5 Tips Kewangan Yang Gen X & Y Tak Belajar Di Sekolah

Ini adalah beberapa tips yang diambil daripada Robert Kiyosaki penulis buku best-seller Rich Dad, Poor Dad. Ternyata banyak perkara yang tidak diajar di sekolah yang sebenarnya sangat penting untuk kita semua.

1. Penyata Kewangan Peribadi

Bagi pelajar bidang akaun, mereka akan belajar sesuatu namun bagi pelajar yang tidak mendalami ilmu kewangan pula bagaimana? Bagi pelajar yang menerima duit saku dari ibu atau bapa, dari sini kita boleh nampak potensi seseorang itu sama ada boleh menyimpan atau boros mengendalikan wang.

Ia adalah pembelajaran secara tidak langsung dari budaya sesebuah keluarga. Sebab itu anak dari golongan yang berada dapat tambah kekayaan mereka kerana banyak pengaruhnya datang dari keluarga yang dah memang kaya.

2. Perbezaan Pendapatan

Rober Kiyosaki memperkenalkan konsep EBSI untuk senang difahami.

Menurut beliau, kolum E dan S iaitu pekerja dan bekerja sendiri dalam kategori Poor Dad, merujuk kepada ayahnya sendiri yang merupakan seorang profesor. Manakala kolum B dan I iaitu mempunyai bisnes dan pelabur pula dalam kategori Rich Dad, di mana beliau merujuk kepada ayah kawannya kerana beliau ada pengalaman mengikut ayah kawannya kutip duit rumah sewa.

Sejak dari kecil beliau sendiri melihat ayahnya bekerja kuat namun seringkali tidak cukup wang untuk perbelanjaan rumah. Ia sangat berbeza dengan kehidupan ayah kawannya yang tidak begitu sibuk namun mampu menjalani kehidupan yang senang.

Tetapi sebenarnya kalau kita bijak, walaupun kita masih bekerja atau bekerja sendiri sekalipun, kita juga masih boleh menjadi seorang pelabur dan juga ada bisnes sendiri. Perlu ada pendapatan aktif sebelum bermula di kolum B dan I tersebut.

Potensi besar kepada mereka yang bekerja dengan kerajaan kerana mereka juga boleh menjadi seorang pelabur dan juga menceburi bisnes lain. Pekerja swasta dan pekerja yang memperolehi pendapatan melalui komisyen juga boleh buat.

Usaha lebih, kita akan dapat lebih. Hasilnya kita boleh lihat lagi 5 dan 10 tahun yang akan datang.

3. Kita Bekerja Untuk Dapatkan Aset Bukan Untuk Gaji Semata-Mata

Apa itu aset? Kita memperolehinya dan ia memberi manfaat kepada diri dan menyumbang kepada pendapatan.

Aset kecil dan mampu milik kita boleh dapatkan adalah 1 gram emas, silver, dinar dan dirham. Sebenarnya penulis pun ada rasa kesal bermula agak lewat tentang ini.

10 tahun lepas pendedahan tentang perkara sebegini agak terhad namun dengan adanya teknologi, kita boleh mendapatkan ilmu di hujung jari saja.

Selain daripada itu, jika rumah yang kita miliki disewakan, ia juga menjadi aset kerana dapat menambah pendapatan dan kita tak perlu keluarkan wang sendiri untuk membayar rumah tersebut. Ada juga yang membeli bangunan lot komersial dan disewakan turut dijadikan sumber pendapatan.

Ada juga yang akan menjual aset tersebut dan hasil daripada penjualan aset tersebut akan digunakan untuk membeli hartanah lain atau dilaburkan.

Baca juga Ekonomi Berdepan Krisis? Pegang 5 Aset ‘Safe Haven’ Ini Untuk Lindungi Diri Kita

4. Labur Bukan Simpan

Pernah tak dengar nasihat dari keluarga “Duit yang ada itu, simpan, nanti jadi apa-apa boleh guna”.

Dan nasihat itu turun-temurun dari atok nenek atau ibu bapa kita sendiri. Maka minda yang tertanam bertahun-tahun lamanya adalah untuk menyimpan duit semata-mata.

Ibu bapa millenial perlu ubah sikit nasihat itu,”Duit yang ada, separuh simpan dan separuh laburkan. Dengan pelaburan, kita dapat beranakkan wang yang ada dengan teknik compounding”

Hakikat menyimpan wang adalah tidak bagus kerana ianya tidak kalis inflasi. RM50 hari ini tidak sama nilainya dengan RM50 lagi sepuluh tahun akan datang.

Bebarapa tahun yang dulu, duit dengan RM1 kita boleh beli sebungkus nasi lemak. Sekarang harganya RM2 pula.

Baca juga Buku Malaysia Melabur

5. Cukai Boleh Menambah Kekayaan

Bagi yang bekerja sendiri dan bekerja, kita perlu membayar cukai melalui Potongan Cukai Bulanan (PCB) setiap bulan. Ia berbeza bagi mereka yang menjalankan bisnes kerana cukainya adalah lebih rendah. Bagi yang melabur pula, kebanyakan transaksi adalah bebas cukai dan keuntungan juga kebanyakannya adalah bebas cukai!

Kebaikan membayar cukai ini kerana pihak bank akan melihat profil kewangan dan mereka lihat kita sebagai seorang yang dipercayai untuk mendapatkan pembiayaan dan membayarnya. Jadi, kita boleh membeli pelbagai aset hartanah.

Saya pasti ramai yang berniaga sendiri punyai wang tunai yang banyak untuk membeli aset namun tersekat di profil kewangan. Bank suka orang yang susun penyata pendapatan, cukai dan mempunyai rekod CCRIS yang cantik.

Ini link untuk buka fail cukai pendapatan:

Benar apa yang dikatakan, pelajaran sebenar adalah apabila kita tinggalkan zaman sekolah dan melangkah masuk ke alam pekerjaan.

Sumber Rujukan: Buku Rich Dad, Poor Dad oleh Robert Kiyosaki

Artikel ditulis oleh Puan Sarah Hata. Penulis merupakan seorang konsultan kewangan (pelaburan, takaful dan wasiat) di institusi kewangan di Malaysia dan juga perunding imej. Mempunyai pengalaman menulis, memberi ceramah di beberapa syarikat seluruh Malaysia dan juga klien individu.

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.