e-Wallet Maybank (MAE) Kini Patuh Shariah!

Maybank seperti biasa sentiasa terkehadapan dalam inovasi produk kewangan. Tahun lepas pada bulan Mac, mereka melancarkan dompet digital atau e-dompet dengan nama MAE.

MAE adalah singkatan kepada Maybank Anytime, Everyone. Melaluinya, ia menawarkan sokongan dompet digital bagi memudahkan transaksi tunai kita dan ia sangat diperlukan hari ini dalam keadaan pandemik COVID-19.

 Antara kelebihan MAE adalah pengguna boleh menggunakan MAE untuk melakukan pembayaran di lebih 200,000 peruncit seluruh negara yang menerima pembayaran menggunakan Maybank QRPay.

Tambahan pula, pengguna turut boleh menggunakan MAE untuk menerima wang daripada rakan-rakan, atau membuat pembayaran seperti menghantar wang kepada rakan, membayar bil, membeli tiket wayang, membuat tambah-nilai prabayar dan sebagainya.

Selain itu, MAE juga boleh digunakan oleh mereka yang tidak mempunyai akaun Maybank. Ini membolehkan sesiapa sahaja menggunakan MAE dan tidak perlu bersusah payah ke cawangan Maybank terlebih dahulu bagi membuka akaun. Hebat bukan?

Namun, MAE tidak lari daripada kontroversi di awal kewujudannya disebabkan kebimbangan mereka dalam industri kewangan Islam apabila MAE tidak diuruskan oleh Maybank Islamic dan MAE menawarkan pelbagai insentif kepada penggunanya.

Ini membawa kepada dua isu Shariah.

Pertamanya, penggunaan produk bank konvensional di mana terdapat larangan jelas bahawa orang Islam tidak boleh terlibat dengan institusi yang terlibat dengan perniagaan Riba. Kedua pula adalah Riba itu sendiri di mana kaedah Fiqh menyebut setiap hutang yang adanya manfaat adalah Riba.

Di mana Riba itu? Riba itu terhasil apabila pengguna perlu membuat deposit minima RM10 bagi mengaktifkan akaun.

Dalam perbankan, deposit akan digunakan oleh bank untuk urusan perniagaan mereka, dalam kata lain mereka meminjam daripada pendeposit dan oleh sebab itu, mereka akan memberikan pulangan dalam bentuk faedah atau lain-lain. Dalam konteks MAE, faedah itu diberikan dalam bentuk ganjaran permainan.

Walaupun begitu, ada juga perbezaan pandangan oleh sebahagian pakar-pakar kewangan Islam di mana mereka mengatakan MAE tidak menjadi hutang kerana deposit RM10 itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan MAE hanyalah satu platform bukan produk sebagaimana Maybank2u sebagai platform e-perbankan.

Apa pun, tahun ini Maybank melancarkan MAE versi patuh Shariah bagi memuaskan hati semua pihak terutamanya orang Islam.

Di bawah platform baru ini, MAE akan diuruskan oleh Maybank Islamic dan menggunapakai kontrak Qard di mana tiada lagi pulangan akan dijanjikan. Adapun begitu, pulangan atau manfaat oleh pihak ketiga boleh dinikmati oleh pengguna MAE patuh Shariah.

Selain itu, pengguna MAE sedia ada juga boleh menukar akaun MAE mereka ke MAE patuh Shariah secara mudah di atas talian. Tahniah diucapkan kepada pihak Maybank atas penanggungjawaban yang tinggi bagi memberi kemudahan dan memuaskan hati pelanggan mereka.

Bagi orang Islam yang masih menggunakan MAE konvensional, ayuh berhijrah ke MAE patuh Shariah!

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.