FinCEN Files Mendapati USD2 Trilion Transaksi Yang Meragukan Telah Berlaku Sepanjang Tempoh 18 Tahun

FinCEN adalah singkatan bagi Financial Crimes Enforcement Network yang merupakan biro di bawah United States Treasury yang ditugaskan untuk mengumpul dan menganalisa data bagi membanteras kegiatan penggubahan wang haram dan pembiayaan pengganas.

Institusi kewangan dikehendaki memfailkan Suspicious Activity Report (SAR) sekiranya mereka mengesan transaksi yang meragukan.

Pada bulan lalu, penemuan berdasarkan lebih 2,500 dokumen dan 2,100 SAR oleh FinCEN yang telah bocor bertarikh di antara tahun 2000 sehingga 2017 telah diterbitkan dan diberi nama FinCEN Files.

Dokumen-dokumen tersebut dibocorkan oleh bekas pekerja di US Treasury Department kepada Buzzfeed News yang kemudiannya telah dikongsikan kepada 108 rakan media lain dari 88 buah negara yang berbeza.

Penelitian dan penyiasatan telah dijalankan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) dan ianya mengambil masa selama 16 bulan.

Hasil dari siasatan yang dijalankan, ICIJ mendedahkan sejumlah USD2 trilion transaksi yang meragukan telah berlaku sepanjang tempoh 18 tahun tersebut. Di antara bank-bank yang terlibat dan telah dinamakan adalah JP Morgan Chase, HSBC, Barclays Bank, Standard Chartered Bank dan juga Deutsche Bank.

Persoalan besar yang diajukan kepada mereka adalah mengapa bank-bank ini meluluskan dan meneruskan transaksi tersebut walaupun ianya meragukan.

Deutsche Bank menjadi tumpuan apabila hasil daripada pendedahan FinCEN Files menunjukkan lebih daripad USD1.3 trilion dari jumlah transaksi yang meragukan adalah melalui bank tersebut. Bank tersebut melalui laman sesawang mereka telah membuat satu kenyataan bahawa segala dokumen yang telah bocor itu telah difailkan, disiasat dan penyelesaian telah dipersetujui bersama pengawal selia institusi perbankan tersebut.

Bagi pihak bank, mereka berpendapat bahawa tugas mereka adalah hanya untuk melaporkan sebarang transaksi yang meragukan kepada pihak yang berkenaan. Ini kerana transaksi yang meragukan tidak membuktikan terdapat sebarang kesalahan telah dilakukan oleh pengirim dan penerima wang berkenaan.

Namun, apa yang cuba ditekankan oleh ICIJ di sini adalah, jumlah wang yang meragukan dan diluluskan oleh bank-bank ini sangat besar dan nama bank yang terlibat adalah nama bank yang sama pernah terlibat dengan pelbagai masalah berkaitan AMLA sebelum ini.

Baca: Skandal ‘Cuci Duit’ Yang Melibatkan HSBC

Kredit: ICIJ

Akhir sekali, terdapat banyak lagi penemuan oleh ICIJ yang telah dikongsikan termasuklah penglibatan bank-bank di Malaysia sendiri. Terdapat 23 SAR yang melibatkan Malaysia dan dilaporkan melebih USD13.3 juta telah keluar dan USD4.8 juta telah diterima melalui bank-bank besar di Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.