keluarga untuk terus berusaha mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

4. Controlling (Pengawalan)

Pada peringkat ini, kita perlu memastikan prestasi tugasan yang dilaksanakan menepati perancangan yang telah dibuat. Kita perlu melihat jika terdapatnya perbezaan yang ketara di antara prestasi yang diharapkan dan prestasi sebenar.

Kita perlu mengambil tindakan selanjutnya untuk membetulkan perkara ini dan mengelakkan hal ini daripada berulang. Dengan ini juga, kita boleh tahu sama ada perancangan awal perlu disemak semula atau memerlukan penambahbaikan.

Jika perlu, perancangan perlu diubah dan dibuat semula sesuai dengan maklum balas pada peringkat ini.

Kesimpulannya, konsep pengurusan POAC ini cukup mudah untuk diadaptasi dalam banyak situasi dan keadaan. Kunci utamanya adalah untuk menjadikannya sebagai suatu alat perancangan dan pengurusan.

Ingatlah, jika kita gagal untuk merancang, maka kita merancang untuk gagal.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: Kompasiana

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.